SKEMA PEPERIKSAAN PERCUBAAN SPM (SBP) 2012
SOALAN 1: RUMUSAN
Petikan membincangkan
cara-cara untuk meningkatkan mutu perkhidmatan awam di Malaysia.
Cara-cara untuk meningkatkan
mutu perkhidmatan awam ialah kerajaan telah melaksanakan pelbagai transformasi
dan membelanjakan berjuta-juta ringgit setiap tahun. Selain itu, penjawat awam
perlu membudayakan kreativiti dan inovasi serta melakukan anjakan paradigma bagi
menghadapi cabaran masa depan. Kakitangan awam juga perlu meningkatkan nilai
integriti dan menerapkan semangat kerja berpasukan dalam setiap tugas yang
dilaksanakan.
Kesan-kesan usaha tersebut
kepada negara adalah pertumbuhan ekonomi
negara dapat ditingkatkan serta kos pengurusan dan perbelanjaan kerajaan dapat
dikurangkan. Selain itu, perkhidmatan bertaraf dunia dapat diberikan kepada
pelanggan.
Kesimpulannya, penjawat awam
perlu memberikan perkhidmatan yang terbaik agar imej mereka di mata masyarakat
dapat ditingkatkan.
[105
patah perkataan]
SOALAN 2: PEMAHAMAN
Soalan 2(a) – Petikan Umum
i)
Maksud rangkai kata tersebut adalah merosakkan
reputasi
ii) Rungutan orang ramai yang sering disuarakan
terhadap mutu perkhidmatan awam di negara ini adalah kelewatan penjawat awam
melaksanakan tugas mereka apabila mereka berurusan di pejabat-pejabat kerajaan
dan sikap negatif kakitangan awam di kaunter-kaunter yang kurang mesra apabila
berurusan dengan pelanggan. Selain itu, ada juga kakitangan awam yang
mengenakan bayaran jika orang ramai mahukan urusan mereka dibuat dengan segera.
iii) Pada pendapat saya, bentuk ganjaran yang perlu
diberikan kepada penjawat awam yang telah berkhidmat dengan cemerlang adalah
memberikan anugerah perkhidmatan cemerlang kepada mereka dalam majlis yang
diadakan secara besar-besaran. Selain itu, mereka juga dihadiahkan pakej
pelancongan atau pakej mengerjakan umrah atas perkhidmatan cemerlang yang
ditunjukkan. Ganjaran lain yang boleh diberikan adalah menawarkan kenaikan
pangkat kepada mereka dengan tapisan
yang mudah serta menawarkan kenaikan gaji yang setimpal dengan usaha yang telah
dilakukan oleh mereka.
Soalan 2(b) – Petikan Prosa Moden
i) Dilema atau rasa serba salah yang dihadapi oleh
Kapten Mamat ialah dia tahan melihat kematian Baharom tetapi dia tidak sanggup
melihat isteri yang kematian suami dan anak-anak yang kehilangan bapa.
ii) Sekiranya saya berhadapan dengan wanita seperti
Masnah, langkah-langkah yang boleh saya ambil untuk membantunya adalah dengan
memberikan semangat dan dorongan kepadanya supaya dia dapat menerima musibah tersebut
dengan reda. Selain itu, saya akan membantu Masnah dengan membawanya berjumpa
dengan pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat untuk mendaftarkan diri sebagai ibu
tunggal supaya bantuan dapat disalurkan. Saya juga boleh membantu Masnah dengan
mencari pekerjaan yang mampu dilakukannya supaya pendapatan dapat diperoleh
bagi menyara keluarga.
iii) Satu persoalan yang terdapat dalam petikan adalah
penderitaan ibu tunggal yang telah kematian suami. Persoalan ini dapat
dibuktikan melalui penderitaan Masnah yang terpaksa mengharung kehidupan dengan
dua orang anaknya tanpa pekerjaan tetap selepas suaminya Baharom meninggal
dunia.
Satu
persoalan yang terdapat dalam keseluruhan cerpen ialah tanggungjawab terhadap
keluarga yang kurang berkemampuan. Persoalan ini dapat dilihat melalui usaha Kapten
Mamat yang bersungguh-sungguh membantu Masnah dengan berjanji untuk mendapatkan
pampasan atas kematian suaminya agar penderitaan Masnah dapat diringankan.
