Monday 17 October 2011

JAWAPAN PERCUBAAN BM SPM SBP 2011

CONTOH JAWAPAN PEPERIKSAAN PERCUBAAN SPM SBP 2011

Soalan 1: Rumusan

Petikan membincangkan kelebihan berekreasi dalam kalangan remaja.

Antara kelebihannya adalah dapat mengelakkan remaja daripada terjebak dalam aktiviti tidak sihat yang boleh merosakkan masa hadapan mereka serta memberikan kesihatan yang baik dan minda yang cerdas. Selain mendidik remaja untuk lebih terbuka dari segi minda dan pergaulan, rekreasi juga membentuk remaja menjadi lebih matang, berketerampilan dan mempunyai keyakinan dalam pergaulan. Di samping itu,  rekreasi mendedahkan remaja kepada aspek kerohanian serta remaja lebih terarah dalam soal kehidupan mereka.

Kekangan yang dihadapi bagi melaksanakannya ialah remaja menganggap aktiviti ini membuang masa dan memenatkan. Selain itu, kurangnya galakan daripada ibu bapa serta terdapat aktiviti alternatif lain yang lebih menyeronokkan remaja.

Kesimpulannya, ibu bapa perlu menggalakkan anak-anak berekreasi supaya remaja yang berkualiti dan seimbang dapat dilahirkan.

(119 patah perkataan)
Soalan 2: Pemahaman

Soalan 2 (a) - Petikan Umum

i.                     Maksud rangkai kata menuju alam kedewasaan ialah ke arah dunia kematangan (2m)

ii.                    Usaha-usaha yang telah dilakukan oleh pihak kerajaan dan swasta untuk menggalakkan rakyat berekreasi ialah di pusat-pusat kesihatan telah disediakan pelbagai peralatan senaman moden serta hampir di setiap kawasan perumahan telah disediakan taman untuk berekreasi. Usaha lain ialah kerajaan telah banyak membina pusat sukan tertutup untuk menggalakkan rakyat berekreasi. (3m)

iii.                  Pada pendapat saya, langkah-langkah yang boleh dilakukan oleh pihak sekolah untuk menggalakkan para pelajar berekreasi ialah melaksanakan program 1 Murid 1 Sukan dengan lebih serius dan mengadakan Hari Kokurikulum yang melibatkan semua pelajar. Selain itu, langkah lain ialah mengaktifkan semula kelab-kelab yang berorientasikan sukan. Akhir sekali, pihak sekolah hendaklah memberikan anugerah serta penghargaan kepada pelajar yang aktif dalam sukan dan permainan untuk menggalakkan mereka berekreasi. (4m)

Soalan 2 (b) – Petikan Drama

i.                     Persediaan Pak Itam untuk menyambut tetamunya ialah menyediakan lapan buah khemah sebagai tempat menjamu selera para tetamunya serta menyediakan tempat letak kereta di tanah kosong seberang jalan untuk mengelakkan kesesakan jalan raya. Selain itu, Pak Itam turut mengundang penyanyi dan kumpulan teater untuk menghiburkan tetamu. (2m)

ii.                    Kesan sekiranya undang-undang negara tidak dipatuhi ialah rakyat akan hidup dalam ketakutan kerana kejadian jenayah yang berleluasa. Selain itu, kadar jenayah akan meningkat kerana manusia tidak takut pada undang-undang. Kesan lain ialah imej negara di mata dunia akan terjejas sehingga pelabur bimbang untuk melabur di sini. (3m)

iii.                  Perwatakan Pak Itam dalam petikan ialah prihatin, iaitu beliau menyediakan tempat letak kereta di seberang jalan supaya kenderaan tetamunya tidak mengganggu lalu lintas pengguna jalan raya yang lain.

