Thursday 15 September 2011

TEKNIK MENJAWAB SOALAN TEKNIK PENCERITAAN/ TEKNIK PLOT NOVEL


Soalan : Huraikan teknik penceritaan dalam novel yang anda pelajari.

Contoh jawapan :

Novel yang saya kaji ialah novel Sutera Dalam Lukisan karya Abd Talib Hassan. Banyak teknik penceritaan yang digunakan oleh pengarang dalam novel ini. Antara teknik penceritaan yang digunakan oleh pengarang ialah teknik imbas kembali, iaitu watak mengingat semula peristiwa yang telah berlaku. Contoh peristiwa yang menggunakan teknik ini ialah Hafiz mengingat semula kejadian bapanya yang meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya di Lebuh Raya Karak. Jiwa dan perasaannya terganggu selepas kejadian. Ibunya membawa pulang ke kampung untuk memulihkan perasaannya semula. Selain itu, pengarang juga menggunakan teknik imbas muka, iaitu watak membayangkan perkara yang akan berlaku pada masa hadapan. Buktinya ialah Hafiz menjangka-jangka makanan yang akan mengisi perutnya pada malam nanti. Mungkin pisang berangan, lebihan semalam yang masih ada di dapur. Apa-apa makanan tidak menjadi halangan kepadanya asalkan perutnya berisi. Teknik penceritaan yang seterusnya ialah teknik monolog, iaitu watak bercakap seorang diri dan mempunyai suara. Contohnya ialah selepas membersihkan dirinya, Hafiz berlagak seperti menonton televisyen dan mendengar radio sambil makan pisang. Sesekali dia bersorak gembira, bertepuk tangan dan menjerit di hadapan televisyen.



Soalan : Jelaskan teknik plot saspens dan kejutan dalam sebuah novel yang anda kaji.

Contoh jawapan :

Novel yang saya kaji ialah novel Sutera Dalam Lukisan karya Abd Talib Hassan. Teknik plot saspens dan kejutan digunakan oleh pengarang dalam novel ini. Teknik saspens bermaksud teknik yang digunakan oleh pengarang sehingga membuatkan pembaca tertanya-tanya peristiwa yang akan berlaku seterusnya sehingga mendorong pembaca untuk membaca karya sehingga selesai. Contoh peristiwa yang menggunakan teknik ini ialah Hafiz terjun ke dalam sungai dan membenam-benamkan dirinya di dalam air yang separas betis apabila mendengar bunyi motorsikal. Peristiwa ini menyebabkan pembaca tertanya-tanya sebab Hafiz berkelakuan sedemikian sehingga mendorong pembaca untuk mengetahui dengan lebih lanjut. 

Seterusnya, teknik kejutan pula bermaksud pembaca terkejut apabila watak berkelakuan seperti tidak dijangka. Contoh peristiwa yang menggunakan teknik sedemikian ialah Hafiz menyerang sambil menumbuk perut Alias. Dia mencapai parang panjang menyebabkan Alias  ketakutan. Sambil menghayun-hayun parang panjang itu, Hafiz meminta supaya Alias menggantikan radio yang telah dirosakkan oleh Alias. Hafiz juga ingin membakar motor Alias jika dia tidak menggantikan radio tersebut. Peristiwa ini mengejutkan pembaca kerana tidak menyangka Hafiz yang digambarkan seorang yang lemah dan menjadi mangsa buli sanggup berbuat demikian demi menegakkan haknya.



Soalan : Bandingkan teknik monolog dalaman dalam kedua-dua novel yang anda pelajari.

Contoh jawapan:

Novel yang saya kaji ialah novel Renyah karya Gunawan Mahmood dan novel Sutera Dalam Lukisan karya Abd Talib Hassan. Kedua-dua pengarang menggunakan teknik monolog dalaman dalam novel masing-masing. Teknik monolog dalaman bermaksud watak memikirkan dan merasai sesuatu seorang diri tanpa suara. Dalam novel Renyah, antara peristiwa yang menggunakan teknik monolog dalaman ialah Hasnol memikirkan bahawa sekiranya dia berani melakukan sesuatu dia akan hidup senang, lebih-lebih lagi kini dia bertugas di bahagian kontrak. Lagipun masalah hutangnya dapat diatasi dengan hanya sekali tandatangan. Peristiwa lain yang menunjukkan teknik monolog dalaman ialah Datuk Dolhi sedih memikirkan nasib orang Melayu dan betapa susahnya mengajar orang Melayu menjadi usahawan walaupun banyak sumber di sekeliling yang dapat diusahakan dan boleh mendatangkan keuntungan. 

Dalam novel Sutera Dalam Lukisan pula, antara peristiwa yang menggunakan teknik monolog dalaman ialah Bujei memikirkan bahawa masih ada manusia lain yang terus-menerus mendesaknya menjadi bodoh, dungu dan tidak berakal. Kalaupun ada yang masih bersimpati, itu hanyalah atas tuntutan lain dan untuk kepentingan diri sahaja. Peristiwa seterusnya yang menggunakan teknik ini ialah Mak Lamah tidak dapat tidur kerana memikirkan hal perbuatan suaminya dengan Harun. Dia memikirkan suaminya akan menjadi fasik seperti Harun yang cuba membelakangkan hukum syarak dalam mengendalikan harta anak yatim.

No comments:

Post a Comment

ASPEK KOMSAS DRAMA BERKHIDMAT UNTUK NEGARA

ASPEK KOMSAS DRAMA BERKHIDMAT UNTUK NEGARA ASPEK KOMSAS PERNYATAAN HURAIAN PEMIKIRAN Semangat cinta...