Saturday, 15 October 2011

TEKNIK PENCERITAAN SUTERA DALAM LUKISAN



PERNYATAAN
HURAIAN
Pemerian
Pengarang menggambarkan anak sungai yang lebarnya lebih kurang 9 meter antara dua tebing. Airnya sentiasa mengalir walaupun pada musim kemarau. Airnya tidak sejernih dahulu tetapi masih tetap dingin dan segar.
Monolog dalaman
Hafiz memikirkan bahawa masih ada manusia lain yang terus-menerus mendesaknya manjadi bodoh, dungu dan tidak berakal. Kalaupun ada yang masih bersimpati, itu hanyalah atas tuntutan lain dan untuk kepentingan diri sahaja

Same’ah mula memikirkan motif Adila datang ke kampung itu sejak dua bulan yang lalu. Lazimnya seorang graduan akan bekerja setelah tamat pengajiannya tetapi Adila tidak menunjukkan hasrat untuk bekerja. Same’ah yakin ada satu rahsia lain yang sedang disembunyikan oleh Adila daripada pengetahuannya.

Mak Lamah tidak dapat tidur kerana memikirkan hal perbuatan suaminya dengan Harun. Dia memikirkan suaminya akan menjadi fasik seperti Harun yang cuba membelakangkan hukum syarak dalam mengendalikan harta anak yatim

Sudah 2 hari Hafiz tidak meneruskan kerjanya. Berita Alias meminang Adila banyak mengganggu jiwanya. Dia seolah-olah hilang semangat, tenaga dan harapan. Dia berbisik sendirian dan bertanyakan dirinya sebab semuanya menjadi tidak kena pada dirinya. Makan, minum dan tidur semuanya terganggu. Mungkin dia menaruh hati kepada Adila.

Adila kesepian apabila Same’ah mengikut suaminya. Timbul rasa ingin pulang ke kota. Adila memikirkan Hafiz jika dia meninggalkan kampung itu. Mungkin Hafiz menganggap Adila ingin meninggalkannya. Hafiz sudah berubah tetapi tidak boleh dibiarkan sendiri.
Imbas kembali
Hafiz mengingat semula kejadian bapanya yang meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya di Lebuh Raya Karak. Jiwa dan perasaannya terganggu selepas kejadian itu. Ibunya membawa pulang ke kampung untuk memulihkan perasaannya semula

Hafiz mengingat semula kata-kata bapa tirinya yang menuduhnya bermain dengan pelita sehingga terbakar bilik dan menyebabkan ibunya mati dalam kebakaran itu

Hafiz mengingat semula setiap perbuatan Alias kepadanya. Apa-apa yang disuruh Alias tidak pernah dibantahnya. Turun ke dalam sungai dan membasahkan serta mengotorkan seluruh badannya merupakan antara suruhan Alias. Alias akan menghukumnya andai dia membantah seperti disepak, dipukul dan diterajang

Same’ah teringat kali pertama Adila bertemu dengan Hafiz. Ketika dia membawa Adila berjalan-jalan dan sebaik sahaja tiba di persimpangan jalan berhampiran jambatan, tiba-tiba Hafiz muncul dalam keadaan basah kuyup dan berlumpur. Hafiz menggeleng-gelengkan kepalanya menyebabkan Adila hilang pertimbangan sambil memegang erat Same’ah. Adila cemas, pucat dan benar-benar ketakutan.

Same’ah menceritakan kisah dia diganggu oleh Alias dan rakan-rakannya kepada Adila. Hafiz yang menyedari perbuatan Alias itu, mencapai sebutir bom lalu mengacah untuk melempar kepada Alias dan rakan-rakannya. Keadaan menjadi kelam-kabut dan semua lari lintang-pukang.

Di dalam kelambu, Hafiz teringat pesanan Adila supaya tidak mengorbankan keperibadian dan maruah diri jika ingin menuruti kehendak orang lain. Adila mengingatkan dia supaya berani menjaga maruah diri.

Hafiz menceritakan semula kepada Samsul bagaimana Alias pernah mengenakannya semasa mereka duduk di kedai Pak Sulong. Alias menyuruhnya menghisap rokok sambil minum teh tarik. Oleh sebab rasa loya, rokok dan teh tarik yang ada di dalam mulutnya tersembur ke muka Alias.
Saspens
Hafiz terjun ke dalam sungai dan membenam-benamkan dirinya di dalam air yang separas betis itu apabila terdengar bunyi motorsikal. Pembaca tertanya-tanya sebab Hafiz berbuat sedemikian.

