Ibu bapa suntik keyakinan anak
BERADA di bulan-bulan terakhir penggal persekolahan suasananya agak serius dan mungkin sedikit tegang kerana berlangsungnya beberapa peperiksaan penting.
Bermula dengan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) yang baru berlalu, diikuti Penilaian Menengah Rendah (PMR) yang sedang rancak berlangsung sekarang, disusuli pula dengan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada 14 November dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) bermula 21 November ini.
Di saat ini bukan saja anak-anak bahkan ibu bapa turut merasai debaran sehingga sanggup berbuat apa saja sebagai memberi sokongan kepada anak-anak yang menghadapi detik penting dalam kehidupan mereka.
Ramai ibu yang mengambil cuti bekerja, bersengkang mata berjaga malam menemani anak-anak mengulangkaji pelajaran dan tidak kurang juga yang berpuasa sunat memohon keberkatan daripada Yang Maha Esa.
Kaunselor remaja, Kolej profesional Mara, Bandar Penawar Kota Tinggi, Johor, Nur Shadira Jamaluddin, menasihatkan dalam keadaan itu kerunsingan ibu bapa jangan pula memberikan tekanan kepada anak-anak.
"Jangan pula kerana tekanan yang dirasai ibu bapa dan harapan yang diletakkan terhadap anak-anak, membuatkan ibu bapa menjadi kelam kabut hingga lupa apa yang patut dilakukan di saat menjelangnya peperiksaan.
"Jika salah pendekatan ibu bapa, maka anak yang akan menerima akibatnya kelak hingga tanpa disedari menjejaskan prestasi peperiksaan mereka,'' ujarnya ketika dihubungi baru-baru ini.
Jelas beliau lagi, dalam situasi sedemikian, bukan sahaja ibu bapa yang bimbang tetapi juga anak-anak juga sebenarnya turut bimbang.
Mungkin ada di antara mereka tidak begitu menunjukkan kebimbangan tetapi ia dapat dilihat dari segi perubahan sikap dan tingkah laku mereka.
"Mungkin dalam keadaan ini, ada anak-anak yang runsing dan menyebabkan tidak berselera makan. Tetapi ada pula yang menjadi terlalu kuat makan, malah ada yang tidak boleh tidur kerana terlalu risau dengan keadaan yang akan dihadapi.
"Sememangnya perasaan bimbang boleh menyebabkan berlakunya perubahan sikap dan tingkah laku ini.
"Sebagai ibu bapa, kita mesti peka terhadap perubahan ini dan ketika ini juga kita perlu berperanan supaya dapat meredakan tekanan yang dialaminya,'' kata Nur Shadira.
Tambahnya lagi, dalam situasi ini cuba jelaskan pada anak-anak bahawa apa yang ibu bapa harapkan daripada anak-anak hanyalah melakukan yang terbaik mengikut kemampuan diri mereka sahaja.
Dalam keadaan ini juga ibu bapa juga disaran supaya tidak terlalu mengongkong diri anak-anak sehingga mereka menjadi kaku untuk membuat kerja-kerja sekolah.
Sebaliknya berikan mereka kebebasan serta perhatikan sahaja gelagat anak-anak dan cuba untuk mendekati dengan memberikan kata-kata semangat.
"Situasi ini biarpun nampak mudah namun memberikan kesan yang sangat positif kerana mampu meningkatkan keyakinan diri dan sekali gus memberikan suntikan baru kepada dirinya,'' katanya lagi.
Dalam masa sama beritahu mereka apa ganjaran yang bakal diperolehi sekiranya lulus dalam peperiksaan.
"Keadaan itu juga sebenarnya memberikan perangsang terbaik. Jika ia (ganjaran) berbentuk percutian cuba gambarkan keadaan tersebut supaya dapat memotivasikan diri anak-anak lagi.
"Pastikan juga ganjaran yang mahu diberikan mampu ditunaikan. Keadaan ini kalau tidak dikotakan akan hilang kepercayaan anak terhadap ibu bapa dan lain kali janji kita tidak diambil kisah lagi,'' kata Nur Shadira.
Bagaimanapun dalam masa sama, cuba ajak anak tersebut untuk melakukan aktiviti yang menyeronokkan tanpa perlu keluar dari rumah.
Misalnya, adakan masa untuk menonton seketika, berhibur dan bergelak ketawa sekeluarga.
"Ini sebenarnya akan menjadikan perasaan tegang dalam diri anak mengendur dan dia kini bersedia untuk kembali belajar semula. Pada ketika inilah, tanamkan kembali keyakinan dalam diri anak-anak,'' ulasnya lagi.
Bagaimanapun, dalam situasi ini elakkan juga daripada terlalu banyak membuang masa dengan aktiviti di luar seperti keluar membeli belah, balik kampung, menziarahi saudara mara dan sebagainya.
"Keadaan ini penting bagi mengelakkan keadaan yang tidak diingini berlaku selain memastikan kesihatan dan keselamatan terjaga.
"Harus diingatkan bahawa setiap minit itu amat berharga. Oleh itu, pastikanlah setiap aktiviti yang dirancang menyumbang kepada persediaan untuk menghadapi peperiksaan sama ada persediaan mental, emosi, fizikal atau rohani anak-anak,''ujarnya lagi.
Selain itu menurut Nur Shadira lagi, dalam tempoh dua minggu sebelum peperiksaan bermula, pastikan anak masuk tidur awal dan bangun awal.
Dalam keadaan itu, minta mereka membuat sedikit ulang kaji walaupun hanya tempoh yang sekejap.
"Biarpun dalam tempoh yang singkat namun ia sebenarnya mudah memberi kefahaman selain dalam keadaan yang tenang dan banyak maklumat,'' ujarnya.
Dalam pada itu juga, sebagai ibu bapa inilah masanya mereka memainkan peranan untuk memberi dorongan yang tidak berbelah bahagi kepada anak yang bakal menduduki peperiksaan.
"Ambillah cuti beberapa hari dan usahakan untuk hantar sendiri anak ke sekolah pada hari peperiksaan tersebut. Sepanjang perjalanan terus berikan kata-kata perangsang dan nasihat kepadanya.
"Ingatkan anak sekali lagi bahawa ibu bapa akan menerima apa saja keputusan yang akan diperoleh kerana apa yang penting dia telah memberikan usaha yang terbaik,'' ujarnya
(Sumber : Utusan Online - 6/10/2011
No comments:
Post a Comment