Monday, 23 March 2020

CONTOH KARANGAN BAHAGIAN B SPM


Ibu bapa memainkan peranan penting dalam menjamin kesihatan ahli keluarga.
Jelaskan langkah-langkah yang patut dilakukan oleh ibu bapa untuk menjamin kesihatan ahli keluarga.

Pada era globalisasi ini, ramai ibu bapa kurang menekankan penjagaan kesihatan ahli keluarga dalam kehidupan seharian mereka.  Tumpuan mereka terhadap kerjaya seperti doktor, jurutera, peguam, arkitek, akauntan dan sebagainya menjadi kekangan dan alasan penjagaan kesihatan kurang diimplimentasikan oleh setiap ibu bapa. Walaupun banyak kempen mengenai penjagaan kesihatan diuar-uarkan melalui media massa tetapi masyarakat seolah-olah tidak cakna akan kesihatan diri. Tidak hairanlah daripada kajian yang dilakukan oleh Universiti Sains Malaysia telah menunjukkan bahawa semakin ramai pesakit kronik telah mendapat rawatan di hospital tersebut. Menurut Datuk Dr. Zaidun Kamari, Pengarah Hospital Universiti Sains Malaysia, kebanyakan pesakit yang mendapat rawatan di situ ialah pesakit yang tidak menitikberatkan amalan gaya hidup sihat seperti tidak mengambil makanan seimbang dalam diet seharian, tidak melakukan senaman dan tidak membuat pemeriksaan kesihatan secara berkala. Persoalannya, apakah cara-cara yang boleh dilakukan oleh ibu bapa untuk mengelakkan penyakit-penyakit kronik ini menyerang ahli keluarga? Oleh itu, bagi merungkai persoalan ini, saya akan menghuraikan secara total tentang cara-cara untuk melakukan penjagaan kesihatan oleh ibu bapa untuk menjamin kesihatan ahli keluarga mereka.

Langkah dominan yang boleh dilakukan oleh ibu bapa untuk menjamin kesihatan ahli keluarga adalah dengan menyediakan menu harian yang seimbang kepada setiap ahli keluarga. Ibu bapa perlu memastikan menu harian anak-anak mereka mengandungi nutrisi yang mencukupi mengikut keperluan diet harian yang telah ditetapkan. Kajian mendapati bahawa nutrisi yang baik dan pengambilan gizi makanan yang seimbang bukan sahaja mampu membantu perkembangan fizikal malah dapat meningkatkan kalsium dan vitamin khususnya dalam menjadikan anak-anak lebih kuat di samping mampu merangsang minda yang lebih cerdas kerana peribahasa menyatakan badan sihat otak cerdas. Oleh itu, ibu bapa mestilah menyediakan makanan seperti yang dianjurkan mengikut piramid makanan. Sebagai contoh, ibu bapa mestilah melebihkan karbohidrat serta mengurangkan makanan berlemak dan bergula dalam masakan harian. Hal ini patut dilakukan supaya ahli keluarga mendapat tenaga yang mencukupi  untuk menjalankan aktiviti harian serta mengelakkan pengumpulan lemak yang berlebihan. Makanan yang mengandungi vitamin juga perlu dimasukkan oleh ibu bapa dalam diet harian untuk melancarkan sistem pencernaan dan mengekalkan kesihatan ahli keluarga. Ibu bapa juga mestilah memastikan penyediaan makanan ini dalam kondisi yang bersih dan bahan-bahan yang segar sahaja dimasak. Dengan ini, ahli keluarga dapat menikmati makanan yang bersih dan berkhasiat sekali gus mampu menyumbang kepada kesihatan keluarga. Oleh itu, ibu bapa memainkan peranan vital untuk menjamin kesihatan ahli keluarga dengan menyediakan menu harian yang seimbang sebelum ahli keluarga diserang penyakit yang berbahaya kerana mencegah adalah lebih baik daripada merawat.

