Wednesday, 29 August 2012

SOALAN PERCUBAAN BAHASA MELAYU SPM KERTAS 2 (SBP) 2012


BAHASA MELAYU KERTAS 2


Soalan 1: Rumusan
[30 markah]
Baca petikan di bawah dengan teliti, kemudian buat satu rumusan tentang usaha-usaha untuk meningkatkan mutu perkhidmatan awam dan kesan-kesan usaha tersebut kepada negara. Panjangnya rumusan hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.

Pelbagai transformasi dilaksanakan oleh kerajaan yang dipimpin oleh Datuk Sri Mohd. Najib Tun Abdul Razak demi meningkatkan kredibiliti perkhidmatan awam di negara ini. Perkhidmatan awam yang dianggotai kira-kira 1.2 juta orang kakitangan tidak terkecuali daripada terlibat dalam transformasi sejajar dengan tuntutan untuk menzahirkan aspirasi kerajaan. Semua penjawat awam perlu berganding bahu dan berazam untuk merealisasikan aspirasi kerajaan yang mengutamakan prestasi dan bertunjangkan keutamaan kepada rakyat.

Peranan penjawat awam amat signifikan dalam melaksanakan agenda negara. Teguran sering dibuat terhadap sikap negatif kakitangan awam yang kurang mesra di kaunter-kaunter apabila berurusan dengan pelanggan. Keadaan ini berlaku disebabkan sikap segelintir kakitangan awam yang tidak bertanggungjawab sehingga mencalarkan nama baik penjawat awam. Kakitangan awam perlu membudayakan kreativiti dan inovasi penjawat awam. Sementara itu, dalam usaha untuk memastikan setiap ringgit dan sen yang dibelanjakan mendapat pulangan nilai paling maksimum kepada kerajaan dan rakyat, amalan nilai untuk wang perlu dilaksanakan. Hal ini demikian kerana, kerajaan telah berbelanja berjuta-juta ringgit setiap tahun hanya untuk meningkatkan mutu perkhidmatan awam.

Yang paling perlu ialah kakitangan awam sendiri perlu melakukan anjakan paradigma untuk menghadapi cabaran pada masa depan. Pelbagai penyelesaian terbaik demi memartabatkan negara ke tahap yang lebih tinggi perlu dilaksanakan. Mereka hendaklah bersama-sama memberikan sepenuh komitmen dalam memperkukuh sistem penyampaian perkhidmatan kerajaan. Mereka juga perlu meningkatkan nilai integriti ketika bertugas. Peningkatan tahap integriti ini amat selari dengan komitmen kerajaan yang mahu mewujudkan sebuah pentadbiran yang mendahulukan rakyat dan mengutamakan pencapaian.

Kakitangan awam juga digesa untuk memberikan perkhidmatan yang lebih menjurus kepada usaha mempermudah dan mempercepat urusan pelanggan tanpa kerenah birokrasi. Sering kali kedengaran rungutan daripada mulut kebanyakan orang tentang kelewatan penjawat awam melaksanakan tugas mereka apabila mereka berurusan di pejabat-pejabat kerajaan. Cara ini didapati berupaya membendung amalan rasuah dalam kalangan penjawat awam. Ada juga kakitangan awam yang tidak segan silu meminta bayaran jika orang ramai mahukan urusan mereka dibuat dengan segera.

Pembaharuan demi pembaharuan yang dilakukan mampu menutup ruang-ruang kosong demi meningkatkan mutu perkhidmatan awam di negara ini. Hasrat kerajaan untuk mempertingkatkan daya saing negara di persada antarabangsa bakal menjadi kenyataan tidak lama lagi. Semangat kerja secara berpasukan juga perlu diterapkan dalam setiap tugas yang dilaksanakan demi mencapai sasaran yang ditetapkan. Sesungguhnya setiap program yang dilaksanakan menjadi titik tolak yang melakar perubahan dalam sejarah perkhidmatan awam di negara ini.

