
Soalan 2 (d): Petikan Sajak
Baca sajak di bawah dengan teliti, kemudian jawab soalan-soalan yang berikutnya dengan menggunakan ayat anda sendiri.
HARGA REMAJA
Berapakah sebenarnya harga remaja
yang bersih
dari gelodak kecewa
bagai kehijauan daun
bagai kesegaran pohon
di pinggir perjalanan ini?
Dengan apakah akan kaupenuhi
piala remajamu
adakah cuka kesangsian
dari cinta murah
atau madu ajaran
dari ilmu susah?
Remaja amat mahal
sesungguhnya
tiada terbeli oleh perjanjian
harga remaja adalah
pendirian
keberanian dan ilmu
Penuhilah remajamu
dengan ketentuan tuju.
(Dipetik daripada sajak ”Harga Remaja” dalam antologi Harga Remaja, Dewan Bahasa dan Pustaka)
(i) Apakah maksud rangkai kata penuhilah remajamu dengan ketentuan tuju berdasarkan petikan di atas? [2 markah]
Maksud rangkai kata tersebut ialah golongan muda perlu menggunakan masa remajanya dengan matlamat yang jelas.
(ii) Pada pendapat anda, apakah persediaan yang diperlukan untuk menjadi remaja yang berwawasan? [4 markah]
Pada pendapat saya, persediaan yang diperlukan untuk menjadi remaja yang berwawasan ialah mereka perlu banyak
membaca pelbagai rujukan untuk meluaskan pengetahuan dengan pelbagai perkara serta mengukuhkan diri mereka
dengan ajaran agama supaya tidak mudah terpengaruh dengan perkara negatif. Selain itu, remaja juga perlu
mempersiapkan diri mereka dengan aspek-aspek nilai murni supaya mereka menjadi lebih berintegriti apabila diberi
tanggungjawab menguruskan negara kelak. Persiapan lain ialah remaja perlu belajar bersungguh-sungguh supaya
mereka menjadi orang yang cemerlang dan mampu menjadi agen untuk membangunkan negara.
(iii) Jelaskan nilai yang terdapat dalam sajak di atas. [3 markah]
Nilai yang terdapat dalam sajak di atas ialah berani, iaitu remaja perlu berani menempuh cabaran untuk menjadi seorang yang berwawasan. Selain itu, nilai seterusnya ialah gigih, iaitu remaja perlu gigih menuntut ilmu untuk mempersiapkan diri mereka dengan ilmu pengetahuan yang tinggi. Nilai lain ialah teguh pendirian, iaitu remaja perlu mempunyai pendirian yang teguh supaya mereka tidak mudah terpengaruh dengan pelbagai anasir yang boleh merosakkan diri mereka.
No comments:
Post a Comment