Thursday 15 September 2011

TEKNIK MENJAWAB SOALAN NILAI NOVEL



Soalan : Huraikan nilai kemasyarakatan dalam sebuah novel yang anda kaji.

Contoh jawapan :

Novel yang saya kaji ialah novel Sutera Dalam Lukisan karya Abd Talib Hassan. Banyak nilai kemasyarakatan yang terdapat dalam novel tersebut. Antaranya ialah nilai tolong-menolong yang dapat dibuktikan melalui peristiwa Adila yang sanggup mendermakan darahnya kepada Sahak yang terlibat dalam kemalangan motorsikal ketika berlumda dengan Alias. Dia menganggap darah yang disumbangkan untuk Sahak itu sekadar kebajikan dan dia tidak angkuh dengan sumbangannya itu. Selain itu, nilai simpati juga terdapat dalam novel tersebut. Antara peristiwa bagi membuktikan nilai simpati ialah Mak Som mengajak Hafiz ke dapur setelah Alias enggan menyerahkan upah kepadanya. Mak Som menyediakan sarapan kepada Hafiz sambil menyerahkan duit seringgit kepadanya. Mak Som sempat menasihati Hafiz supaya tidak menurut kehendak Alias. Nilai kemasyarakatan seterusnya ialah nasihat-menasihati, iaitu Mak Lamah menasihati Adila supaya berhati-hati apabila berkawan dengan Hafiz kerana Hafiz seorang lelaki walaupun gambaran fizikalnya seakan-akan kurang berakal. Mak Lamah bimbang sesuatu yang buruk akan berlaku kepada Adila nanti. 



Soalan : Huraikan nilai keberanian dalam sebuah novel yang anda pelajari.

Contoh jawapan :

Novel yang saya kaji ialah novel Sutera Dalam Lukisan karya Abd Talib Hassan. Nilai keberanian yang terdapat dalam novel tersebut ialah berani menegakkan hak. Nilai tersebut dapat dibuktikan melalui peristiwa Bujei yang menyerang sambil menunbuk perut Alias. Bujei juga mencapai parang panjang dan menghayun-hayun ke arah Alias sambil meminta wang ganti radio yang telah dirosakkan oleh Alias. Bujei mengugut akan membakar motor Alias jika dia tidak menggantikan radio tersebut. Selain itu, berani berhujah untuk menyangkal dakwaan juga terdapat dalam novel ini. Nilai tersebut dapat dibuktikan melalui peristiwa Bujei yang berani berdebat dengan Alias dengan mencabar Alias supaya menghalau Adila daripada kampung itu untuk membuktikan kebenaran dakwaan Alias bahawa Adila berpenyakit. Cabaran Bujei tersebut menyebabkan Alias tidak menduga bahawa Bujei sanggup bertindak balas sedemikian. Seterusnya, nilai berani berterus terang juga dapat dilihat dalam novel ini. Nilai tersebut dapat dilihat melalui sifat terus terang Bujei yang memberitahu bahawa dia tidak pernah menyentuh Adila sepanjang dia berkenalan dengan Adila. Dia juga memberitahu bahawa dia suka kepada Adila kerana Adila baik dan mengajarnya macam-macam. Dia tidak tahu cara hendak membalas jasa Adila kepadanya.



Soalan : Huraikan nilai ketabahan dalam novel yang anda kaji.

Contoh jawapan :