(Dipetik dan diubah suai daripada “Transformasi Pekhidmatan Awam”, oleh Abd. Kadir Mohd. Ayub, dalam Dewan Masyarakat, Februari 2012)

Soalan 2: Pemahaman
[35 markah]
Soalan 2(a) - Petikan Umum

Berdasarkan petikan Soalan 1, jawab soalan-soalan yang berikut dengan menggunakan ayat anda sendiri.

(i) Berikan maksud rangkai kata mencalarkan nama baik.    [2 markah]

(ii) Apakah rungutan orang ramai yang sering disuarakan terhadap mutu perkhidmatan awam di negara ini?
[3 markah]

(iii) Pada pendapat anda, apakah bentuk ganjaran yang perlu diberikan kepada penjawat awam yang telah berkhidmat dengan cemerlang?    [4 markah]



Soalan 2(b)–Petikan Cerpen

Baca petikan cerpen di bawah dengan teliti, kemudian jawab soalan-soalan yang berikutnya dengan menggunakan ayat anda sendiri.

Sekali ini, hati batu Kapten Mamat menjadi lembut benar. Dia tahan melihat mayat Baharum mati berdarah. Tetapi, tidak sanggup melihat janda dan dua orang anaknya yang tinggal. Wajah dan tangisan mereka merupakan suatu gambaran dunia yang penuh laknat.
Siapakah tidak terharu melihat anak yang baru kehilangan bapa bertanya mana bapanya? Siapakah yang tidak kasihan melihat isteri yang baru kehilangan suaminya? Menyaksikan anak dan isteri yang menanggung duka dan nestapa, suatu penyeksaan bagi Kapten Mamat, tetapi jika sudah berdepan, dipaksanya menahan segala kemungkinan. Sifatnya yang lemah itu diatasinya dengan gagah.
“Hari ini terlampau panas,” kata Kapten Mamat membuka mulut.
Isterinya segera menjawab.
“Ya, panas salah, sejuk salah.”
Masnah diam. Anak matanya pudar memberi suatu pengertian yang mengharukan. Percakapan yang baru lalu didengarinya dengan muka sugul. Rambutnya kusut dan semuanya membayangkan masa depan yang sangat gelap.
Anak yang menangis tadi didukung oleh anak gadis Kapten Mamat. Tetapi anak Masnah yang pandai bercakap, bertanya ibunya, “Emak! Oh, emak! Abah ada di sini emak?”
(Dipetik daripada cerpen ‘Penanggungan’ oleh Wijaya Mala dalam antologi Dirgahayu Bahasaku Dewan Bahasa dan Pustaka)

(i) Apakah dilema atau rasa serba salah yang dihadapi oleh Kapten Mamat? [2 markah]

(ii) Sekiranya anda berhadapan dengan wanita seperti Masnah, apakah langkah-langkah yang boleh anda ambil untuk membantunya? [3 markah]

(iii) Huraikan satu persoalan yang terdapat dalam petikan di atas dan satu persoalan yang lain daripada keseluruhan cerpen. [4 markah]



Soalan 2(c) – Petikan Prosa Klasik

Baca petikan prosa klasik di bawah dengan teliti, kemudian jawab soalan-soalan yang berikutnya dengan menggunakan ayat anda sendiri.

