MAKSUD SAJAK KUDUP
PERANG
Oleh Tuah Sujana
SAJAK
|
MAKSUD
|
Sementara dia bergelar panglima
laskar perang; yang terus-menerus
membajakan kezaliman – sering
mengudupkan putik dendam
kita masih perlu berterima kasih
kepada jari-jemari takdir
kerana membenarkan sepasang mata
untuk berlari dengan tangan bergari
sempat juga menadah sejambak puisi
untuk sehari lagi; sambil bertanya:
siapakah pahlawan yang asli?
|
Peperangan akan mengakibatkan
kezaliman dan penindasan serta
membangkitkan perasaan dendam
antara satu sama lain. Namun begitu kita perlu bersyukur kerana walau
dihimpit kesengsaraan oleh perang masih ada insan yang berani untuk
bangkit berjuang walaupun dalam
keadaan dikongkong dan disekat kebebasannya. Dia juga masih dapat memberikan harapan masa depan yang lebih
baik. Timbul persoalan tentang siapakah pemimpin yang sejati.
|
Memang kita tidak sempat menjenguk
ke luar jendela; sewaktu fajar menghembus
rinkik kuda, gemerincing
pedang pusaka
dan darah yang tiba-tiba membuak
di daerah angkara – perciknya
menumbuhkan kelopak rahsia
dalam keliru, tertanya-tanya kita
tangan mana yang memenggal
leher sang pendusta?
|
Kita tidak sempat menganalisis dan
berfikir untuk masa depan ketika konflik dan pertarungan untuk memegang
tampuk kekuasaan. Pertentangan menjadi permusuhan yang menimbulkan pelbagai
tafsiran yang mengelirukan. Timbul persoalan siapakah yang akan memusnahkan
pendusta?
|
Andai namamu Tuah, kita masih
tidak mahu
menyanjungnya pendekar paling gagah
kerana takhta setia terbina
di istana wangsa
bukanlah penjamin kukuhnya
pasak saksama
sesekali turut direntakan daki pendusta
melekatlah selumbar sengsara
di tiang maruah kota.
|
Sekiranya pejuang tersebut seperti Tuah, kita masih tidak dapat
menyanjunginya sebagai seorang panglima yang paling gagah kerana keampuhan
kesetiaannya terhadap kerajaan bukan menjadi ukuran teguhnya neraca keadilan.
Kadang-kadang kesetiaan itu dimusnahkan oleh pengadu domba. Kesannya
memberikan kesengsaraan dan penderitaan serta menjatuhkan maruah negeri.
|
Andai namamu Jebat, kita masih tidak
menggelarnya sebagai pengkhianat
kerana kita masih menangisi
peta keadilan yang tersiat – nun, karam
di lautan kesumat
sedang warga memanggilnya keramat.
|
Sekiranya pejuang tersebut seperti
Jebat, kita tidak boleh melabelkannya sebagai pengkhianat kerana kita masih mengingati keadilan yang
musnah kerana fitnah yang bermaharalela. Ada orang mengaguminya sebagai tokoh pejuang.
|
Perang pun melecurkan lidah muslihat
bercabang lalu bertemu bayu palsu;
bertiup dan memindahkan kebenaran pada tempatnya
mewarnakan keindahan pada hodohnya
menjungkitkan amarah pada damainya
teramat lara kita menjahit semula
perca-perca bahagia – seperti perawan
yang dibungkamkan cinta pertama.
|
Perebutan kuasa telah melenyapkan
pelbagai tipu daya yang sering dikaitkan dengan kepalsuan. Akhirnya, telah
mengembalikan kebenaran kepada haknya, memberikan kesejahteraan dan melenyapkan perasaan dendam.
|
Sehingga senja tiba,
kita masih bertengkar
tentang siapa
pahlawan sebenarnya.
|
Sampai penghujung usia
Kita masih bertelagah
Untuk menentukan orang
Yang layak untuk diangkat
sebagai pahlawan
|
Istimewa, 2012
Utusan Publications & Distributors sdn. Bhd.
Thanks 👍😊
ReplyDelete