Wednesday 29 August 2012

KELAB BOLA KERANJANG DAN BOLA BALING FARIS PETRA...

PENULIS SELAKU GURU PENASIHAT KELAB BOLA KERANJANG DAN BOLA BALING BERSAMA-SAMA AJK TERINGGI KELAB

KELAB BOLA KERANJANG

KELAB BOLA BALING

CIKGU AZAMAN....!


SOALAN PERCUBAAN BAHASA MELAYU SPM KERTAS 2 (SBP) 2012


BAHASA MELAYU KERTAS 2


Soalan 1: Rumusan
[30 markah]
Baca petikan di bawah dengan teliti, kemudian buat satu rumusan tentang usaha-usaha untuk meningkatkan mutu perkhidmatan awam dan kesan-kesan usaha tersebut kepada negara. Panjangnya rumusan hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.

Pelbagai transformasi dilaksanakan oleh kerajaan yang dipimpin oleh Datuk Sri Mohd. Najib Tun Abdul Razak demi meningkatkan kredibiliti perkhidmatan awam di negara ini. Perkhidmatan awam yang dianggotai kira-kira 1.2 juta orang kakitangan tidak terkecuali daripada terlibat dalam transformasi sejajar dengan tuntutan untuk menzahirkan aspirasi kerajaan. Semua penjawat awam perlu berganding bahu dan berazam untuk merealisasikan aspirasi kerajaan yang mengutamakan prestasi dan bertunjangkan keutamaan kepada rakyat.

Peranan penjawat awam amat signifikan dalam melaksanakan agenda negara. Teguran sering dibuat terhadap sikap negatif kakitangan awam yang kurang mesra di kaunter-kaunter apabila berurusan dengan pelanggan. Keadaan ini berlaku disebabkan sikap segelintir kakitangan awam yang tidak bertanggungjawab sehingga mencalarkan nama baik penjawat awam. Kakitangan awam perlu membudayakan kreativiti dan inovasi penjawat awam. Sementara itu, dalam usaha untuk memastikan setiap ringgit dan sen yang dibelanjakan mendapat pulangan nilai paling maksimum kepada kerajaan dan rakyat, amalan nilai untuk wang perlu dilaksanakan. Hal ini demikian kerana, kerajaan telah berbelanja berjuta-juta ringgit setiap tahun hanya untuk meningkatkan mutu perkhidmatan awam.

Yang paling perlu ialah kakitangan awam sendiri perlu melakukan anjakan paradigma untuk menghadapi cabaran pada masa depan. Pelbagai penyelesaian terbaik demi memartabatkan negara ke tahap yang lebih tinggi perlu dilaksanakan. Mereka hendaklah bersama-sama memberikan sepenuh komitmen dalam memperkukuh sistem penyampaian perkhidmatan kerajaan. Mereka juga perlu meningkatkan nilai integriti ketika bertugas. Peningkatan tahap integriti ini amat selari dengan komitmen kerajaan yang mahu mewujudkan sebuah pentadbiran yang mendahulukan rakyat dan mengutamakan pencapaian.

Kakitangan awam juga digesa untuk memberikan perkhidmatan yang lebih menjurus kepada usaha mempermudah dan mempercepat urusan pelanggan tanpa kerenah birokrasi. Sering kali kedengaran rungutan daripada mulut kebanyakan orang tentang kelewatan penjawat awam melaksanakan tugas mereka apabila mereka berurusan di pejabat-pejabat kerajaan. Cara ini didapati berupaya membendung amalan rasuah dalam kalangan penjawat awam. Ada juga kakitangan awam yang tidak segan silu meminta bayaran jika orang ramai mahukan urusan mereka dibuat dengan segera.

Pembaharuan demi pembaharuan yang dilakukan mampu menutup ruang-ruang kosong demi meningkatkan mutu perkhidmatan awam di negara ini. Hasrat kerajaan untuk mempertingkatkan daya saing negara di persada antarabangsa bakal menjadi kenyataan tidak lama lagi. Semangat kerja secara berpasukan juga perlu diterapkan dalam setiap tugas yang dilaksanakan demi mencapai sasaran yang ditetapkan. Sesungguhnya setiap program yang dilaksanakan menjadi titik tolak yang melakar perubahan dalam sejarah perkhidmatan awam di negara ini.