Megat Iskandar dan Megat Kedah keduanya ialah kakanda kepada Sultan Maliku’l-Nasar di Rimba Jerun. Segala rakyat serta kedua raja itu kasih akan Merah Silu. Megat Iskandar menyuruh segala rakyat membawa beras seorang sekampit. Pada suatu hari, Megat Iskandar bermuafakat dengan orang besar-besar, orang tua-tua dan segala rakyat dalam negeri itu. Kata Megat Iskandar, “Hai segala tuan-tuan, apa fikiran kita akan Merah Silu ini? Pada bicara hamba baiklah kita jadikan dia raja kerana ia pun sedia raja, lagi ia hartawan. Dapat kita menumpang bersuka kepadanya.”
Antara mereka yang hadir itu seorang bernama Tun Aria Benong. Tun Aria Benong tiada mahu Merah Silu dijadikan raja. Ujarnya, “Jikalau ia kita jadikan raja, nescaya anak cucu kita diperintahnya.”
Megat Iskandar bermuafakat lagi dengan segala orang dan baginda tetap merajakan Merah Silu, lalu Merah Silu diangkat menjadi raja.
Setelah Merah Silu diangkat menjadi raja, datang Sultan Maliku’l-Nasar ke Rimba Jerun. Maka berperanglah Merah Silu dengan Sultan Maliku’l-Nasar. Sultan Maliku’l-Nasar berundur ke sebuah negeri bernama Benua lalu dia bertahan dan berbuat istana. Beberapa lama Sultan Maliku’l-Nasar duduk dalam negeri itu, pada suatu hari, datang Merah Silu memerangi Sultan Maliku’l-Nasar lalu Sultan Maliku’l-Nasar undur ke rimbanya. Merah Silu menamakan tempat itu Permata Terjun. Sultan Maliku’l-Nasar berundur lagi dan sampailah di suatu negeri; dan membuat istana di negeri itu.
(Dipetik daripada ‘Merah Silu’ Dalam antologi Harga Remaja, Dewan Bahasa dan Pustaka)

(i) Berikan maksud ia pun sedia raja. [2 markah]

(ii) Apakah tindakan-tindakan yang dilakukan oleh Megat Iskandar sebelum mengangkat Merah Silu sebagai raja? [3 markah]

(iii) Sekiranya anda Merah Silu, apakah tindakan-tindakan yang akan diambil untuk menangani tentangan daripada pihak yang memusuhi anda? [3 markah]



Soalan 2(d) -Petikan Puisi

Baca sajak di bawah dengan teliti, kemudian jawab soalan-soalan yang berikutnya dengan menggunakan ayat anda sendiri.

Kecek – (V)
1
seorang pengarah
membuka akaun semasanya
di sebuah bank ternama
tetapi dalam diam
dia mencantum kemiskinan
orang lain
ke dalam amanahnya
yang telah lama pecah.

2
di kampung
seorang petani
membuka akaun kemiskinannya
di ruang kedaifan
dan mengunci sedozen anak-anaknya
di dalam pagar sengsara
tetapi dia tidak pernah mencantum
kekayaan orang lain
ke dalam getirnya
yang sudah lama
berumbi.

3
di pantai
seorang nelayan
membuka akaun sengsaranya
di rahang laut ternganga
dan mengurung sederet anak-anaknya
di bawah pusaran nasib
tetapi dia tidak pernah mengumpul
kesenangan orang lain
ke dalam kegusarannya
yang telah sekian musim
berlumut
di papan hidupnya.

4
Tuhan tidak pernah mungkir
mencatatkan setiap angka
dan nilai hitungan paling kecil
ke dalam akaun-Nya
di rumah keadilan.
AWANG ABDULLAH
Antologi Dirgahayu Bahasaku, Dewan Bahasa dan Pustaka

(i) Apakah persamaan antara golongan petani dengan golongan nelayan dalam sajak? [2 markah]

(ii) Pada pendapat anda, mengapakah penyajak membandingkan keadaan ketiga-tiga golongan dalam sajaknya? [4 markah]

(iii) Nyatakan tiga pengajaran yang terdapat dalam sajak “Kecek (V)”. [3 markah]



Soalan 3: Pengetahuan dan Kemahiran Bahasa
[30 markah]
Jawab semua soalan.
(a) Tulis satu ayat bagi setiap kata di bawah untuk menunjukkan bahawa anda faham akan maksud dan penggunaannya. Anda tidak boleh menambahkan imbuhan atau menggunakan perkataan itu sebagai peribahasa atau kata nama khas.

(i) lama
(ii) berlama-lama
(iii) lama-kelamaan
(iv) jauh
(v) menjauh
(vi) kejauhan
[6 markah]

(b) Tulis semula petikan di bawah dalam bentuk cakap pindah. Anda dikehendaki mengekalkan susunan isi dalam petikan.

