Wednesday 14 September 2011

TEKNIK MENJAWAB SOALAN PLOT NOVEL


Soalan : Huraikan peristiwa yang terdapat pada peringkat permulaan sebuah novel yang anda kaji.

Contoh jawapan:

Novel yang saya kaji ialah novel Renyah karya Gunawan Mahmood. Plot merupakan cara pengarang menyusun sesebuah karya sama ada secara kronologi atau bukan kronologi. Berdasarkan novel yang saya kaji, pengarang memaparkan banyak peristiwa pada peringkat permulaan cerita. Antara peristiwa pada peringkat permulaan cerita ialah Datuk Dolhi bingung memikirkan anak-anaknya yang tidak berminat dalam bidang perniagaan. Beliau mengharapkan salah seorang daripada lima anaknya akan menyambung tugasnya nanti tetapi hingga kini tiada seorangpun yang berminat. Peristiwa lain ialah Datuk Dolhi mengimbas kembali kenangannya, iaitu Hasnol dilahirkan ketika dia menjadi pegawai kerajaan. Ketika itu dia bertugas sebagai pengarah jabatan. Niatnya pada masa itu ialah mahu Hasnol menjadi pegawai tadbir dan diplomatik dan seterunya menjadi KSU dan hasratnya termakbul apabila Hasnol menjawat jawatan PTD dan kedudukan Hasnol kini agak baik. Seterusnya, pada peringkat ini juga dipaparkan keakraban Datuk Dolhi dengan Albert Lee sehingga Albert Lee menyatakan hasrat untuk melamar Amera buat anaknya Robert Lee yang kacak dan cergas membantu perniagaannya.




Soalan : Huraikan peristiwa yang menimbulkan konflik dalam sebuah novel yang anda kaji.

Contoh jawapan:

Novel yang saya kaji ialah novel Renyah karya Gunawan Mahmood. Novel ini banyak memaparkan peristiwa yang menimbulkan konflik kepada watak. Antara peristiwa tersebut ialah Datuk Dolhi seolah-olah kecewa dengan anaknya, Ilham yang suka membuang masa tak tentu hala. Dia teringat kata-kata Ilham yang menyinggung perasaannya kerana Ilham beriya-ia membela hutan belantara sedangkan cabang perniagaannya adalah pembalakan. Ilham menuduh ayahnya sengaja menutup pandangannya akan kesan kemusnahan hutan demi wang. Datuk Dolhi tidak puas hati kerana dengan wang itulah dia dapat membesarkan anak-anaknya. Peristiwa lain ialah datuk Dolhi bingung memikirkan anak-anaknya yang tidak berminat dalam bidang perniagaan. Anak sulongnya, Hasnol enggan melepaskan jawatannya sebagai PTD kerana memikirkan dia mempunyai masa depan yang cerah untuk menjadi pegawai tinggi kerajaan. Puas Datuk Dolhi memujuk Hasnol tetapi Hasnol belum bersedia meninggalkan jawatannya sekarang. Selain itu, peristiwa seterusnya ialah datuk Dolhi berlepas ke Tokyo untuk melupakan seketika masalah-masalah yang ditimbulkan oleh anak-anaknya. dalam perjalanan itu datuk Dolhi memikirkan bahawa dia mempunyai sesuatu yang penting untuk diberitahu kepada Wahi. Datuk Dolhi teringat selepas setahun dia berkahwin dengan Datin Tominah, dia menikahi Mastura senyap-senyap kerana rasa tanggungjawab terhadap perhubungannya dahulu. Ketika melahirkan anak, Mastura meninggal dunia dan anaknya diserahkan kepada keluarga mentuanya. Kisah tersebut menyayat hati Datuk Dolhi. 




Soalan : Huraikan peristiwa yang membawa kepada pengakhiran cerita dalam sebuah novel yang anda kaji.

Contoh jawapan:

Novel yang saya kaji ialah novel Renyah karya Gunawan Mahmood. Peristiwa yang membawa kepada pengakhiran cerita dalam novel yang saya kaji ialah Wahi dan isterinya, Yuka pulang ke Malaysia. Ketibaan mereka disambut oleh Datuk Dolhi, Datin Tominah, Hasnol, Amera dan dani. Datin Tominah menerima Wahi dengan dada terbuka. Dia memeluk Yuka dengan erat. Peristiwa seterusnya ialah persahabatan Datuk Dolhi dengan Albert Lee terlerai begitu sahaja. Keputusan Datuk Dolhi meletakkan Wahi di tempat duduknya membuatkan Albert Lee tidak gembira, bahkan terasa terancam. Dia memberitahu anaknya untuk menarik diri daripada menjadi rakan kongsi dengan Datuk Dolhi. Peristiwa lain ialah Datuk Dolhi berehat-rehat di anjung rumah. Dia berasa lega sekarang kerana tidak perlu memikirkan hal saham, tender atau masalah kakitangan. Segala-galanya telah selesai. Yuka ditugaskan di bahagian sumber manusia dan dijangka boleh menerapkan kaedah pengurusan Jepun dalam syarikatnya.



Soalan : Jelaskan peristiwa yang menjadi puncak cerita dalam kedua-dua novel yang anda pelajari.

Contoh jawapan:

Novel yang saya pelajari ialah novel Renyah karya Gunawan Mahmood dan novel Sutera Dalam Lukisan karya Abd Talib Hassan. Antara peristiwa yang menjadi puncak cerita dalam novel Renyah ialah apabila suasana menjadi gempar di rumah Datuk Dolhi pada malam itu apabila dia mengisytiharkan bahawa Wahi ialah anaknya daripada isteri kedua. datin Tominah menangis dan anak-anaknya yang lain seolah-olah tidak mempercayainya. Peristiwa yang menjadi puncak cerita dalam novel Sutera Dalam Lukisan pula ialah Alias mengarahkan kawan-kawannya menculik Adila kerana Adila adalah haknya. Kawan-kawannya menyedari perkara jahat yang akan dilakukan oleh Alias. Dia juga menggunakan khidmat neneknya untuk mendapatkan ilmu pengasih supaya Adila tunduk kepadanya. Neneknya menurut kemahuan cucunya itu kerana dia juga mendendami Sidang Saman sekeluarga lantaran menolak pinangan Alias.

No comments:

Post a Comment

ASPEK KOMSAS DRAMA BERKHIDMAT UNTUK NEGARA

ASPEK KOMSAS DRAMA BERKHIDMAT UNTUK NEGARA ASPEK KOMSAS PERNYATAAN HURAIAN PEMIKIRAN Semangat cinta...