Pengadil dikritik
KOTA BHARU - Kelab Penyokong Siber Bola Sepak Kelantan (kelate.net) menyifatkan lima kad merah dan 10 kad kuning oleh pengadil, Mohd. Nafeez Abd. Wahab pada suku akhir Piala Malaysia antara Kelantan dan Terengganu di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah kelmarin, menjejaskan rentak perlawanan kedua-dua pasukan.
Timbalan Presidennya, Mahizi Mahood berkata, perkara tersebut sepatutnya tidak berlaku jika pengadil bijak mengawal suasana sepanjang perlawanan.
"Sekiranya perlawanan tersebut diadili oleh mereka yang berpengalaman perkara ini mungkin tidak berlaku.
"Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sepatutnya memilih pengadil yang berwibawa untuk perlawanan ini, memandangkan ia mempertemukan dua pasukan yang penuh dengan tradisi tersendiri.
"Perlawanan penting seperti ini seharusnya diadili oleh pengadil terbaik. Saya harap FAM dapat menilai semula prestasi pengadil untuk perlawanan akan datang. Pada perlawanan semalam saya lihat banyak keputusan pengadil menimbulkan keraguan di kalangan peminat.
"Kesalahan yang dilakukan oleh Daudsu wajar diberikan kad merah kerana ia membuat terjahan keras dari belakang.
"Namun kesalahan yang dilakukan Ismail Faruqi sepatutnya tidak dilayangkan kad tetapi wajar diberikan amaran," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, semalam.
(Sumber : Utusan online - 12/10/2011)
No comments:
Post a Comment