Wednesday 14 September 2011

TEKNIK MENJAWAB SOALAN LATAR NOVEL


Soalan : Bandingkan latar masyarakat dalam kedua-dua novel yang anda kaji.

Contoh jawapan:

Novel yang saya kaji ialah novel Renyah karya Gunawan Mahmood dan novel Sutera Dalam Lukisan karya Abd Talib Hassan. Dalam novel Renyah, latar masyarakat yang digambarkan ialah masyarakat usahawan, iaitu diwakili oleh Datuk Dolhi dan Albert Lee yang menguruskan syarikat Dolhi-Albert Holding dalam industri pembalakan, perumahan dan pelancongan. Datuk Dolhi ialah ahli korporat yang terkenal dan sering dijemput menjadi penceramah untuk melahirkan usahawan-usahawan muda. Selain itu, masyarakat pelbagai bangsa juga digambarkan dalam novel ini, iaitu bangsa Melayu, Cina dan Jepun. masyarakat Melayu diwakili oleh Datuk Dolhi, Datin Tominah, Hasnol, Amera, Mukhlis, Dani, Wahi, Tengku Munir dan Mastura. Masyarakat Cina pula diwakili oleh Albert Lee, Robert Lee, Eric dan Elain serta masyarakat Jepun diwakili oleh Yuka dan Sakate. Seterusnya, masyarakat yang mengamalkan cara hidup mewah juga digambarkan dalam novel tersebut. Buktinya ialah Hasnol dan isterinya Linda mengamalkan gaya hidup mewah dan agak kebaratan sehingga Hasnol mengalami masalah kewangan yang teruk sehingga terpaksa berhutang dan menerima rasuah.

Dalam novel Sutera Dalam Lukisan pula, masyarakat yang ikhlas menolong digambarkan oleh pengarang dalam novel ini. Buktinya ialah Adila ikhlas menolong mengubah perwatakan Hafiz. Pada Adila Hafiz menjadi mangsa alam dan manusia tetapi sebenarnya Hafiz memiliki kepandaian dan pengetahuan luas. Adila ingin mengubah Hafiz menjadi manusia yang sempurna semula. Selain itu, masyarakat yang tidak bertanggungjawab juga terdapat dalam novel ini. Buktinya ialah Harun sering memukul, menyepak dan menendang Fatimah sehingga pengsan apabila Fatimah enggan menyerahkan wang dan seutas rantai. Harun banyak menghabiskan masanya dengan berjudi. Seterusnya, masyarakat yang suka membuli juga digambarkan dalam novel tersebut. Buktinya ialah Alias mengarahkan supaya Bujei terjun ke dalam sungai dan membenam-benamkan badannya di dalam lumpur apabila Bujei melihat kelibatnya dan pada masa itu dia ketawa melihat perlakuan Bujei. 




Soalan : Jelaskan latar tempat dalam novel yang anda pelajari.

Contoh jawapan :

Novel yang saya pelajari ialah Sutera Dalam Lukisan karya Abd Talib Hassan. Antara latar tempat yang terdapat dalam novel tersebut ialah tebing sungai. Peristiwa yang berlaku di latar tempat ini ialah Bujei sering berehat, berbaring dan terlena di situ kerana tempat itu mampu mententeramkan fikirannya. Latar tempat seterusnya ialah sungai kecil, yang ditunjukkan melalui peristiwa Bujei terjun ke dalam sungai kecil dan membenam-benamkan dirinya apabila mendengar bunyi motorsikal datang. Latar tempat yang lain ialah simpang jalan berhampiran dengan sungai. Peristiwa yang berlaku di tempat ini ialah Bujei menunggu orang yang akan mengupahnya di bawah pokok bunga dengan penuh harapan sehingga terlena di situ.





Soalan : Huraikan latar masa yang terdapat dalam novel yang anda pelajari.

Contoh jawapan :

Novel yang saya pelajari ialah novel Renyah karya Gunawan Mahmood. Antara latar masa yang terdapat dalam novel ini ialah tempoh 28 tahun, iaitu Datuk Dolhi memendam rahsia daripada pengetahuan Datin Tominah dan anak-anaknya bahawa Wahi ialah anak kandungnya bersama isteri kedua yang dinikahinya sejak 28 tahun yang lalu. Latar masa yang lain ialah waktu petang, iaitu Datuk Dolhi resah memikirkan anak-anaknya yang tidak berminat untuk mengikut jejaknya dalam bidang perniagaan yang diusahakan selama ini. Seterusnya, latar masa yang lain ialah waktu malam, iaitu Datuk Dolhi menemani isterinya ke Hotel Merlin untuk menyaksikan pertunjukan busana Islam yang turut dihadiri oleh kerabat diraja.

1 comment:

ASPEK KOMSAS DRAMA BERKHIDMAT UNTUK NEGARA

ASPEK KOMSAS DRAMA BERKHIDMAT UNTUK NEGARA ASPEK KOMSAS PERNYATAAN HURAIAN PEMIKIRAN Semangat cinta...