(Dipetik dan diubah suai daripada “Transformasi Pekhidmatan Awam”, oleh Abd. Kadir Mohd. Ayub, dalam Dewan Masyarakat, Februari 2012)

Soalan 2: Pemahaman
[35 markah]
Soalan 2(a) - Petikan Umum

Berdasarkan petikan Soalan 1, jawab soalan-soalan yang berikut dengan menggunakan ayat anda sendiri.

(i) Berikan maksud rangkai kata mencalarkan nama baik.    [2 markah]

(ii) Apakah rungutan orang ramai yang sering disuarakan terhadap mutu perkhidmatan awam di negara ini?
[3 markah]

(iii) Pada pendapat anda, apakah bentuk ganjaran yang perlu diberikan kepada penjawat awam yang telah berkhidmat dengan cemerlang?    [4 markah]



Soalan 2(b)–Petikan Cerpen

Baca petikan cerpen di bawah dengan teliti, kemudian jawab soalan-soalan yang berikutnya dengan menggunakan ayat anda sendiri.

Sekali ini, hati batu Kapten Mamat menjadi lembut benar. Dia tahan melihat mayat Baharum mati berdarah. Tetapi, tidak sanggup melihat janda dan dua orang anaknya yang tinggal. Wajah dan tangisan mereka merupakan suatu gambaran dunia yang penuh laknat.
Siapakah tidak terharu melihat anak yang baru kehilangan bapa bertanya mana bapanya? Siapakah yang tidak kasihan melihat isteri yang baru kehilangan suaminya? Menyaksikan anak dan isteri yang menanggung duka dan nestapa, suatu penyeksaan bagi Kapten Mamat, tetapi jika sudah berdepan, dipaksanya menahan segala kemungkinan. Sifatnya yang lemah itu diatasinya dengan gagah.
“Hari ini terlampau panas,” kata Kapten Mamat membuka mulut.
Isterinya segera menjawab.
“Ya, panas salah, sejuk salah.”
Masnah diam. Anak matanya pudar memberi suatu pengertian yang mengharukan. Percakapan yang baru lalu didengarinya dengan muka sugul. Rambutnya kusut dan semuanya membayangkan masa depan yang sangat gelap.
Anak yang menangis tadi didukung oleh anak gadis Kapten Mamat. Tetapi anak Masnah yang pandai bercakap, bertanya ibunya, “Emak! Oh, emak! Abah ada di sini emak?”
(Dipetik daripada cerpen ‘Penanggungan’ oleh Wijaya Mala dalam antologi Dirgahayu Bahasaku Dewan Bahasa dan Pustaka)

(i) Apakah dilema atau rasa serba salah yang dihadapi oleh Kapten Mamat? [2 markah]

(ii) Sekiranya anda berhadapan dengan wanita seperti Masnah, apakah langkah-langkah yang boleh anda ambil untuk membantunya? [3 markah]

(iii) Huraikan satu persoalan yang terdapat dalam petikan di atas dan satu persoalan yang lain daripada keseluruhan cerpen. [4 markah]



Soalan 2(c) – Petikan Prosa Klasik

Baca petikan prosa klasik di bawah dengan teliti, kemudian jawab soalan-soalan yang berikutnya dengan menggunakan ayat anda sendiri.

Megat Iskandar dan Megat Kedah keduanya ialah kakanda kepada Sultan Maliku’l-Nasar di Rimba Jerun. Segala rakyat serta kedua raja itu kasih akan Merah Silu. Megat Iskandar menyuruh segala rakyat membawa beras seorang sekampit. Pada suatu hari, Megat Iskandar bermuafakat dengan orang besar-besar, orang tua-tua dan segala rakyat dalam negeri itu. Kata Megat Iskandar, “Hai segala tuan-tuan, apa fikiran kita akan Merah Silu ini? Pada bicara hamba baiklah kita jadikan dia raja kerana ia pun sedia raja, lagi ia hartawan. Dapat kita menumpang bersuka kepadanya.”
Antara mereka yang hadir itu seorang bernama Tun Aria Benong. Tun Aria Benong tiada mahu Merah Silu dijadikan raja. Ujarnya, “Jikalau ia kita jadikan raja, nescaya anak cucu kita diperintahnya.”
Megat Iskandar bermuafakat lagi dengan segala orang dan baginda tetap merajakan Merah Silu, lalu Merah Silu diangkat menjadi raja.
Setelah Merah Silu diangkat menjadi raja, datang Sultan Maliku’l-Nasar ke Rimba Jerun. Maka berperanglah Merah Silu dengan Sultan Maliku’l-Nasar. Sultan Maliku’l-Nasar berundur ke sebuah negeri bernama Benua lalu dia bertahan dan berbuat istana. Beberapa lama Sultan Maliku’l-Nasar duduk dalam negeri itu, pada suatu hari, datang Merah Silu memerangi Sultan Maliku’l-Nasar lalu Sultan Maliku’l-Nasar undur ke rimbanya. Merah Silu menamakan tempat itu Permata Terjun. Sultan Maliku’l-Nasar berundur lagi dan sampailah di suatu negeri; dan membuat istana di negeri itu.
(Dipetik daripada ‘Merah Silu’ Dalam antologi Harga Remaja, Dewan Bahasa dan Pustaka)