Soalan 2(c) - Petikan Prosa Klasik
i)
Maksud rangkasi kata tersebut ialah dia memang
keturunan raja
ii) Tindakan-tindakan yang dilakukan oleh Megat
Iskandar sebelum mengangkat Merah Silu sebagai raja adalah menyuruh rakyat
membawa beras sekampit seorang dan bermuafakat dengan orang tua-tua, orang
besar-besar dan rakyat jelata yang terdapat di negeri tersebut. Selain itu,
Megat Iskandar meminta pandangan orang ramai tentang Merah Silu kerana pada
pandangannya Merah Silu boleh diangkat sebagai raja kerana dia memang keturunan
raja. Walaupun dibantah oleh Tun Aria Benong, Megat Iskandar bermuafakat lagi dengan
semua orang dan akhirnya melantik Merah Silu sebagai raja.
iii) Sekiranya saya Merah Silu, tindakan-tindakan
yang akan saya ambil untuk menangani tentangan daripada pihak yang memusuhi
saya adalah berbincang dengan pihak lawan untuk mencari punca yang telah
mencetus kepada perbalahan tersebut dan membuat perundingan untuk berdamai
supaya peperangan dapat dielakkan. Jika pihak lawan berkeras, saya akan
memperkuatkan pasukan pertahanan negara sebagai persediaan bagi menghadapi
peperangan jika berlaku.
Soalan 2(d) – Petikan Puisi
i) Persamaan antara golongan petani dengan golongan
nelayan dalam sajak adalah kedua-duanya mempunyai anak yang ramai dan
kedua-duanya menempuh kehidupan dalam kemiskinan. Selain itu, kedua-duanya
mencari rezeki untuk menyara keluarga tanpa menyusahkan orang lain.
ii) Pada pendapat saya, sebab penyajak membandingkan
keadaan ketiga-tiga golongan dalam sajaknya adalah kerana ingin menimbulkan
kesedaran orang ramai terhadap nasib yang menimpa golongan petani dan nelayan
yang hidup dalam kemiskinan. Selain itu, penyajak ingin membuka mata
pihak-pihak berwajib supaya memberi perhatian dengan membantu golongan petani
dan nelayan agar kehidupan mereka berubah. Di samping itu, penyajak juga ingin
menyedarkan orang ramai bahawa rezeki yang diperoleh petani dan nelayan walaupun
sedikit perlu disyukuri kerana rezeki tersebut adalah halal berbanding
memperoleh kekayaan dengan cara yang salah. Akhir sekali, penyajak ingin
memberi peringatan kepada golongan korporat supaya tidak mengambil kesempatan
atas kelemahan orang lain ketika mengumpul kekayaan kerana setiap kesalahan
akan dikenakan hukuman.
iii) Pengajaran yang terdapat dalam sajak tersebut
ialah kita hendaklah amanah dalam melaksanakan tugas supaya rezeki yang
diperoleh akan diberkati. Selain itu, kita perlu bersyukur dengan rezeki yang
diperoleh walaupun sedikit kerana rezeki itu adalah halal dan tidak menyusahkan
orang lain. Di samping itu, kita mestilah mengelakkan diri daripada mencari kekayaan
dengan menindas orang lain kerana setiap kesalahan akan dihitung kemudian hari.
SOALAN 3 : PENGETAHUAN DAN KEMAHIRAN BAHASA
3(a) membina ayat
i) Badrol sudah lama tidak pulang ke
kampung setelah keluarganya berpindah ke Kuala Lumpur.
ii) Ibu melarang adik berlama-lama di dalam
bilik air kerana kawasan perumahan tersebut mengalami gangguan bekalan air.
iii) Walaupun peristiwa tersebut menyakitkan
hatinya, tetapi lama-kelamaan Asri dapat melupakannya.
iv) Kedudukan rumah Alias yang sangat jauh
telah menyukarkannya ke kelas tambahan pada waktu malam.
v) Hubungan Budin dengan Fikri semakin menjauh
apabila Budin ditangkap berkhalwat dengan adiknya.
vi)
Kerinduan Murni semakin memuncak menjelang
hari raya setelah kejauhan dengan ibunya.
