Sunday 29 March 2020

TEKNIK MENJAWAB SOALAN NOVEL SPM


Soalan : Berdasarkan dua buah novel yang anda kaji, huraikan persoalan ketabahan yang terdapat dalam kedua-dua buah novel tersebut.

Novel yang saya kaji ialah novel Pantai Kasih karya Azmah Nordin dan novel Bimasakti Menari karya Sri Rahayu Mohd Yusof. Persoalan ketabahan terdapat dalam kedua-dua buah novel yang saya kaji ini.

Dalam novel Pantai Kasih, persoalan ketabahan menghadapi konflik rumah tangga dengan suami terdapat dalam novel ini. Buktinya ialah Dr. Raiha sangat tabah menghadapi konflik rumah tangga dengan suaminya Dr Sadiz yang bersikap angkuh dan kejam apabila menyuruhnya menggugurkan kandungan yang didapati cacat kerana tidak mahu nama baiknya sebagai doktor pakar bedah otak tercalar. Dr. Raiha tabah menghadapi situasi tersebut dan enggan menurut kemahuan suaminya, sebalik nya ingin meneruskan kandungan itu sehingga anaknya dilahirkan.

Seterusnya persoalan ketabahan seorang ibu menghadapi kehidupan tanpa anak tersayang juga terdapat dalam novel ini. Buktinya ialah Dr Raiha sering terbayang akan anaknya Rohayu yang mati dalam tragedi kebakaran kereta Porshe Dr Sadiz di tepi rumah tumpangan. Bayangan anaknya itu menghantui Dr Raiha tetapi dia tetap tabah menjalani kehidupan seharian walaupun peristiwa tersebut begitu menyedihkannya.

Dalam novel Bimasakti Menari pula, persoalan ketabahan dalam usaha melestarikan alam sekitar terdapat dalam novel ini. Ketabahan ini dapat dilihat melalui Nurul Hafsa yang berjanji untuk meneruskan perjuangan melestarikan alam sekitar dengan berjanji kepada Muhammad Taufik yang terlantar di hospital akibat dipukul oleh orang upahan Dato’ Johann Arlington-Majid. Peristiwa yang menimpa Muhammad Taufik tidak menggugat usaha Nurul Hafsa sebaliknya dia tetap tabah untuk memastikan Projek Kawasan Simpan Langit Gelap di Kuala Selangor dapat dijayakan.

Selain itu, persoalan ketabahan menghadapi ancaman untuk menggagalkan sesuatu projek juga terdapat dalam novel ini. Buktinya ialah Nurul Hafsa begitu tabah apabila berhadapan dengan Dato’ Johann Arlington-Majid yang sentiasa berusaha untuk menggagalkan projek Kawasan Simpan Langit gelap di Kuala Selangor semasa membentangkan projek tersebut di hadapan Menteri Besar. Hujah-hujah yang diberikan oleh Nurul Hafsa selepas beberapa kali dibantah oleh Dato’ Johann telah menyebabkan Dato’ Johann terdiam.



No comments:

Post a Comment

ASPEK KOMSAS DRAMA BERKHIDMAT UNTUK NEGARA

ASPEK KOMSAS DRAMA BERKHIDMAT UNTUK NEGARA ASPEK KOMSAS PERNYATAAN HURAIAN PEMIKIRAN Semangat cinta...