Perwatakan Pak Itam dalam keseluruhan cerpen pula ialah memiliki semangat patriotik. Buktinya ialah beliau sanggup dipenjarakan kerana menentang penjajah asalkan negara tidak tergadai.  (4m)

Soalan 2 (c) - Petikan Prosa Klasik

i.                     Opu Daeng dan saudara-saudaranya diutus oleh Raja Kedah supaya datang ke Kedah  adalah kerana mereka diminta untuk membantu Raja Kedah mengalahkan saudaranya yang berkelahi akibat berebutkan kerajaan. Selain itu, mereka juga diminta supaya memastikan Raja Kedah dapat memerintah negeri Kedah. (2m)

ii.                    Perjanjian yang dibuat oleh kedua-dua belah pihak sekiranya Raja Kedah berjaya mencapai hasratnya untuk memerintah negeri Kedah ialah Raja kedah berjanji akan memberikan Opu Daeng dan saudara-saudaranya lima belas bahara setiap seorang sekiranya berjaya dalam perebutan kuasa tersebut. Opu Daeng pula meminta supaya Raja Kedah membuat persetujuan bahawa orang dagang dari Timur seperti orang Bugis, Mengkasar dan Madura pula di bawah pemerintahannya. (3m)

iii.                  Pada pendapat saya, kepentingan sesuatu perjanjian adalah supaya kedua-dua belah pihak maklum tentang janji yang telah dibuat. Selain itu, sesuatu perjanjian penting supaya tidak mendatangkan perasaan tidak puas hati kepada mana-mana pihak pada kemudian hari. Kepentingan lain adalah untuk mengelakkan berlakunya penindasan kepada pihak-pihak yang terbabit dalam perjanjian tersebut. (3m)

Soalan 2 (d) – Petikan Puisi

i.                     Berdasarkan rangkap pertama, sifat-sifat orang beriman ialah sentiasa bersifat sabar dan tidak mudah termakan hasutan iblis. (2m)

ii.                    Pada pandangan saya, faktor yang menyebabkan generasi baharu mudah terpengaruh oleh budaya Barat adalah kerana longgarnya pegangan agama sehingga tidak dapat membezakan perkara yang halal dan haram. Faktor lain adalah kerana pengaruh media massa dan teknologi terkini yang mudah diperoleh tanpa kawalan yang ketat. Akhir sekali sikap masyarakat kini yang sukakan budaya hedonisme dalam kehidupan seharian menyebabkan mereka mudah terpengaruh dengan budaya Barat. (3m)

iii.                  Pengajaran yang terdapat dalam rangkap pertama ialah kita hendaklah melawan hasutan iblis agar akhlak terpelihara. Contohnya, pengarang menyatakan bahawa mereka yang beriman akan terhindar daripada godaan iblis.

Pengajaran yang terdapat dalam rangkap ketiga pula ialah kita hendaklah memelihara kedaulatan bahasa ibunda agar martabatnya sentiasa terpelihara. Contohnya, pengarang menyatakan kebudayaan Timur semakin dinodai oleh budaya Barat akibat kelalaian masyarakat. (4m)


Soalan 3 : Pengetahuan Pemahaman dan Kemahiran Bahasa

(a)     membina ayat (6m)

i.                     Suasana di pasar minggu pada setiap hari Jumaat berdekatan dengan Pasir Tumboh sungguh gamat dengan gelagat penjual untuk menarik perhatian pembeli.

Banyak spesies gamat terdapat di Pulau Langkawi sehingga menjadikan pulau tersebut sebagai destinasi pelancongan yang terkenal di Malaysia.

ii.                    Pelajar-pelajar di dalam kelas 5 Kappa diam seketika apabila Tuan Haji Zainuddin lalu di hadapan kelas mereka.

Pak Cik Mail telah lama diam di pondok kecil berhampiran dengan kubur itu setelah dia diusir oleh penduduk kampung.

iii.                  Beberapa bidang tanah pusaka kepunyaan Pak Samad akan dibayar pampasan oleh kerajaan kerana di situ akan didirikan sebuah sekolah baru.

Ramai pelajar tajaan JPA akan melanjutkan pelajaran dalam bidang kedoktoran di Irealand pada tahun ini.

(b)     Memisahkan ayat majmuk kepada enam ayat tunggal (6m)

i.                     Golongan remaja terlalu asyik melayari internet.
ii.                    Golongan remaja seringkali menghabiskan masa berjam-jam di hadapan komputer.
iii.                  Keadaan ini mengakibatkan remaja tersebut mengabaikan tanggungjawab terhadap keluarga.
iv.                  Keadaan ini mengakibatkan remaja tersebut mengabaikan tanggungjawab terhadap pelajaran.
v.                    Mereka memberikan alasan kononnya hendak mencari maklumat.
vi.                  Sebenarnya mereka melayari laman-laman yang tidak berfaedah.

