Wednesday 14 September 2011

TEKNIK MENJAWAB SOALAN WATAK & PERWATAKAN NOVEL


Soalan : Huraikan perwatakan bagi watak utama dalam novel yang telah anda kaji.

Contoh jawapan:

Novel yang saya kaji ialah novel Sutera Dalam Lukisan karya Abd Talib Hassan. Watak utama dalam novel ini ialah Bujei. Perwatakan Bujei dalam novel ini ialah berani, iaitu dia menyerang Alias dan menumbuk perut Alias apabila Alias enggan menyerahkan radio yang baharu dibeli sebaliknya menjatuhkan radio itu ke lantai. Perwatakan lain yang ada pada Bujei ialah seorang yang penyayang, iaitu dia menahan kesediahan apabila bercerita tentang peristiwa yang menimpa ibunya dan berkali-kali menafikan bahawa dia menjadi penyebab kepada kebakaran rumahnya kerana dia cuba menyelamatkan ibunya dengan kudrat yang ada setelah diterajang oleh Harun. Selain itu, perwatakan Bujei yang lain ialah dia seorang yang rajin, iaitu sebahagian kawasan tanah di hadapan rumah neneknya sudah diterangkan. Belukar dan semak samun sudah ditebas dan tanahnya telah digemburkan kerana dia ingin menanam sayur.




Soalan : Huraikan perwatakan satu watak sampingan dalam sebuah novel yang anda kaji.

Contoh jawapan:

Novel yang saya kaji ialah novel Renyah karya Gunawan Mahmood. Satu watak sampingan dalam novel ini ialah Datin Tominah. Perwatakan Datin Tominah dalam novel ini ialah seorang yang penyayang. Contoh peristiwa bagi membuktikan perwatakan ini ialah dia menyayangi anak-anaknya walaupun anak-anaknya telah melakukan perbuatan yang mengecewakannya dan boleh memalukan keluarganya. Dia tetap mendoakan agar anak-anaknya berjaya mengatasi masalah yang dihadapi. Selain itu, Datin Tominah juga seorang yang bertanggungjawab, iaitu dia merasai kesukaran yang ditempuh oleh Hasnol yang bersalah menerima rasuah dan dia memujuk Hasnol supaya pulang ke tanah air kerana dia bersedia membantu Hasnol membersihkan namanya di muka pengadilan. Seterusnya, Datin Tominah juga seorang yang prihatin, iaitu dia meminta Datuk Dolhi membantu Mukhlis kerana kasihan melihat kesusahan Mukhlis yang pulang ke rumah dalam keadaan menyedihkan dan terpaksa bekerja dengan bayaran lima ringgit sehari untuk menyara isteri dan anak-anak tirinya. 




Soalan : Huraikan cara watak utama mengatasi cabaran dalam sebuah novel yang anda kaji.

Contoh jawapan:

Novel yang saya kaji ialah novel Renyah karya Gunawan Mahmood. Watak utama dalam novel tersebut ialah Datuk Dolhi. Beliau menghadapi banyak cabaran dan berjaya menghadapi cabaran itu dengan baik. Antara cabaran yang dilalui oleh Datuk Dolhi ialah dia menghadapi situasi yang meresahkan apabila anak-anaknya tidak berminat menggantikan tempatnya dalam bidang perniagaan yang diusahakannya selama ini dalam syarikat Dolhi-Albert Holding kerana anak-anaknya lebih berminat dalam bidang lain. Pada masa yang sama Albert Lee cuba untuk menguasai syarikat tersebut dengan cadangannya untuk menjodohkan Amera dengan anaknya Robert Lee. Datuk Dolhi mengatasi cabaran tersebut dengan menamakan Wahi, iaitu anaknya daripada isteri kedua sebagai penggantinya dalam syarikat Dolhi-Albert Holding setelah menyedari Albert Lee cuba untuk menguasai syarikat tersebut. Selain itu, cabaran seterusnya yang dihadapi oleh Datuk Dolhi ialah dia menjadi resah setiap kali memikirkan rahsianya yang dipendam selama 28 tahun, iaitu memiliki anak lain hasil perkahwinan keduanya secara senyap-senyap dengan Mastura selepas setahun berkahwin dengan Datin Tominah. Datuk Dolhi menyelesaikan cabaran tersebut dengan cara memberitahu seluruh ahli keluarganya bahawa Wahi merupakan anaknya daripada isteri kedua yang dikahwininya selepas setahun berkahwin dengan Datin Tominah. Walaupun perkara tersebut sukar untuk diterima tetapi Datuk Dolhi rasa lega apabila rahsianya yang terpendam selama ini telah bebas daripada fikirannya. Seterusnya, Datuk Dolhi juga menghadapi cabaran daripada perbuatan anak-anaknya yang menconteng arang ke mukanya seperti Hasnol ditangkap kerana menerima rasuah manakala Dani terlibat dalam penagihan dadah.Selain itu Mukhlis juga terlibat dengan ajaran songsang dan Ilham mengganggu perniagaannya dalam bidang pembalakan. Bagi mengatasi masalah tersebut, Datuk Dolhi telah berlepas ke Tokyo untuk melupakan seketika masalah-masalah yang ditimbulkan oleh anak-anaknya di samping berjumpa dengan anaknya, Wahi.

3 comments:

ASPEK KOMSAS DRAMA BERKHIDMAT UNTUK NEGARA

ASPEK KOMSAS DRAMA BERKHIDMAT UNTUK NEGARA ASPEK KOMSAS PERNYATAAN HURAIAN PEMIKIRAN Semangat cinta...