Hafiz tidak tentu arah melihat timbunan dan susunan barang yang pelbagai. Dia tidak sedar bahawa Samsul telah berpisah dengannya. Samsul tidak menyedari bahawa Hafiz tiada bersamanya. Samsul tersedar ketiadaan Hafiz dan berpatah balik untuk mencari Hafiz tetapi tidak dijumpainya.

Opah Arah datang ke rumah Hafiz dan memaki hamun Hafiz dan Sidang Saman yang menyebelahi Hafiz. Opah Arah ingin menerkam ke arah Hafiz tetapi dihalang oleh Sidang Saman. Alias menyerahkan baki RM30 kepada Hafiz. Alias sempat menyepak Hafiz ketika Hafiz mengutip wang di atas tanahdan Hafiz sempat menerkam ke arah Alias yang sedang menghidupkan enjin motor. Alias terjatuh dan motor menghempapnya. Opah Arah terus memaki Hafiz.

Persembahan pancaragam diadakan sebagai hiburan kepada mereka yang telah menyempurnakan majlis perkahwinan. Juruhebah meminta Hafiz tampil ke pentas untuk menyanyi kerana permintaan seorang peminat rahsia yang ingin tujukan lagu itu kepada keluarga tuan rumah.

Adila menangis apabila difitnah orang kampung. Dia menerima surat layang yang menulis kata-kata fitnah sehingga begitu mengecewakannya. Tulisan itu mengatakan bahawa dia menolak pinangan Alias kerana dirinya telah rosak. Hafiz dikatakan sebagai perosak kepada Adila dan akibatnya dia akan berkahwin dengan Hafiz nanti.

Samsul mengajak Hafiz ke hospital. Samsul memberitahu bahawa hafiz perlu melupakan persengketaannya kerana orang itu sedang menderita sakit. Hafiz menjadi serba salah dan memberitahu bahawa dia tidak dapat pergi kerana ada kerja yang ingin dilakukannya. Samsul memberitahu bahawa kemungkinan mereka tidak berpeluang lagi untuk bertemu dengannya.

Ketika Hafiz berbual-bual dengan Adila, mereka terpandang seorang pemuda yang baru lalu kemudian berhenti di luar pagar. Pemuda itu memandang mereka dan kemudian berlalu pergi. Hafiz sebak melihat pemuda itu. Terbayang tentang diirnya yang berdiri di luar pagar tadi.
Imbas muka
Hafiz menjangka-jangka makanan yang akan mengisi perutnya pada malam nanti. Mungkin pisang berangan, lebihan semalam masih ada di dapur. Apa-apa makanan tidak menjadi halangan kepadanya asalkan perutnya berisi

Setelah berbual-bual dengan Adila, Alias beredar dengan dada yang lapang dan hati yang tenang. Dia menyakinkan dirinya sendiri bahawa Adila pasti akan berada dalam genggamannya selepas beberapa pertemuan lagi

Sambil berbaring, Hafiz berangan-angan. Dia kerap kali mengingati keadaan dirinya yang akan berubah suatu hari nanti. Dia bercita-cita untuk mendapat kesenangan, bekerja dan bergaji besar. Dia ingin memandu sebuah kereta mewah yang akan menjadi pandangan dan sebutan seluruh penduudk kampung. Ketika itulah dia akan berkahwin dengan Same’ah.

Hafiz berkira-kira pekerjaan yang akan dilakukannya pada hari itu. Biasanya dia akan menunggu sesiapa sahaja di simpang berhampiran jambatan. Mereka mungkin akan mempelawanya untuk menolong di kebun. Apa yang penting baginya dia akan mendapat upah selepas itu.

Alias tidak dapat menyembunyikan perasaannya kepada kawan-kawannya. Dengan pujian kawan-kawannya, dia sudah berani mengaku bahawa Adila bakal menjadi isterinya nanti. Alias membayangkan bahawa dia akan bahagia bersama-sama Adila.
Monolog
Selepas membersihkan dirinya, dia berlagak seperti menonton televisyen dan mendengar radio sambil makan pisang. Sesekali dia bersorak gembira, bertepuk tangan dan menjerit di hadapan televisyen.