(i) Berikan maksud ia pun sedia raja. [2 markah]

(ii) Apakah tindakan-tindakan yang dilakukan oleh Megat Iskandar sebelum mengangkat Merah Silu sebagai raja? [3 markah]

(iii) Sekiranya anda Merah Silu, apakah tindakan-tindakan yang akan diambil untuk menangani tentangan daripada pihak yang memusuhi anda? [3 markah]



Soalan 2(d) -Petikan Puisi

Baca sajak di bawah dengan teliti, kemudian jawab soalan-soalan yang berikutnya dengan menggunakan ayat anda sendiri.

Kecek – (V)
1
seorang pengarah
membuka akaun semasanya
di sebuah bank ternama
tetapi dalam diam
dia mencantum kemiskinan
orang lain
ke dalam amanahnya
yang telah lama pecah.

2
di kampung
seorang petani
membuka akaun kemiskinannya
di ruang kedaifan
dan mengunci sedozen anak-anaknya
di dalam pagar sengsara
tetapi dia tidak pernah mencantum
kekayaan orang lain
ke dalam getirnya
yang sudah lama
berumbi.

3
di pantai
seorang nelayan
membuka akaun sengsaranya
di rahang laut ternganga
dan mengurung sederet anak-anaknya
di bawah pusaran nasib
tetapi dia tidak pernah mengumpul
kesenangan orang lain
ke dalam kegusarannya
yang telah sekian musim
berlumut
di papan hidupnya.

4
Tuhan tidak pernah mungkir
mencatatkan setiap angka
dan nilai hitungan paling kecil
ke dalam akaun-Nya
di rumah keadilan.
AWANG ABDULLAH
Antologi Dirgahayu Bahasaku, Dewan Bahasa dan Pustaka

(i) Apakah persamaan antara golongan petani dengan golongan nelayan dalam sajak? [2 markah]

(ii) Pada pendapat anda, mengapakah penyajak membandingkan keadaan ketiga-tiga golongan dalam sajaknya? [4 markah]

(iii) Nyatakan tiga pengajaran yang terdapat dalam sajak “Kecek (V)”. [3 markah]



Soalan 3: Pengetahuan dan Kemahiran Bahasa
[30 markah]
Jawab semua soalan.
(a) Tulis satu ayat bagi setiap kata di bawah untuk menunjukkan bahawa anda faham akan maksud dan penggunaannya. Anda tidak boleh menambahkan imbuhan atau menggunakan perkataan itu sebagai peribahasa atau kata nama khas.

(i) lama
(ii) berlama-lama
(iii) lama-kelamaan
(iv) jauh
(v) menjauh
(vi) kejauhan
[6 markah]

(b) Tulis semula petikan di bawah dalam bentuk cakap pindah. Anda dikehendaki mengekalkan susunan isi dalam petikan.

Maria : Pukul berapa awak akan berangkat?
Ahmad : Pukul 3 petang tetapi teksi yang akan menghantar saya ke lapangan terbang
akan tiba sebentar lagi.
Maria : Berhati-hati dalam perjalanan nanti. Pandai-pandailah jaga diri di tempat
orang. Oh, ya! Pasport sudah bawa?
Ahmad : Ada di dalam beg galas.
[6 markah]

(c) Dalam petikan di bawah terdapat tiga kesalahan ejaan dan tiga kesalahan penggunaan imbuhan. Senaraikan dan betulkan kesalahan itu. Anda tidak boleh menyenaraikan lebih daripada tiga kesalahan ejaan dan tiga kesalahan imbuhan. Anda tidak perlu menyalin petikan itu semula.