Maria : Pukul berapa awak akan berangkat?
Ahmad : Pukul 3 petang tetapi teksi yang akan menghantar saya ke lapangan terbang
akan tiba sebentar lagi.
Maria : Berhati-hati dalam perjalanan nanti. Pandai-pandailah jaga diri di tempat
orang. Oh, ya! Pasport sudah bawa?
Ahmad : Ada di dalam beg galas.
[6 markah]

(c) Dalam petikan di bawah terdapat tiga kesalahan ejaan dan tiga kesalahan penggunaan imbuhan. Senaraikan dan betulkan kesalahan itu. Anda tidak boleh menyenaraikan lebih daripada tiga kesalahan ejaan dan tiga kesalahan imbuhan. Anda tidak perlu menyalin petikan itu semula.

Setelah jalan raya dinaiktaraf menjadi lebuh raya, pengguna dapat menikmati berbagai kemudahan sepanjang perjalanan. Bermula dari Bukit Kayu Hitam hingga Johor Bahru, pengguna dapat mempergunakan kemudahan yang disediakan di kawasan rehat dan rawat. Di kawasan rehat dan rawat ini, pengguna dapat beristirehat bagi menghilangkan rasa penat-lelah di samping menjamu selera di gerai makan yang mampu memenuhkan cita rasa semua kaum.
[6 markah]


(d) Dalam setiap ayat di bawah, terdapat satu kesalahan penggunaan kata atau istilah dan satu kesalahan tatabahasa. Senaraikan dan betulkan kesalahan itu. Bagi setiap ayat, anda tidak boleh menyenaraikan lebih daripada satu kesalahan penggunaan kata atau istilah dan satu kesalahan tatabahasa. Anda tidak perlu menyalin ayat itu semula.

(i) Pembentang kertas kerja-kertas kerja perlu mengirimkan biografi ringkas mereka melalui e-mel.

(ii) Oleh yang demikian, pihak berkuasa wajar bertindak keras terhadap orang yang mencuri air untuk memastikan masalah air dapat ditangani dengan segera.

(iii) Pengambilan pekerja mengikut jantina di dalam perusahaan itu berdasarkan had yang ditetapkan oleh syarikat.
[6 markah]


(e) Bina satu perenggan karangan yang menggunakan tiga daripada peribahasa yang
disenaraikan.

Bagai lebah menghimpunkan madu
Belakang parang kalau diasah lagikan tajam
Genggam bara api biar sampai jadi arang
Di mana ada kemahuan di situ ada jalan
[6 markah]


Soalan 4: Novel
[15 markah]

Jawab soalan-soalan di bawah berdasarkan novel-novel yang berikut:
(i) PAPA… (akhirnya kau tewas jua!) karya Deana Yusof
(ii) Melunas Rindu karya Hartini Hamzah
(iii) Azfa Hanani karya Halis Azhan Mohd. Hanafiah
(iv) Renyah karya Gunawan Mahmood
(v) Konserto Terakhir karya Abdullah Hussain
(vi) Kabus di Perbukitan karya Mohamad Kholid Hamzah
(vii) Kembara Amira karya Amer Hamzah L. Kadir
(viii) Sutera Dalam Lukisan karya Abd. Talib Hassan

(a) Dalam sesebuah novel, terdapat peristiwa-peristiwa yang menarik perhatian pembaca.
Berdasarkan sebuah novel yang anda kaji, pilih dua peristiwa yang menarik dan nyatakan sebab peristiwa itu berjaya menarik perhatian anda. [7 markah]

(b) Berdasarkan dua buah novel yang anda kaji, huraikan satu latar masyarakat yang
dipaparkan dalam setiap novel tersebut. [8 markah]

KERTAS SOALAN TAMAT


(SUMBER : PANEL PENGGUBAL BAHAGIAN PENGURUSAN SEKOLAH BERASRAMA PENUH DAN SEKOLAH KECEMERLANGAN KEMENTERIAN PELAJARAN MALAYSIA)






No comments:

Post a Comment

ASPEK KOMSAS DRAMA BERKHIDMAT UNTUK NEGARA

ASPEK KOMSAS DRAMA BERKHIDMAT UNTUK NEGARA ASPEK KOMSAS PERNYATAAN HURAIAN PEMIKIRAN Semangat cinta...