Novel yang saya kaji ialah novel Renyah karya Gunawan Mahmood. Nilai ketabahan yang terdapat dalam novel tersebut ialah tabah menghadapi permasalahan dalam keluarga. Nilai ini dapat dibuktikan melalui peristiwa Datuk Dolhi yang begitu tabah menghadapi masalah yang dicetuskan oleh anak-anak beliau sehingga mencemarkan nama baiknya sebagai ahli perniagaan. Antara masalah yang mengganggu fikirannya ialah   Hasnol ditangkap kerana menerima rasuah, Mukhlis terlibat dengan ajaran songsang dan Dani terbabit dalam penagihan dadah. Walaupun masalah ini mengganggu fikirannya, tetapi beliau berdoa supaya anak-anaknya dapat berubah dan menebus kembali kesalahan yang lalu. Selain itu, nilai tabah mengharungi cabaran dalam bidang perniagaan juga terdapat dalam novel ini. Perisitwa yang dapat membuktikan nilai tersebut ialah Datuk Dolhi terlibat dalam pembalakan tetapi perniagaannya dalam sektor tersebut terencat gara-gara anaknya Ilham yang menghasut penduduk orang asli supaya membuat benteng manusia bagi menghalang kemasukan jentera berat ke kawasan mereka. Walaupun perbuatan Ilham tersebut menjejaskan perniagaan Datuk Dolhi, tetapi beliau tabah menghadapi situasi tersebut. Nilai ketabahan yang lain ialah tabah menghadapi persaingan dengan rakan kongsi. Peristiwa ini disedari oleh Datuk Dolhi apabila Albert Lee beria-ia ingin menjodohkan anaknya Robert Lee dengan Amera dengan harapan suatu hari nanti syarikat Dolhi-Albert Holding dapat dikuasainya. Datuk Dolhi yang menyedari niat rakan kongsinya itu telah menamakan Wahi sebagai penggantinya di syarikat tersebut. 



Soalan : Huraikan nilai prihatin dalam kedua-dua novel yang anda pelajari.

Contoh jawapan :

Novel yang saya pelajari ialah novel Renyah karya Gunawan Mahmood dan novel Sutera Dalam Lukisan karya Abd Talib Hassan. Nilai prihatin ada dipaparkan dalam kedua-dua novel tersebut. Dalam novel Renyah, nilai prihatin terhadap nasib ahli keluarga dapat dilihat menerusi watak Datin Tominah yang menyedari kesulitan yang dihadapi oleh Hasnol setelah menerima rasuah dan membawa diri ke luar negara. Beliau meminta supaya Hasnol pulang ke tanah air dan dia berjanji untuk membantu membersihkan nama Hasnol di muka pengadilan. Selain itu, nilai prihatin terhadap masalah rakan juga terdapat dalam novel tersebut. Buktinya ialah Albert Lee membantu Datuk Dolhi yang kepenatan dan mengurut-ngurut dada Datuk Dolhi selepas berjogging. Albert Lee juga menyarankan supaya Datuk Dolhi membawa pulang Ilham yang berada di sarawak untuk mengelakkan risiko yang akan menimpa Ilham. 

Dalam novel Sutera Dalam Lukisan pula, nilai prihatin terhadap nasib anak yatim dapat dilihat melalui watak Wak Senen yang menyedari bahawa urusan jual beli tanah arwah ibu Bujei tidak sah. Wak Senen yang mengusahakan tanah tersebut dengan aktiviti bercucuk tanam telah menerima semula wang modalnya. Wak Senen ingin menyerahkan tanah itu kembali kepada Bujei jika Bujei inginkan semula sambil berpesan supaya Bujei tidak menjual tanah itu kerana itulah satu-satunya tanah pusaka arwah ibunya. Selain itu, nilai prihatin terhadap nasib manusia yang menjadi mangsa alam juga dipaparkan dalam novel ini. Nilai tersebut dapat dilihat melalui peristiwa Adila yang memberitahu Same'ah bahawa Hafiz tidak harus dibiarkan sebegitu. Adila sering memberitahu Same'ah bahawa Hafiz menjadi mangsa alam dan manusia di sekelilingnya. Adila bertekad untuk membantu memulihkan Hafiz.

No comments:

Post a Comment

ASPEK KOMSAS DRAMA BERKHIDMAT UNTUK NEGARA

ASPEK KOMSAS DRAMA BERKHIDMAT UNTUK NEGARA ASPEK KOMSAS PERNYATAAN HURAIAN PEMIKIRAN Semangat cinta...