Setelah jalan raya dinaiktaraf menjadi lebuh raya, pengguna dapat menikmati berbagai kemudahan sepanjang perjalanan. Bermula dari Bukit Kayu Hitam hingga Johor Bahru, pengguna dapat mempergunakan kemudahan yang disediakan di kawasan rehat dan rawat. Di kawasan rehat dan rawat ini, pengguna dapat beristirehat bagi menghilangkan rasa penat-lelah di samping menjamu selera di gerai makan yang mampu memenuhkan cita rasa semua kaum.
[6 markah]


(d) Dalam setiap ayat di bawah, terdapat satu kesalahan penggunaan kata atau istilah dan satu kesalahan tatabahasa. Senaraikan dan betulkan kesalahan itu. Bagi setiap ayat, anda tidak boleh menyenaraikan lebih daripada satu kesalahan penggunaan kata atau istilah dan satu kesalahan tatabahasa. Anda tidak perlu menyalin ayat itu semula.

(i) Pembentang kertas kerja-kertas kerja perlu mengirimkan biografi ringkas mereka melalui e-mel.

(ii) Oleh yang demikian, pihak berkuasa wajar bertindak keras terhadap orang yang mencuri air untuk memastikan masalah air dapat ditangani dengan segera.

(iii) Pengambilan pekerja mengikut jantina di dalam perusahaan itu berdasarkan had yang ditetapkan oleh syarikat.
[6 markah]


(e) Bina satu perenggan karangan yang menggunakan tiga daripada peribahasa yang
disenaraikan.

Bagai lebah menghimpunkan madu
Belakang parang kalau diasah lagikan tajam
Genggam bara api biar sampai jadi arang
Di mana ada kemahuan di situ ada jalan
[6 markah]


Soalan 4: Novel
[15 markah]

Jawab soalan-soalan di bawah berdasarkan novel-novel yang berikut:
(i) PAPA… (akhirnya kau tewas jua!) karya Deana Yusof
(ii) Melunas Rindu karya Hartini Hamzah
(iii) Azfa Hanani karya Halis Azhan Mohd. Hanafiah
(iv) Renyah karya Gunawan Mahmood
(v) Konserto Terakhir karya Abdullah Hussain
(vi) Kabus di Perbukitan karya Mohamad Kholid Hamzah
(vii) Kembara Amira karya Amer Hamzah L. Kadir
(viii) Sutera Dalam Lukisan karya Abd. Talib Hassan

(a) Dalam sesebuah novel, terdapat peristiwa-peristiwa yang menarik perhatian pembaca.
Berdasarkan sebuah novel yang anda kaji, pilih dua peristiwa yang menarik dan nyatakan sebab peristiwa itu berjaya menarik perhatian anda. [7 markah]

(b) Berdasarkan dua buah novel yang anda kaji, huraikan satu latar masyarakat yang
dipaparkan dalam setiap novel tersebut. [8 markah]

KERTAS SOALAN TAMAT


(SUMBER : PANEL PENGGUBAL BAHAGIAN PENGURUSAN SEKOLAH BERASRAMA PENUH DAN SEKOLAH KECEMERLANGAN KEMENTERIAN PELAJARAN MALAYSIA)






SOALAN PERCUBAAN BAHASA MELAYU SPM KERTAS 1 (SBP) 2012

BAHASA MELAYU KERTAS 1

Bahagian A
[30 markah]
[Masa dicadangkan: 45 minit]

Lihat carta di bawah dengan teliti. Huraikan pendapat anda tentang ciri-ciri remaja berwawasan. Panjang huraian hendaklah antara 200 hingga 250 patah perkataan.

Ciri-ciri Remaja Berwawasan
(Dipetik dan diubah suai dari buku teks tingkatan 4 halaman 158)


MEMPUNYAI
PELBAGAI
KEMAHIRAN

SEMANGAT PATRIOTIK                                    BERILMU & BERKONGSI ILMU









Bahagian B
[100 markah]
[Masa dicadangkan : 1 Jam 30 minit]

Pilih satu daripada soalan di bawah dan tulis sebuah karangan yang panjangnya lebih daripada 350 patah perkataan.