Lain daripada itu, amalan melakukan pemeriksaan kesihatan ahli keluarga secara berkala juga mampu menjamin kesihatan ahli keluarga. Ibu bapa hendaklah memastikan ahli keluarga mereka menjalani pemeriksaan kesihatan secara berterusan kerana amalan ini dapat mengesan atau mencegah sesuatu penyakit lebih awal sekali gus mampu mengawal daripada menjadi kronik ibarat kata peribahasa sediakan payung sebelum hujan. Sebagai contoh, jika ibu bapa membawa anak-anak mereka menjalani pemeriksaan kesihatan, mereka akan mengetahui berat badan anak-anak mereka sama ada bacaan Indeks Jisim Tubuh (BMI) yang normal ataupun sebaliknya. Jika BMI anak mereka melebihi bacaan 30, bacaan ini menunjukkan anak mereka dalam kategori obesiti. Jadi ibu bapa dapat mengawal pemakanan anak-anak mereka kerana obesiti akan menyumbang kepada penyakit-penyakit kronik seperti diabetis, jantung dan buah pinggang.  Selain itu, ibu bapa juga hendaklah membawa anak-anak kecil menjalani suntikan vaksin mengikut jadual yang ditetapkan kerana hal ini dapat mencegah anak-anak mereka menghidap pelbagai penyakit nanti. Jika amalan ini tidak dapat dilakukan oleh ibu bapa anak-anak mereka akan menghidap penyakit-penyakit seperti folio, campak, talasemia dan sebagainya. Menurut mantan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Zulkifly Ahmad, beliau sangat mengharapkan agar ibu bapa tidak gagal membawa anak-anak kecil mengambil suntikan vaksin mengikut jadual yang ditetapkan kerana persekitaran pada masa ini mudah menyumbang kepada penyakit folio seperti yang berlaku di Filipina. Seterusnya, ibu bapa juga perlu mengambil prakarsa dengan membawa anak-anak mereka membuat pemeriksaan kesihatan sekurang-kurangnya 6 bulan sekali apabila anak-anak meningkat remaja. Hal ini penting kerana anak-anak pada peringkat ini mengambil variasi makanan tanpa mengikut diet yang seimbang. Jika pemeriksaan kesihatan ini dilakukan, ibu bapa dapat mengesan lebih awal jika anak-anak mereka menunjukkan simpton menghidap sebarang penyakit sebelum nasi sudah menjadi bubur. Oleh itu, jelas menunjukkan bahawa usaha ibu bapa melakukan pemeriksaan kesihatan secara berkala mampu memastikan kesihatan ahli keluarga mereka terjamin.

Memang tidak dapat dinafikan bahawa melakukan aktiviti senaman secara berterusan juga merupakan antara cara penjagaan kesihatan  yang mudah untuk dilakukan oleh individu. Bersenam merupakan pergerakan atau gerak kerja yang melibatkan anggota badan sehingga boleh mengeluarkan peluh. Oleh itu, ibu bapa perlu menggalakkan ahli keluarga mereka bersenam, daripada kanak-kanak, remaja, orang dewasa sehinggalah warga emas  juga boleh melakukan senaman. Apabila bersenam, badan kita akan mengeluarkan peluh sekali gus dapat menyahkan sisa-sisa toksik, melancarkan pengaliran darah serta membakar lemak supaya jantung dapat berfungsi dengan baik. Benar kata peribahasa, hendak seribu daya tidak hendak seribu dalih, ibu bapa perlu memastikan ahli keluarga melakukan aktiviti senaman  pada bila-bila masa yang sesuai dan terluang. Sebagai contoh, pada waktu petang atau pagi jika tidak bekerja, ibu bapa dan anak-anak boleh melakukan senaman di halaman rumah, taman permainan, trek-trek joging, gelanggang badminton, padang bola sepak dan sebagainya. Menurut pakar kesihatan, amalan senaman wajar diamalkan sekurang-kurangnya tiga kali seminggu dalam masa seminimum 20 minit untuk satu sesi. Aktiviti senaman ini hendaklah diamalkan oleh ibu bapa dan ahli keluarga mereka sehingga menjadi rutin harian dalam kehidupan sama ada secara bersendirian ataupun berkeluarga kerana aktiviti ini dapat mencergaskan tubuh dan pada masa yang sama mencerdaskan minda. Jadi sudah terang lagi bersuluh bahawa senaman merupakan aktiviti penjagaan kesihatan yang mudah untuk dilakukan oleh ibu bapa dan anak-anak kerana aktiviti ini boleh dilakukan pada bila-bila masa dan di mana-mana sahaja.

Kesimpulannya, terdapat heterogen cara penjagaan kesihatan yang patut dilakukan oleh ibu bapa untuk menjamin kesihatan ahli keluarga.   Sehubungan dengan itu, semua lapisan masyarakat amnya dan institusi keluarga khususnya perlu berganding bahu bagai aur dengan tebing dalam usaha melahirkan generasi yang sihat dan cerdas supaya mereka dapat memacu untuk merealisasikan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 yang diinspirasikan oleh mantan Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamed. Saya berharap agar pelbagai program dapat terus dijalankan untuk memberikan pendedahan kepada semua lapisan masyarakat tentang penjagaan kesihatan bagi menjana kehidupan yang  mapan selaras dengan hasrat Perdana Menteri untuk melahirkan masyarakat madani sekali gus mampu mengangkat negara ke mercu kegemilangan.

Contoh karangan ini adalah hasil idea penulis secara total


c

4 comments:

  1. TERIMA KASIH.. SANGAT BERGUNA DAN MEMBANTU PARA PELAJAR

    ReplyDelete
  2. trima kasih Cg sgt inspirasi untuk para pelajar seperti kami terima kasih Cg 😍❤

    ReplyDelete
  3. cikgu mana satu lagi perengan

    ReplyDelete
  4. Terima Kasih doakan saya calon spm2020 4hari lagi nak spm tacott ah baby

    ReplyDelete

ASPEK KOMSAS DRAMA BERKHIDMAT UNTUK NEGARA

ASPEK KOMSAS DRAMA BERKHIDMAT UNTUK NEGARA ASPEK KOMSAS PERNYATAAN HURAIAN PEMIKIRAN Semangat cinta...