Sunday 29 March 2020

TEKNIK MENJAWAB SOALAN NOVEL SPM


Soalan : Jelaskan pengajaran daripada sebuah novel yang telah anda kaji.

Berdasarkan novel yang telah saya kaji iaitu Pantai Kasih karya Azmah Nordin, terdapat pelbagai pengajaran yang boleh dijadikan pedoman.

Pengajaran pertama yang dapat diambil ialah kita hendaklah bijak membuat keputusan agar masalah dapat diselesaikan dengan baik. Sebagai contoh, ibu Unong Siron bijak membuat keputusan ketika dia cuba menyelesaikan satu konflik apabila seorang pemuda yang menyamar sebagai doktor menceroboh Pusat Rawatan Pantai Kasih (PRPK) dan menjadikan Felisia Landosi sebagai tawanan di bilik bedah PRPK. Ibu Unong Siron mencadangkan supaya pemuda itu merawat anaknya menyebabkan pemuda itu melepaskan Felicia Landosi. Kebijaksanaan ibu Unong Siron itu mampu mengelakkan kejadian buruk berlaku kepada Felicia Landosi.

Pengajaran seterusnya ialah kita hendaklah menyayangi anak walaupun didapati cacat kerana anak merupakan anugerah yang tidak ternilai. Pengajaran ini dapat dilihat melalui peristiwa Dr. Raiha enggan menggugurkan kandungan apabila disuruh oleh suaminya Dr. Sadiz setelah didapati anak yang dikandung itu cacat. Dr. Raiha tetap dengan keputusannya hendak meneruskan kandungan tersebut kerana dia sangat menyayangi anak yang dikandung itu walaupun telah didapati cacat.

Pengajaran lain ialah kita hendaklah menjalankan tugas dengan penuh tanggungjawab agar masalah tidak akan timbul kemudian hari. Buktinya ialah Dr. Raiha menerima tugas melakukan pembedahan ke atas Unong Siron daripada Dr Uwang pada saat-saat akhir dengan penuh tanggungjawab walaupun tugasan itu berisiko kepadanya. Dr. Raiha membuat penelitian dan pemerhatian yang mendalam terhadap Sinar-X tulang sendi pinggul Unong Siron untuk memastikan pembedahan kali keenam itu akan berjaya. Sikap Dr. Raiha yang bertanggungjawab itu wajar dijadikan pedoman oleh pembaca.


&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&


Berdasarkan novel yang telah saya kaji iaitu Bimasakti Menari karya Sri Rahayu Mohd Yusof , terdapat pelbagai pengajaran yang boleh dijadikan pedoman.

Pengajaran yang terdapat dalam novel Bimasakti Menari ialah kita hendaklah berusaha melestarikan alam sekitar agar keindahan alam dapat dikekalkan. Sebagai contohnya, Nurul Hafsa, Muhammad Taufik dan Budiman sama-sama berusaha melestarikan alam sekitar. Mereka memperkenalkan projek Kawasan Simpan Langit Gelap di Kuala Selangor agar kecerahan langit dapat dikurangkan untuk memastikan bintang-bintang dapat dilihat. Walaupun pelbagai cabaran daripada Dato. Johann Arlington-Majid yang berusaha untuk menggagalkan projek tersebut, tetapi kegigihan mereka untuk melestarikan alam sekitar dapat meyakinkan Menteri Besar semasa Nurul Hafsa membentangkan projek tersebut.

Pengajaran seterusnya ialah kita hendaklah amanah ketika melakukan sesuatu pekerjaan agar tugas itu dapat dilaksanakan dengan baik. Sebagai contoh, Nurul Hafsa telah bekerja sebagai pegawai sains di Balai Cerap Sultan Salahuddin. Nurul Hafsa telah menjalankan amanah yang diberikan kepadanya dengan melayan kunjungan rombongan 15 orang pelajar dan 3 orang guru dari Jepun walaupun rombongan tersebut tidak dapat melihat bintang-bintang di langit. Nurul Hafsa berjanji untuk mengembalikan semula bintang-bintang di Kuala Selangor kepada Puan Mariam Wickham yang merupakan guru pengiring rombongan tersebut.

Akhir sekali pengajaran yang terdapat dalam novel ini ialah kita hendaklah setiakawan dalam persahabatan agar hubungan tersebut berkekalan. Sebagai contohnya, Nurul Hafsa bergegas ke tempat kejadian Muhammad Taufik dipukul oleh orang upahan Dato’ Johann Arlington-Majid untuk memastikan keadaan Muhammad Taufik. Nurul Hafsa juga berjanji kepada Muhammad Taufik untuk meneruskan usaha mereka melestarikan alam sekitar sekiranya berlaku perkara buruk kepada Muhammad Taufik. Sifat setiakawan yang ada dalam diri mereka menyebabkan hubungan mereka menjadi rapat dan saling membantu antara satu sama lain.




No comments:

Post a Comment

ASPEK KOMSAS DRAMA BERKHIDMAT UNTUK NEGARA

ASPEK KOMSAS DRAMA BERKHIDMAT UNTUK NEGARA ASPEK KOMSAS PERNYATAAN HURAIAN PEMIKIRAN Semangat cinta...