1. Melanjutkan pelajaran ke institusi pengajian tinggi setelah menamatkan Sijil Pelajaran Malaysia menjadi idaman setiap remaja.
Jelaskan ciri-ciri pusat pengajian tinggi yang menjadi idaman anda.

2. Ibu bapa merupakan pendorong utama dalam membudayakan amalan membaca dalam kalangan anak..
Jelaskan usaha-usaha yang dilakukan ibu bapa bagi memastikan amalan membaca menjadi budaya dalam kalangan keluarga mereka.

3. Malaysia merupakan sebuah negara yang berpotensi untuk lebih maju dalam sektor pelancongan. Sehubungan dengan itu, anda ingin menulis rencana untuk disiarkan oleh akhbar tempatan. Tajuk rencana tersebut ialah “Usaha-usaha untuk Memajukan Pelancongan Negara.”
Tulis rencana itu selengkapnya.

4 Kerjasama yang erat antara negara jiran mendatangkan banyak faedah.
Jelaskan kebaikan yang diperoleh daripada kerjasama yang erat antara negara yang berjiran.

5 Anda berhasrat untuk menyertai pertandingan penulisan cerpen yang dianjurkan oleh sekolah anda. Tema cerpen yang anda pilih ialah perpaduan kaum.
Tulis cerpen anda itu selengkapnya.

KERTAS SOALAN TAMAT

(SUMBER : PANEL PENGGUBAL BAHAGIAN PENGURUSAN SEKOLAH BERASRAMA PENUH DAN SEKOLAH KECEMERLANGAN)

SKEMA PEPERIKSAAN PERCUBAAN BAHASA MELAYU SPM (SBP) 2012 DAN TEKNIK MENJAWAB...!


SKEMA PEPERIKSAAN PERCUBAAN SPM (SBP) 2012

SOALAN 1: RUMUSAN

Petikan membincangkan cara-cara untuk meningkatkan mutu perkhidmatan awam di Malaysia.

Cara-cara untuk meningkatkan mutu perkhidmatan awam ialah kerajaan telah melaksanakan pelbagai transformasi dan membelanjakan berjuta-juta ringgit setiap tahun. Selain itu, penjawat awam perlu membudayakan kreativiti dan inovasi serta melakukan anjakan paradigma bagi menghadapi cabaran masa depan. Kakitangan awam juga perlu meningkatkan nilai integriti dan menerapkan semangat kerja berpasukan dalam setiap tugas yang dilaksanakan.

Kesan-kesan usaha tersebut kepada negara adalah  pertumbuhan ekonomi negara dapat ditingkatkan serta kos pengurusan dan perbelanjaan kerajaan dapat dikurangkan. Selain itu, perkhidmatan bertaraf dunia dapat diberikan kepada pelanggan.

Kesimpulannya, penjawat awam perlu memberikan perkhidmatan yang terbaik agar imej mereka di mata masyarakat dapat ditingkatkan.

                                                                                                                                                                        

                                                                                                                                [105 patah perkataan]




SOALAN 2: PEMAHAMAN

Soalan 2(a) – Petikan Umum

i)                    Maksud rangkai kata tersebut adalah merosakkan reputasi

ii)           Rungutan orang ramai yang sering disuarakan terhadap mutu perkhidmatan awam di negara ini adalah kelewatan penjawat awam melaksanakan tugas mereka apabila mereka berurusan di pejabat-pejabat kerajaan dan sikap negatif kakitangan awam di kaunter-kaunter yang kurang mesra apabila berurusan dengan pelanggan. Selain itu, ada juga kakitangan awam yang mengenakan bayaran jika orang ramai mahukan urusan mereka dibuat dengan segera.

iii)           Pada pendapat saya, bentuk ganjaran yang perlu diberikan kepada penjawat awam yang telah berkhidmat dengan cemerlang adalah memberikan anugerah perkhidmatan cemerlang kepada mereka dalam majlis yang diadakan secara besar-besaran. Selain itu, mereka juga dihadiahkan pakej pelancongan atau pakej mengerjakan umrah atas perkhidmatan cemerlang yang ditunjukkan. Ganjaran lain yang boleh diberikan adalah menawarkan kenaikan pangkat kepada mereka  dengan tapisan yang mudah serta menawarkan kenaikan gaji yang setimpal dengan usaha yang telah dilakukan oleh mereka.



