Sunday, 29 March 2020

TEKNIK MENJAWAB SOALAN NOVEL SPM


Soalan : Berdasarkan novel yang telah anda pelajari, jelaskan tema novel tersebut.

Novel yang telah saya pelajari ialah novel Pantai Kasih karya Azmah Nordin. Tema novel ini ialah ketabahan seorang wanita menghadapi kehidupan yang sukar akibat peristiwa lampau yang menghantui hidupnya.

Tema ini dapat dilihat melalui peristiwa Dr Raiha yang sering terbayang-bayang akan anaknya Rohayu yang mati dalam tragedi kebakaran kereta Porshe Dr Sadiz di tepi rumah tumpangan. Bayangan anaknya itu menghantui Dr Raiha setiap hari tetapi dia tetap tabah menjalani kehidupan seharian walaupun peristiwa tersebut begitu menyedihkannya kerana Rohayu merupakan anak yang sangat disayangi walaupun dilahirkan dalam keadaan cacat.

Selain itu, Dr Raiha juga  tabah menghadapi konflik rumah tangga dengan suaminya Dr Sadiz yang bersikap angkuh dan kejam apabila menyuruhnya menggugurkan kandungan yang didapati cacat kerana tidak mahu nama baiknya sebagai doktor pakar bedah otak tercalar. Dr. Raiha tabah menghadapi situasi tersebut dan enggan menurut kemahuan suaminya, sebalik nya ingin meneruskan kandungan itu sehingga anaknya dilahirkan.

Seterusnya, Dr Raiha juga digambarkan seorang yang tabah semasa melakukan pembedahan tulang sendi pinggul kali keenam ke atas Unong Siron yang mengalami infeksi akibat pembedahan yang dilakukan oleh Dr Uwang sebanyak lima kali sebelum ini  tidak berjaya. Dr. Raiha sanggup menerima tugasan tersebut daripada Dr Uwang walaupun diterima pada saat akhir kerana memikirkan kesakitan yang ditanggung oleh Unong Siron. Walaupun berisiko tetapi Dr Raiha tabah menghadapi situasi tersebut dan pembedahan dapat dilakukannya dengan baik.


&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&


Novel yang telah saya pelajari ialah novel Bimasakti Menari oleh Sri Rahayu Mohd Yusof. Tema novel ini ialah  kegigihan golongan muda yang berusaha melestarikan alam sekitar.

Kegigihan golongan muda ini dapat dilihat melalui Nurul Hafsa yang gigih berusaha untuk mengembalikan semula bintang-bintang di Kuala Selangor agar dapat dilihat  dengan mata kasar. Nurul Hafsa bersama-sama dengan Muhammad Taufik merancang projek Kawasan Simpan Langit Gelap untuk mencapai hasrat mereka itu. Projek ini adalah bertujuan untuk memastikan skala langit di kelas 8 berada pada kelas 1 dengan mengurangkan cahaya yang menutup deria manusia untuk melihat bintang pada waktu malam di Kuala Selangor.

Selain itu, Muhammad Taufik juga gigih berusaha mengembalikan semula populasi kelip-kelip di Kampung Kuantan yang semakin hilang. Muhammad Taufik telah meminta ayahnya Tan Sri Muhaimin membeli 50 hektar tanah di sepanjang sungai Kampung Kuantan terus ke Kampung Api-Api. Tanah tersebut dibeli untuk dijadikan habitat kelip-kelip yang semakin berkurangan. Usaha Muhammad Taufik ini dapat membantu memulihkan kembali kelip-kelip di Kampung Kuantan.

Selain itu, Muhammad Taufik juga berusaha melestarikan alam sekitar dengan mengusahakan Projek Rumah Ikhtiar Teknoalam. Muhammad Taufik telah membina rumah yang berkonsepkan kediaman mesra alam untuk menyampaikan mesej dan menanam kesedaran kepada manusia supaya kembali bergantung kepada alam semula jadi. Muhammad Taufik masih menggunakan penulenan air untuk diminum dan memasak sebagai langkah berjaga-jaga dan rumah itu bersedia untuk tidak menggunakan bekalan air komuniti sepenuhnya.



No comments:

Post a Comment

ASPEK KOMSAS DRAMA BERKHIDMAT UNTUK NEGARA

ASPEK KOMSAS DRAMA BERKHIDMAT UNTUK NEGARA ASPEK KOMSAS PERNYATAAN HURAIAN PEMIKIRAN Semangat cinta...