(c)     Membetulkan kesalahan ejaan dan imbuhan dalam ayat (6m)

Kesalahan                                     Pembetulan

i.                     motorsikal                                                    motosikal
dilaku                                                             dilakukan

ii.                    e-mail                                                             e-mel
diharap                                                          berharap

iii.                  bekerja                                                          pekerja
tengahari                                                       tengah hari

(d)     Membetulkan kesalahan kata/istilah dan tatabahasa (6m)

Kesalahan                                     Pembetulan

i.                     komuniti                                                        komunikasi
ii.                    berbagai                                                        berbagai-bagai/ pelbagai 
iii.                  pelebar                                                          penyebar
iv.                  Ini kerana                                                      Hal ini demikian kerana/ Hal ini kerana
v.                    perasaan                                                       minda/ fikiran
vi.                  di dalam                                                        dalam
(e)     Peribahasa (6m)

i.                     Duri dalam daging
ii.                    Sepandai-pandai tupai melompat akhirnya jatuh ke tanah jua
iii.                  bangkai gajah dapatkah ditutup dengan nyiru


Soalan 4: Novel

Soalan 4 (a)

Novel yang saya kaji ialah Sutera Dalam Lukisan karya Abd Talib Hassan. Pengarang menggunakan pelbagai teknik plot untuk menjadikan cerita lebih menarik.

Teknik plot yang digunakan oleh pengarang ialah teknik imbas kembali iaitu watak mengingat semula peristiwa yang lepas. Buktinya Hafiz mengingat semula setiap perbuatan Alias kepadanya. Apa-apa yang disuruh Alias tidak pernah dibantahnya. Turun ke dalam sungai dan membasahkan serta mengotorkan seluruh badannya merupakan antara suruhan Alias. Alias akan menghukumnya andai dia membantah seperti disepak, dipukul dan diterajang.

Teknik plot lain ialah teknik imbas muka iaitu watak membayangkan peristiwa yang akan berlaku pada masa hadapan. Hafiz menjangka-jangka makanan yang akan mengisi perutnya pada malam nanti. Mungkin pisang berangan, lebihan semalam masih ada di dapur. Apa-apa makanan tidak menjadi halangan kepadanya asalkan perutnya terisi.



Soalan 4 (b)

Novel yang saya kaji ialah Sutera Dalam Lukisan, karya Abd Talib Hassan dan Renyah karya Gunawan Mohamad. Watak utama dalam novel Sutera Dalam Lukisan ialah Bujei/ Hafiz manakala watak utama dalam novel Renyah ialah Datuk Dolhi. Pengarang menggambarkan banyak perwatakan watak utama yang boleh dijadikan teladan dalam kehidupan sehari-hari.

Perwatakan Bujei ialah bertanggungjawab, iaitu dengan kudrat yang ada, dia bangun menuju ke bilik untuk menyelamatkan ibunya dalam kebakaran tetapi tidak dapat menembusi pintu kerana asap yang tebal. Dia hanya sempat mendengar batukan ibunya beberapa kali. Perwatakan ini boleh dijadikan teladan dalam kehidupan sehari-hari iaitu kita mesti bertanggungjawab membantu ibu kita yang berada dalam kesusahan kerana jasa dan pengorbanan ibu sangat besar nilainya.

Perwatakan Datuk Dolhi pula ialah seorang yang patriotik, iaitu beliau lebih suka menggunakan kereta saga limosin baru buatan Malaysia ke majlis-majlis rasmi kerana dia lebih mengutamakan barangan buatan tempatan. Dalam hal berpakaian, dia lebih suka menggunakan batik Kelantan kerana buatannya juga bermutu tinggi. Perwatakan ini boleh dijadikan teladan dalam kehidupan sehari-hari iaitu kita perlu sayang akan negara dengan membantu membeli barangan buatan tempatan supaya negara akan berkembang maju.


No comments:

Post a Comment

ASPEK KOMSAS DRAMA BERKHIDMAT UNTUK NEGARA

ASPEK KOMSAS DRAMA BERKHIDMAT UNTUK NEGARA ASPEK KOMSAS PERNYATAAN HURAIAN PEMIKIRAN Semangat cinta...