3(b) menukar cakap ajuk kepada cakap pindah
Maria bertanyakan waktu Ahmad akan
berangkat. Ahmad memberitahu bahawa dia akan berangkat pada jam 3 petang sambil
memaklumkan teksi yang akan menghantarnya ke lapangan terbang akan tiba tidak
lama lagi. Maria menasihati Ahmad supaya berhati-hati dalam perjalanan dan
memesan agar Ahmad pandai menjaga diri di tempat orang. Maria teringat akan
sesuatu lantas bertanyakan Ahmad sama ada sudah membawa pasport. Ahmad
menyatakan bahawa pasportnya ada di dalam beg galas.
3(c) membetulkan kesalahan ejaan dan imbuhan
i)
dinaiktaraf - dinaik taraf
ii)
berbagai - berbagai-bagai/ pelbagai
iii)
mempergunakan - menggunakan
iv)
beristirehat - beristirahat
v)
penat-lelah - penat lelah
vi)
memenuhkan - memenuhi
3(d) membetulkan kesalahan
kata/istilah dan bahasa
i)
kertas kerja-kertas kerja - kertas-kertas
kerja
biografi -
biodata
ii)
Oleh yang demikian - Oleh
hal yang demikian
keras - tegas
iii)
di dalam - dalam
had - kouta
3 (e) peribahasa
Syahrul sedar bahawa dirinya lemah
dalam pelajaran. Setiap hari dia telah didenda oleh cikgu Razak kerana tidak
dapat menjawab soalan yang diberikan. Walaupun begitu, Syahrul berazam untuk
menjadi pelajar cemerlang jika dia berusaha bersungguh-sungguh bak genggam bara
api biar sampai jadi arang. Baginya jika dia berazam untuk mendapat sesuatu
nescaya dia akan memperolehnya walapun banyak halangan yang terpaksa
ditempuhnya kerana di mana ada kemahuan di situ ada jalan. Dia percaya bahawa
jika dia berusaha dengan gigih maka dia akan berjaya dengan cemerlang dalam
pelajaran walaupun dia sedar dirinya lemah kerana belakang parang kalau diasah
lagikan tajam.
SOALAN
4 : NOVEL
4 (a)
Novel yang saya kaji ialah
novel Sutera Dalam Lukisan karya Abd. Talib Hassan. Banyak peristiwa yang
menarik terdapat dalam novel tersebut. Antaranya peristiwa Bujei dapat
menyampaikan lagu Bahtera Merdeka dengan baik semasa majlis perkahwinan Sameah.
Peristiwa ini menarik perhatian saya kerana Bujei berani menyahut cabaran dan menunjukkan
keyakinan yang tinggi. Hal ini menunjukkan bahawa Bujei sudah pulih. Keberanian
yang ditunjukkan oleh Bujei itu membuktikan bahawa Adila telah berjaya
memulihkan Bujei menjadi manusia yang normal.
Peristiwa seterusnya ialah
Bujei telah mengacu parang dan mengejar Alias sambil meminta ganti rugi apabila
Alias merosakkan radio yang baru dibelinya. Peristiwa ini menarik perhatian
saya kerana Alias yang sering membuli Bujei menjadi takut apabila melihat
tindakan Bujei yang mengejarnya dengan parang. Hal ini membuktikan bahawa Bujei
berani menegakkan kebenaran dan menuntut haknya daripada Alias.
4(b)
Novel yang saya kaji ialah
novel Sutera Dalam Lukisan karya Abd Talib Hassan dan novel Renyah karya
Gunawan Mahmood. Pengarang menggunakan pelbagai latar masyarakat dalam
kedua-dua novel tersebut.
Dalam novel Sutera Dalam
Lukisan, latar masyarakat yang dikemukakan oleh pengarang ialah masyarakat yang
suka membuli orang yang kurang bernasib baik. Latar masyarakat ini dapat
dibuktikan melalui Alias yang suka membuli Bujei dengan mengarahkan supaya
Bujei terjun ke dalam sungai dan membenam-benamkan badannya ke dalam lumpur
setiap kali terserempak dengannya.
Dalam novel Renyah pula, latar
masyarakat yang dipaparkan dalam novel tersebut ialah masyarakat usahawan yang
berjaya dalam bidang perniagaan. Latar masyarakat
ini dapat dibuktikan melalui Datuk Dolhi dan Albert Lee yang merupakan usahawan
yang berjaya dalam perniagaan yang diceburi sehingga mampu menubuhkan Syarikat
Dolhi-Albert Holdings.
No comments:
Post a Comment