Hafiz berkata sendirian bahawa dia mesti bergaya sebelum pergi kerja ketika sedang menyisir rambutnya

Demam Hafiz semakin teruk menjelang senja. Sambil mengerang, dia menyebut nama Tuhan, meminta tolong daripada Allah.
Dialog
Alias berbual-bual dengan Sahak dan Sani tentang Adila. Alias tidak menyangka Adila yang berkelulusan universiti datang ke kampung untuk menoreh getah. Sahak dan Sani mencabar Alias supaya mendapatkan Adila. Puji memuji dan bermegah merupakan kebiasaan perbualan mereka, seolah-olah merekalah wira.

Adila berbual-bual dengan Same’ah di serambi rumah sambil membentuk bekas bunga telur. Adila memberitahu bahawa dia ingin menemu ramah Hafiz. Same’ah hairan apabila Adila membuat cadangan itu. Padanya Hafiz tidak sesuai untuk dijadikan bahan kajian kerana dikatakan terencat akal.

Sidang Saman memberitahu isterinya bahawa dia mendengar Harun sudah pulang ke kampung semalam. Kepulangan Harun menjadi tanda tanya kerana Harun sudah lama menghilangkan diri. Mak Lamah mencurigai kepulangan Harun dan Sidang Saman mengagak kepulangan itu ada kaitan dengan musim buah pada masa itu.

Harun datang berjumpa dengan Sidang Saman untuk menuntut haknya bersama dengan bekas isterinya. Sidang Saman mempersoalkan hak mana lagi yang ingin dituntut oleh Harun kerana tanah sawah masih nama Fatimah, tanah kebun masih nama arwah ayah Hafiz dan tapak rumah telah dijual oleh Harun kepada Wak Senen.

Malam itu, ketika Hafiz memikirkan hal kehidupannya, Wak Senen datang ke rumahnya. Wak Senen memberitahu bahawa dia menduduki tanah hafiz sudah sepuluh tahun. Dia menyedari bahawa urusan jual beli tanah tersebut dengan Harun tidak sah. Wak Senen memberitahu bahawa sepanjang dia duduk di tanah itu, dia sudah mendapat semula modalnya melalui aktiviti bercucuk tanam. Wak Senen ingin menyerahkan tanah itu kepada Hafiz jika Hafiz inginkan semula sambil berpesan supaya tidak menjual tanah itu kerana itulah satu-satunya pusaka arwah ibunya.

Keesokan hari, Adila memberitahu bahawa kerjanya telah selesai. Adila memberitahu bahawa Hafiz sudah boleh berdikari. Hafiz memberitahu bahawa dia tidak dapat membalas budi Adila. Adila pula memberitahu bahawa Hafiz banyak berbudi kepadanya kerana telah mengajarnya erti kehidupan dan kemanusiaan.
Kejutan
Hafiz menyedari kebaikan Harun tentunya mempunyai sebab. Dia meletakkan ibu jarinya pada pad dakwat hitam dan mengenakan kesan jarinya pada tempat yang diminta Harun dengan kuat sehingga menampakkan tumpahan dakwat yang tidak memberikan apa-apa makna.

Ketika Hafiz membantu Harun keluar daripada lumpur itu dan membuang lumpur pada baju Harun, tiba-tiba penumbuk Harun singgah di perutnya sehingga Hafiz terjatuh. Harun menerpa dan menyepak rusuk Hafiz. Beberapa sepakan singgah di belakang badan Hafiz sehingga dia tidak sedarkan diri.

Hafiz menyerang Alias sambil menumbuk perut Alias. Hafiz mencapai parang panjang menyebabkan Alias menjadi ketakutan. Sambil menghayun-hayun parang panjang itu, Hafiz meminta supaya Alias menggantikan radio yang rosak itu. Hafiz ingin membakar motor Alias.

Hafiz melangkah tenang ke pentas dan menyampaikan sebuah lagu Bahtera Merdeka. Hafiz mengumandangkan suaranya dengan iringan muzik yang sempurna sehinggalah ke akhirnya. Orang ramai yang pada mulanya bersorak menjadi diam. Mereka tidak menduga Hafiz boleh menyanyi.

No comments:

Post a Comment

ASPEK KOMSAS DRAMA BERKHIDMAT UNTUK NEGARA

ASPEK KOMSAS DRAMA BERKHIDMAT UNTUK NEGARA ASPEK KOMSAS PERNYATAAN HURAIAN PEMIKIRAN Semangat cinta...