Friday 16 September 2011

TEKNIK MENJAWAB SOALAN SINOPSIS NOVEL




Soalan : Huraikan sinopsis berdasarkan novel yang anda pelajari.

Novel yang saya kaji ialah novel Renyah karya Gunawan Mahmood. Pada peringkat permulaan cerita,  Datuk Dolhi menghadapi situasi yang meresahkan apabila anak-anaknya tidak berminat menggantikan tempatnya dalam bidang perniagaan yang diusahakan selama ini kerana anak-anaknya lebih berminat dalam bidang lain. Hasnol lebih suka dengan kerjayanya sebagai pegawai tadbir dan diplomatik manakala Amera komited dengan kerjanya sebagai pendidik. Pada peringkat ini juga digambarkan hubungan Datuk Dolhi dengan Albert Lee yang sangat rapat seolah-olah Albert Lee sudah menjadi keluarganya. Albert Lee menjadi rakan kongsi kepada Datuk Dolhi dalam syarikat Dolhi-Albert Holding. Pernah Albert Lee menyatakan hasrat untuk melamar Amera buat anaknya Robert Lee yang kacak dan cergas membantunya dalam perniagaan. 

Pada peringkat perkembangan, Datuk Dolhi menerima panggilan daripada Wahi yang sedang berada di Jepun. Datuk Dolhi mengingatkan Wahi supaya mempelajari sebanyak mungkin daripada orang Jepun tentang pengurusan, kecanggihan peralatan dan sistem komunikasi. Wahi perlu menimba sebanyak mungkin pengalaman dalam bidang pengurusan di sana. Peristiwa seterusnya ialah Hasnol datang ke rumah orang tuanya seorang diri. Datuk Dolhi menanyakan hasratnya supaya Hasnol meletak jawatan untuk menggantikannya nanti. Hasnol keberatan kerana risiko yang bakal diterimanya, lagipun dia sayangkan pencennya. Isteri Hasnol, Linda pula lebih sukakan Hasnol bekerja sebagai pegawai kerajaan.

Pada peringkat perumitan, Datuk Dolhi kecewa dengan anaknya Ilham yang menyinggung perasaannya kerana beria-ia membela hutan belantara sedangkan cabang perniagaannya adalah kegiatan pembalakan. Ilham menuduh ayahnya sengaja menutup pandanganya akan kesan kemusnahan hutan demi wang. Datuk Dolhi tidak puas hati kerana dengan wang itulah beliau dapat membesarkan anak-anaknya. Selain itu, Datuk Dolhi terkejut apabila diberitahu melalui telefon oleh rakan anaknya bahawa Mukhlis telah bernikah dengan janda tuk guru. Datuk Dolhi seolah-olah tidak percaya akan perbuatan anaknya itu yang tidak lagi berfikir sebagai seorang intelek meskipun pernah memasuki menara gading.

Pada peringkat puncak cerita, suasana menjadi gempar di rumah Datuk Dolhi pada malam itu apabila dia mengisytiharkan bahawa Wahi adalah anaknya daripada isteri kedua. Datin Tominah menangis dan anak-anaknya yang lain seolah-olah tidak mempercayainya.

Akhir sekali pada peringkat peleraian cerita, Datuk Dolhi berasa lega setelah rahsianya selama 28 tahun telah diluahkan. Hubungan Datuk Dolhi dengan Datin Tominah menjadi renggang. Pada mulanya Datin Tominah mengambil sikap konfrontasi dengan suaminya seperti tidak menghiraukan makan dan pakai suaminya, tetapi semuanya dapat ditangani oleh Datuk Dolhi. Seterusnya Datuk Dolhi berehat-rehat di anjung rumah. Dia berasa lega sekarang kerana tidak perlu memikirkan hal saham, tender dan masalah kakitangan. Wahi telah dinamakan sebagai penggantinya di syarikat Dolhi-Albert Holding manakala isterinya, Yuka ditugaskan di bahagian sumber manusia dan dijangka boleh menerapkan kaedah pengurusan Jepun dalam syarikatnya.