Soalan 2(b) – Petikan Prosa Moden

i)                  Dilema atau rasa serba salah yang dihadapi oleh Kapten Mamat ialah dia tahan melihat kematian Baharom tetapi dia tidak sanggup melihat isteri yang kematian suami dan anak-anak yang kehilangan bapa.

ii)             Sekiranya saya berhadapan dengan wanita seperti Masnah, langkah-langkah yang boleh saya ambil untuk membantunya adalah dengan memberikan semangat dan dorongan kepadanya supaya dia dapat menerima musibah tersebut dengan reda. Selain itu, saya akan membantu Masnah dengan membawanya berjumpa dengan pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat untuk mendaftarkan diri sebagai ibu tunggal supaya bantuan dapat disalurkan. Saya juga boleh membantu Masnah dengan mencari pekerjaan yang mampu dilakukannya supaya pendapatan dapat diperoleh bagi menyara keluarga.

iii)              Satu persoalan yang terdapat dalam petikan adalah penderitaan ibu tunggal yang telah kematian suami. Persoalan ini dapat dibuktikan melalui penderitaan Masnah yang terpaksa mengharung kehidupan dengan dua orang anaknya tanpa pekerjaan tetap selepas suaminya Baharom meninggal dunia.

Satu persoalan yang terdapat dalam keseluruhan cerpen ialah tanggungjawab terhadap keluarga yang kurang berkemampuan. Persoalan ini dapat dilihat melalui usaha Kapten Mamat yang bersungguh-sungguh membantu Masnah dengan berjanji untuk mendapatkan pampasan atas kematian suaminya agar penderitaan Masnah dapat diringankan.


Soalan 2(c) - Petikan Prosa Klasik

i)                    Maksud rangkasi kata tersebut ialah dia memang keturunan raja

ii)                Tindakan-tindakan yang dilakukan oleh Megat Iskandar sebelum mengangkat Merah Silu sebagai raja adalah menyuruh rakyat membawa beras sekampit seorang dan bermuafakat dengan orang tua-tua, orang besar-besar dan rakyat jelata yang terdapat di negeri tersebut. Selain itu, Megat Iskandar meminta pandangan orang ramai tentang Merah Silu kerana pada pandangannya Merah Silu boleh diangkat sebagai raja kerana dia memang keturunan raja. Walaupun dibantah oleh Tun Aria Benong, Megat Iskandar bermuafakat lagi dengan semua orang dan akhirnya melantik Merah Silu sebagai raja.

iii)              Sekiranya saya Merah Silu, tindakan-tindakan yang akan saya ambil untuk menangani tentangan daripada pihak yang memusuhi saya adalah berbincang dengan pihak lawan untuk mencari punca yang telah mencetus kepada perbalahan tersebut dan membuat perundingan untuk berdamai supaya peperangan dapat dielakkan. Jika pihak lawan berkeras, saya akan memperkuatkan pasukan pertahanan negara sebagai persediaan bagi menghadapi peperangan jika berlaku.





Soalan 2(d) – Petikan Puisi

i)             Persamaan antara golongan petani dengan golongan nelayan dalam sajak adalah kedua-duanya mempunyai anak yang ramai dan kedua-duanya menempuh kehidupan dalam kemiskinan. Selain itu, kedua-duanya mencari rezeki untuk menyara keluarga tanpa menyusahkan orang lain.

ii)        Pada pendapat saya, sebab penyajak membandingkan keadaan ketiga-tiga golongan dalam sajaknya adalah kerana ingin menimbulkan kesedaran orang ramai terhadap nasib yang menimpa golongan petani dan nelayan yang hidup dalam kemiskinan. Selain itu, penyajak ingin membuka mata pihak-pihak berwajib supaya memberi perhatian dengan membantu golongan petani dan nelayan agar kehidupan mereka berubah. Di samping itu, penyajak juga ingin menyedarkan orang ramai bahawa rezeki yang diperoleh petani dan nelayan walaupun sedikit perlu disyukuri kerana rezeki tersebut adalah halal berbanding memperoleh kekayaan dengan cara yang salah. Akhir sekali, penyajak ingin memberi peringatan kepada golongan korporat supaya tidak mengambil kesempatan atas kelemahan orang lain ketika mengumpul kekayaan kerana setiap kesalahan akan dikenakan hukuman.

