
DIRGAHAYU BAHASAKU
SAJAK | MAKSUD |
Tempatku di singgahsana hati nurani bangsaku warga yang berbudi setia dan amanah | Bahasa Melayu berada di tempat yang tinggi di dalam sanubari orang Melayu yang merupakan bangsa yang berbudi setia dan amanah |
Bahasa itu maruah bangsa yang mesti dipelihara martabatnya agar tetap kukuh dan ampuh melayari lautan bijaksana salam ikatan mesra dan teguh | Bahasa umpama maruah bagi suatu bangsa yang mesti dipelihara dan dijaga kedudukannya agar terus kukuh dan mantap sebagai sumber bahasa dalam dunia pendidikan dan bahasa komunikasi serta dapat mengeratkan silaturahim |
Cekal dan waja semangat pejuangku hak bangsaku mendaulatkanmu di bumi bertuah ini merentas dunia tak bertepi | Begitulah tabah dan cekal semangat pejuang bahasa kerana semua orang mempunyai hak dan usaha untuk mendaulatkan bahasa Melayu di negara ini bagi menghadapi dunia penuh cabaran |
Sejarah bangsa mencatatkan kegemilangan ke barat dan ke timur menjalin persaudaraan gagah pelautku membelah hutan ke utara dan ke selatan bahasaku mencengkam dari pulau ke pulau menggilap mutiara silam | Sejarah menunjukkan bahasa Melayu pernah gemilang ke timur dan ke barat menjalinkan hubungan diplomatik pelayar-pelayar yang merentas lautan dengan gagah dari benua ke benua bahasa Melayu disebarkan serta dari pulau ke pulau bagi mengembalikan kegemilangan |
Dirgahayu bahasaku di arena antarabangsa suaramu tumbuh menusuk kalbu lagu bahasamu bahasamu bahasa minda mudah akrab dan bertatasusila daripada bangsa yang bernama Melayu menempa kejayaan di alat baru | Moga kekal bahasaku di seluruh dunia bahasaku dikenali bahasaku dicintai kerana bahasa Melayu merupakan bahasa ilmu menjadi bahasa penyatuan serta lambang tatasusila untuk bangsa Melayu mencapai kejayaan dalam dunia yang moden ini |
ASPEK-ASPEK KOMSAS
Tema - semangat cinta akan bahasa Melayu
Persoalan
1. Kepentingan memartabatkan bahasa Melayu - bahasa Melayu perlu diangkat setanding dengan bahasa lain
2. Perjuangan memartabatkan bahasa Melayu - usaha mendaulatkan bahasa Melayu perlu dilakukan dalam dunia yang penuh cabaran
3. Sejarah kegemilangan bahasa Melayu - sejarah menunjukkan bahasa Melayu pernah gemilang di timur dan barat
4. Kepentingan bahasa Melayu sebagai alat komunikasi - bahasa Melayu menjadi lambang tatasusila bangsa Melayu
Nilai
1. Bersopan santun- kemampuan menggunakan bahasa yang betul
2. Setia - kesetiaan kepada bangsa melalui penglibatan dalam memartabatkan bahasa
3. Amanah - meneruskan warisan bangsa
4. Patriotik - mencintai bahasa sendiri
5. Bersatu padu - menggunakan bahasa yang sama
6. Kegigihan - memastikan bahasa Melayu terus digunakan
Pengajaran
1. Kita hendaklah bersopan santun apabila berkomunikasi dengan menggunakan bahasa yang betul
2. Kita hendaklah setia kepada bangsa dengan berusaha memartabatkan bangsa
3. Kita hendaklah amanah dalam meneruskan warisan bangsa
4. Kita hendaklah mencintai bahasa sendiri agar bahasa kita terus kekal dan mantap
5. Kita hendaklah bersatu padu antara satu sama lain dengan menggunakan bahasa yang sama
6. Kita hendaklah gigih dalam memastikan bahasa Melayu terus digunakan
No comments:
Post a Comment