Friday 16 September 2011

CONTOH JAWAPAN PEMAHAMAN KOMSAS PROSA KLASIK PELAYARAN YANG PENUH PERISTIWA



Soalan 2 (c): Petikan Klasik

Baca petikan prosa klasik di bawah dengan teliti, kemudian jawab soalan-soalan yang berikutnya dengan menggunakan ayat anda sendiri.


Setelah beberapa lama berlabuh barulah orang-orang yang mabuk tadi tersedar. Sesetengahnya terpingga-pingga sambil bertanya-tanya di manakah mereka berada sekarang, tetapi jurumudi pula apabila tersedar segeralah dia mencabut kerisnya lalu menikam seekor ayam. Dengan kerisnya yang berlumuran darah itu pergilah dia mendapatkan Tuanku Nakhoda Tua.
”Ampun Tuanku, patiklah yang memeliharakan geliung ini daripada amuk Tuan Puteri Dayang Nuramah kelmarin.”
Tuanku Nakhoda Tua yang baru pulih dari mabuknya terpisat-pisat membelek-belek keris jurumudi yang penuh berdarah itu. Fikirnya, sungguh juga kata jurumudi ini, kerana waktu amuk itu berlaku beta jatuh pengsan.
Tiga hari tiga malam lamanya geliung itu berlabuh di Pulau Tapai. Anak-anak geliung bersuka ria dengan pelbagai jamuan. Kemudian Tuanku Nakhoda Tua berkata, ”Jikalau selamat geliung ini sampai ke Tanah Jawa, akan kukahwinkan puteriku Dayang Seri Jawa dengan sesiapa yang dapat menyelamatkannya.”


 (Dipetik daripada ”Pelayaran Yang Penuh Peristiwa” dalam antologi Harga Remaja, Dewan Bahasa dan Pustaka)

(i) Apakah maksud rangkai kata patiklah yang memeliharakan geliung ini berdasarkan petikan di atas?                                                                                                                                                                                    [2 markah]

Maksud rangkai kata tersebut ialah hambalah yang menjaga kapal panjang ini.

(ii) Apakah yang dilakukan oleh jurumudi setelah tersedar daripada pengsan?                                                         [3 markah]
  
Apabila tersedar daripada pengsan,  jurumudi segera mencabut kerisnya lalu menikam seekor ayam. Selain itu,
dengan keris yang berlumuran darah itu dia pergi mendapatkan Tuanku Nakhoda Tua sambil memberitahu bahawa 
dialah yang menjaga kapal panjang itu daripada serangan lanun.



(iii) Pada pendapat anda, selain mengahwinkan puterinya, apakah perkara lain yang boleh dilakukan oleh Tuanku Nakhoda Tua untuk menghargai jasa orang yang membantu geliung mereka sampai ke Tanah Jawa?                                                                                                                                                                                   [3 markah]

Pada pendapat saya, selain mengahwinkan puterinya, perkara lain yang boleh dilakukan oleh Tuanku Nakhoda Tua untuk menghargai jasa orang yang membantu geliung mereka sampai ke Tanah Jawa ialah memberikan ganjaran wang tunai sebagai penghargaan kepada mereka. Selain itu, Tuanku Nakhoda Tua juga boleh melantik orang yang berjasa itu sebagai pembantu peribadinya. Tindakan lain yang boleh dilakukan oleh Tuanku Nakhoda Tua ialah mengadakan majlis kesyukuran dengan menjemput segala rakyat untuk meraikan kejayaan mereka sampai ke Tanah Jawa.

No comments:

Post a Comment

ASPEK KOMSAS DRAMA BERKHIDMAT UNTUK NEGARA

ASPEK KOMSAS DRAMA BERKHIDMAT UNTUK NEGARA ASPEK KOMSAS PERNYATAAN HURAIAN PEMIKIRAN Semangat cinta...