iii)               Pengajaran yang terdapat dalam sajak tersebut ialah kita hendaklah amanah dalam melaksanakan tugas supaya rezeki yang diperoleh akan diberkati. Selain itu, kita perlu bersyukur dengan rezeki yang diperoleh walaupun sedikit kerana rezeki itu adalah halal dan tidak menyusahkan orang lain. Di samping itu, kita mestilah mengelakkan diri daripada mencari kekayaan dengan menindas orang lain kerana setiap kesalahan akan dihitung kemudian hari.



SOALAN 3 : PENGETAHUAN DAN KEMAHIRAN BAHASA



3(a) membina ayat
i)             Badrol sudah lama tidak pulang ke kampung setelah keluarganya berpindah ke Kuala Lumpur.
ii)          Ibu melarang adik berlama-lama di dalam bilik air kerana kawasan perumahan tersebut mengalami gangguan bekalan air.
iii)    Walaupun peristiwa tersebut menyakitkan hatinya, tetapi lama-kelamaan Asri dapat melupakannya.
iv)      Kedudukan rumah Alias yang sangat jauh telah menyukarkannya ke kelas tambahan pada waktu malam.
v)           Hubungan Budin dengan Fikri semakin menjauh apabila Budin ditangkap berkhalwat dengan adiknya.
vi)                 Kerinduan Murni semakin memuncak menjelang hari raya setelah kejauhan dengan ibunya.

3(b) menukar cakap ajuk kepada cakap pindah
Maria bertanyakan waktu Ahmad akan berangkat. Ahmad memberitahu bahawa dia akan berangkat pada jam 3 petang sambil memaklumkan teksi yang akan menghantarnya ke lapangan terbang akan tiba tidak lama lagi. Maria menasihati Ahmad supaya berhati-hati dalam perjalanan dan memesan agar Ahmad pandai menjaga diri di tempat orang. Maria teringat akan sesuatu lantas bertanyakan Ahmad sama ada sudah membawa pasport. Ahmad menyatakan bahawa pasportnya ada di dalam beg galas.

3(c) membetulkan kesalahan ejaan dan imbuhan
i)                    dinaiktaraf                   -              dinaik taraf
ii)                   berbagai                      -              berbagai-bagai/ pelbagai
iii)                 mempergunakan          -              menggunakan
iv)                 beristirehat                  -              beristirahat
v)                  penat-lelah                  -              penat lelah
vi)                 memenuhkan               -              memenuhi

3(d) membetulkan kesalahan kata/istilah dan bahasa
i)                    kertas kerja-kertas kerja              -              kertas-kertas kerja
biografi                                         -              biodata
ii)                   Oleh yang demikian                      -              Oleh hal yang demikian
keras                                             -              tegas
iii)                 di dalam                                       -              dalam
had                                               -              kouta

3 (e) peribahasa
Syahrul sedar bahawa dirinya lemah dalam pelajaran. Setiap hari dia telah didenda oleh cikgu Razak kerana tidak dapat menjawab soalan yang diberikan. Walaupun begitu, Syahrul berazam untuk menjadi pelajar cemerlang jika dia berusaha bersungguh-sungguh bak genggam bara api biar sampai jadi arang. Baginya jika dia berazam untuk mendapat sesuatu nescaya dia akan memperolehnya walapun banyak halangan yang terpaksa ditempuhnya kerana di mana ada kemahuan di situ ada jalan. Dia percaya bahawa jika dia berusaha dengan gigih maka dia akan berjaya dengan cemerlang dalam pelajaran walaupun dia sedar dirinya lemah kerana belakang parang kalau diasah lagikan tajam.


SOALAN 4 : NOVEL
4 (a)

Novel yang saya kaji ialah novel Sutera Dalam Lukisan karya Abd. Talib Hassan. Banyak peristiwa yang menarik terdapat dalam novel tersebut. Antaranya peristiwa Bujei dapat menyampaikan lagu Bahtera Merdeka dengan baik semasa majlis perkahwinan Sameah. Peristiwa ini menarik perhatian saya kerana Bujei berani menyahut cabaran dan menunjukkan keyakinan yang tinggi. Hal ini menunjukkan bahawa Bujei sudah pulih. Keberanian yang ditunjukkan oleh Bujei itu membuktikan bahawa Adila telah berjaya memulihkan Bujei menjadi manusia yang normal.