ATAU



Novel yang saya kaji ialah novel Sutera Dalam Lukisan karya Abd Talib Hassan. Pada peringkat permulaan cerita, di tepi sungai kecil, Bujei menampar-nampar agas yang hinggap di muka dan hidungnya. Kadang-kadang dia berada di tebing sungai untuk memancing dan memanggang ikan yang diperolehnya serta diratahnya sampai habis. Biasanya terbing sungai itu menjadi tempatnya berehat, berbaring dan kemudian terlena. Penduduk kampung melihat Bujei sebagai pemuda yang tidak berakal, bodoh, dungu dan dia sendiri merasakan dirinya sebegitu. Dia mahu menjadikan dirinya apa-apa yang orang lain ingin dia jadi. Setelah bapanya meninggal dalam kemalangan jalan raya, ibunya berkahwin lain dengan Harun, seorang duda yang menjadi mandur di ladang kelapa sawit berhampiran kampungnya tanpa melihat cacat-cela suaminya itu. Keluarga kesal kerana Fatimah memilih Harun.

Pada peringkat perkembangan cerita, Bujei tinggal di rumah neneknya yang kurang sempurna. Dia membaiki sendiri rumah itu dan dijaganya dengan baik. Dia menyusun peralatan rumah dengan kemas. Suatu pagi, Alias mengarahkan Bujei membasuh motorsikalnya. Setelah selesai, Bujei meminta upah daripada Alias tetapi Alias enggan memberikan upah kepada Bujei. Mak Som mengajak Bujei masuk ke dapur untuk bersarapan sambil menyerahkan duit seringgit kepada Bujei. Adila datang ke kampung dan tinggal di rumah Sidang Saman. Same'ah memikirkan motif Adila datang ke kampung itu kerana lazimnya seorang graduan akan bekerja setelah tamat pengajiannya tetapi Adila tidak menunjukkan hasrat untuk bekerja. Adila memberitahu Same'ah bahawa Bujei tidak harus dibiarkan sebegitu. Adila memberitahu Same'ah bahawa Bujei menjadi mangsa alam dan manusia di sekelilingnya. Adila mahu mengubah Hafiz menjadi manusia normal semula. Bujei berdebar-debar apabila berhadapan dengan Adila apatah lagi apabila mendengar suara serta ucapan yang lemah-lembut dan hormat daripada Adila terhadapnya.

Pada peringkat perumitan pula, Sahak memaklumkan kepada Alias tentang pertemuan Bujei dengan Adila. Alias terburu-buru ke rumah Sidang Saman dengan motorsikalnya. Bujei resah apabila melihat kehadiran Alias. Alias merenung tajam ke arah Bujei dan Bujei mengerti maksud yang ditunjukkan oleh Alias iaitu dia tidak mahu Bujei berada di situ lagi. Alias datang ke rumah Bujei dan mengambil radio yang diletakkan di atas almari. Bujei terkejut dengan kehadiran Alias yang sedang melambung-lambung radio tersebut. Alias menjatuhkan radio itu ke lantai menyebabkan Bujei menyerang lalu menumbuk Alias di perut. Adila menangis apabila difitnah oleh orang kampung. Dia menerima surat layang yang menulis kata-kata fitnah yang begitu mengecewakannya, iaitu dia menolak pinangan Alias kerana dirinya telah rosak dan akibatnya dia akan berkahwin dengan Bujei.

Pada peringkat puncak cerita, Alias mengarahkan kawan-kawannya menculik Adila kerana Adila adalah haknya. Kawan-kawannya menyedari perkara jahat yang akan dilakukan oleh Alias. Dia juga menggunakan khidmat neneknya untuk mendapatkan ilmu pengasih supaya Adila tunduk kepadanya. Neneknya menurut kemahuan cucunya itu kerana dia juga mendendami Sidang Saman sekeluarga lantaran menolak pinangan Alias.

Akhir sekali, pada peringkat peleraian cerita, Alias merayu kepada Hafiz supaya memujuk Adila agar kembali kepadanya. Bujei memikirkan bahawa Alias sudah kehilangan harga diri. Keadaan Alias bertambah teruk kerana makan, minum dan tidur baringnya sudah terganggu. Siang dan malam sudah tidak dapat dibezakan oleh Alias. Hafiz berjumpa dengan Adila dan Adila memberitahu bahawa kerjanya telah selesai. Adila memberitahu bahawa Hafiz sudah boleh berdikari dan Hafiz memberitahu bahawa dia tidak dapat membalas jasa Adila. Adila akan pulang ke Kuala Lumpur dan mengajak Bujei berjumpa dengan keluarganya.

No comments:

Post a Comment

ASPEK KOMSAS DRAMA BERKHIDMAT UNTUK NEGARA

ASPEK KOMSAS DRAMA BERKHIDMAT UNTUK NEGARA ASPEK KOMSAS PERNYATAAN HURAIAN PEMIKIRAN Semangat cinta...