Monday 12 September 2011

TEKNIK MENJAWAB SOALAN TEMA NOVEL


Soalan: Huraikan tema dalam novel yang telah anda kaji.

Contoh jawapan:

Novel yang saya kaji ialah Sutera Dalam Lukisan karya Abd Talib Hassan. Novel tersebut bertemakan konflik jiwa seorang pemuda dalam mengharungi kehidupan tanpa kasih sayang kedua-dua ibu bapa sehingga dia dianggap oleh orang kampung sebagai pemuda bodoh dan tidak berakal. Tema ini dapat dibuktikan melalui kisah Bujei yang menghadapi pelbagai cabaran setelah kematian kedua-dua ibu bapanya. Bujei telah difitnahkan oleh bapa tirinya sebagai orang yang bertanggungjawab menyebabkan kematian ibunya sehingga menyebabkan orang kampung mempercayai kata-kata bapa tirinya itu. Masyarakat melihat Bujei sebagai manusia bodoh, dungu dan tidak berakal walaupun dia merasakan dirinya bukan seperti yang diperkatakan oleh mereka. Bukti lain ialah Bujei menghadapi konflik dengan Alias yang sering memaksanya melakukan pelbagai perkara sesuka hati. Alias sering memaksa Bujei turun ke dalam sungai dan membenam-benamkan dirinya di dalam lumpur jika Bujei melihat kelibatnya. Selain itu, Bujei juga turut menghadapi tekanan daripada Opah Arah, iaitu nenek Alias yang begitu membencinya sehingga apa yang dibuat oleh Alias terhadap dirinya tidak dibantah oleh Opah Arah. Opah Arah menjadi sangat marah kepadanya apabila dia meminta wang ganti daripada Alias yang telah merosakkan radio yang baharu dibelinya. 

ATAU

Novel yang saya kaji ialah novel Renyah karya Gunawan Mahmood. Tema novel tersebut ialah pergolakan yang berlaku dalam sebuah keluarga yang berjaya dalam bidang perniagaan tetapi banyak menghadapi masalah yang melibatkan anak-anak mereka. Tema tersebut  dapat dibuktikan melalui peristiwa Datuk Dolhi yang menghadapi situasi yang meresahkan apabila anak-anaknya tidak berminat untuk menggantikan tempatnya dalam bidang perniagaan yang diusahakannya selama ini kerana anak-anaknya lebih berminat dalam bidang lain seperti Hasnol yang enggan melepaskan jawatan sebagai PTD dan Amira yang komited terhadap tugasnya sebagai guru. Bukti lain ialah Datuk Dolhi resah memikirkan rahsianya yang dipendam selama 28 tahun, iaitu dia memiliki anak lain hasil perkahwinan keduanya. Datuk Dolhi berkahwin senyap-senyap dengan Mastura setahun selepas dia berkahwin dengan Datin Tominah dan sehingga kini hal tersebut mengganggunya. Seterusnya, tema tersebut juga dapat dibuktikan melalui peristiwa anaknya Mukhlis yang berpelajaran tinggi tetapi melibatkan diri dalam jemaah yang terpesong daripada ajaran sebenar. Mukhlis telah berkahwin senyap-senyap dengan janda tuk gurunya dan hidup dalam kesusahan di sebuah perkampungan. Mukhlis menjadi tidak siuman setelah isterinya kembali semula kepada bekas suaminya. Peristiwa ini telah mengganggu fikiran Datuk Dolhi.

4 comments:

ASPEK KOMSAS DRAMA BERKHIDMAT UNTUK NEGARA

ASPEK KOMSAS DRAMA BERKHIDMAT UNTUK NEGARA ASPEK KOMSAS PERNYATAAN HURAIAN PEMIKIRAN Semangat cinta...