Peristiwa seterusnya ialah Bujei telah mengacu parang dan mengejar Alias sambil meminta ganti rugi apabila Alias merosakkan radio yang baru dibelinya. Peristiwa ini menarik perhatian saya kerana Alias yang sering membuli Bujei menjadi takut apabila melihat tindakan Bujei yang mengejarnya dengan parang. Hal ini membuktikan bahawa Bujei berani menegakkan kebenaran dan menuntut haknya daripada Alias.


4(b)

Novel yang saya kaji ialah novel Sutera Dalam Lukisan karya Abd Talib Hassan dan novel Renyah karya Gunawan Mahmood. Pengarang menggunakan pelbagai latar masyarakat dalam kedua-dua novel tersebut.

Dalam novel Sutera Dalam Lukisan, latar masyarakat yang dikemukakan oleh pengarang ialah masyarakat yang suka membuli orang yang kurang bernasib baik. Latar masyarakat ini dapat dibuktikan melalui Alias yang suka membuli Bujei dengan mengarahkan supaya Bujei terjun ke dalam sungai dan membenam-benamkan badannya ke dalam lumpur setiap kali terserempak dengannya.

Dalam novel Renyah pula, latar masyarakat yang dipaparkan dalam novel tersebut ialah masyarakat usahawan yang berjaya dalam bidang perniagaan.  Latar masyarakat ini dapat dibuktikan melalui Datuk Dolhi dan Albert Lee yang merupakan usahawan yang berjaya dalam perniagaan yang diceburi sehingga mampu menubuhkan Syarikat Dolhi-Albert Holdings.



Tuesday 28 August 2012

LENSA KEJOHANAN RAGBI ANTARA SBP KEBANGSAAN 2012 (6)

MAJLIS PENUTUP
KARNIVAL 1MURID 1SUKAN
KEJOHANAN RAGBI DAN BOLA JARING ANTARA SBP KEBANGSAAN 2012
DISEMPURNAKAN OLEH PENGARAH BAHAGIAN PENGURUSAN SBPSK











LENSA KEJOHANAN RAGBI ANTARA SBP KEBANGSAAN 2012 (5)

PERLAWANAN TEMPAT KE-3/KE-4 
DAN FINAL KATEGORI CUP
KEJOHANAN RAGBI SBP KEBANGSAAN 2012










LENSA KEJOHANAN RAGBI ANTARA SBP KEBANGSAAN 2012 (4)

MALAM TAUTAN KASIH PERDANA
KEJOHANAN RAGBI ANTARA SBP KEBANGSAAN 2012
DIRASMIKAN OLEH PENGARAH JPP KELANTAN










Monday 27 August 2012

LENSA KEJOHANAN RAGBI ANTARA SBP KEBANGSAAN 2012 (3)

PERLAWANAN AKHIR KEJOHANAN RAGBI ANTARA SBP KEBANGSAAN 2012
KATEGORI SPOON
 FARIS PETRA VS SAKTI
DIMENANGI OLEH SAKTI













LENSA KEJOHANAN RAGBI ANTARA SBP KEBANGSAAN 2012 (2)

MAJLIS PERASMIAN PEMBUKAAN
KEJOHANAN RAGBI ANTARA SBP KEBANGSAAN 2012
OLEH TIMBALAN PENGARAH BELIA DAN SUKAN NEGERI KELANTAN










Sunday 26 August 2012

LENSA KEJOHANAN RAGBI ANTARA SBP KEBANGSAAN 2012 (1)

PENDAFTARAN PASUKAN 
KEJOHANAN RAGBI 10 SEPASUKAN BAWAH 16 TAHUN
ANTARA SBP PERINGKAT KEBANGSAAN KALI KE-13, 2012
11 JULAI 2012 (RABU)











ASPEK KOMSAS DRAMA BERKHIDMAT UNTUK NEGARA

ASPEK KOMSAS DRAMA BERKHIDMAT UNTUK NEGARA ASPEK KOMSAS PERNYATAAN HURAIAN PEMIKIRAN Semangat cinta...