Friday 16 September 2011

CONTOH JAWAPAN PEMAHAMAN KOMSAS CERPEN IBU DAN CEPER


 

Soalan 2: Pemahaman

Soalan 2 (b) : Petikan Cerpen

Baca petikan cerpen di bawah dengan teliti, kemudian jawab soalan-soalan yang berikutnya dengan menggunakan ayat anda sendiri.

Sungai Ceper semakin hari semakin tohor sehingga air sampai paras buku lali. Ikan-ikan terperangkap dan banyak yang mati kerana tidak boleh main air lagi. Sungai menjadi busuk kerana najis tidak boleh mengalir. Hendak mandi menyelam kepala dalam-dalam pun tidak boleh lagi kerana air Ceper betul-betul tohor.

Ibu mengamuk juga. Dia maki-maki Ceper yang boleh jadi bagitu sehingga menyusahkan semua. Baruh habis kering. Padipun kecut di dalam sawah. Yang sudah menguning boleh jadi tahan-tahan sampai benar-benar tunduk. Tetapi banyak yang belum masuk isi habis kering dan mati menjadi jerami begitu saja. Yang kuning pun nampak saja besar biji-biji padinya, tetapi banyak yang hampa kerana kemarau panjang sangat dan air Sungai Ceper tidak boleh menolong langsung.

Dalam hati ibu memang Ceper itu bedebahlah. Ibu tidak turun ke Ceper lagi kerana airnya sedikit. Ibu berbaik dengan telaga. Meskipun telaga di penjuru tanah kami itu amat dalam, ibu tarik juga tali timba membawa naik air ke atas.

(Dipetik daripada cerpen Ibu dan Ceper oleh Shahnon Ahmad dalam antologi Harga Remaja, Dewan Bahasa dan Pustaka)

(i) Apakah masalah yang dihadapi oleh ibu apabila Sungai Ceper menjadi kering?    [2 markah]                                                                                                                                                               

Masalah yang dihadapi oleh ibu apabila Sungai Ceper menjadi kering ialaH baruh menjadi kering menyebabkan padinya kecut di sawah. Selain itu, padi yang banyak belum masuk isi habis kering dan mati begitu sahaja. Masalah lain ialah biji-biji padi yang besar dan sudah kuning sebenarnya banyak yang hampa kerana kemarau yang panjang dan air sungai Ceper yang kering. 


(ii) Pada pendapat anda, apakah usaha yang boleh dilakukan untuk meringankan beban yang ditanggung oleh ibu?                                                                                                                                       [3 markah]
                                                                                                                                                                      

Pada pendapat saya, usaha-usaha yang boleh dilakukan untuk meringankan beban yang ditanggung oleh ibu ialah pihak kerajaan perlu membina sistem saliran dan pengairan yang sistematik supaya air tidak kering jika berlakunya musim kemarau. Selain itu, Jabatan Pertanian perlu membantu ibu menanam semula padinya yang musnah dengan memberi benih dan baja secara percuma untuk meringankan beban ibu. Usaha lain ialah ayah perlu membantu ibu menanam semula padi dan meninggalkan kerjanya sebagai pemikat burung kerana kesusahan perlu ditanggung secara bersama-sama.



(iii) Huraikan satu pengajaran daripada petikan di atas dan satu pengajaran lain daripada keseluruhan cerpen.                                                                                                                                [4 markah]

Satu pengajaran daripada petikan di atas ialah jangan kita merungut jika rezeki yang menjadi kepunyaan kita hilang begitu sahaja kerana semua yang berlaku adalah takdir Illahi. Sebagai contoh, ibu tidak boleh memaki hamun sungai Ceper yang kering sehingga memusnahkan tanaman padinya kerana kemarau merupakan takdir Allah.


 Pengajaran daripada keseluruhan cerpen pula ialah sebagai ketua keluarga, ayah perlu menjalankan tanggungjawabnya mencari rezeki untuk isteri dan anak-anak supaya beban yang ditanggung oleh isteri dapat diringanka. Sebagai contoh, ayah mengabaikan tanggungjawabnya sebagai ketua keluarga dengan membiarkan isterinya mengerjakan sawah seorang diri dan pada masa yang sama dia ke bukit untuk memikat burung.

No comments:

Post a Comment

ASPEK KOMSAS DRAMA BERKHIDMAT UNTUK NEGARA

ASPEK KOMSAS DRAMA BERKHIDMAT UNTUK NEGARA ASPEK KOMSAS PERNYATAAN HURAIAN PEMIKIRAN Semangat cinta...