Tuesday 31 March 2020

TEKNIK MENJAWAB SOALAN NOVEL SPM


Soalan : Huraikan pertentangan pendapat antara watak utama dengan satu watak lain dalam dua buah novel yang anda pelajari.

Novel yang saya pelajari ialah novel Pantai Kasih karya Azmah Nordin dan novel Bimasakti Menari karya Sri Rahayu Mohd Yusof. Watak utama dalam novel Pantai Kasih ialah Dr Raiha dan watak utama dalam novel Bimasakti Menari ialah Nurull Hafsa. Kedua-dua watak utama ini menghadapi konflik dengan satu watak lain dalam kedua-dua buah novel tersebut.

Dalam novel Pantai Kasih, pertentangan pendapat antara watak utama dengan satu watak lain ialah pertentangan pendapat dalam hal merawat pesakit. Pertentangan pendapat ini dapat dilihat melalui Dr Raiha yang mempersoalkan tugas yang telah dilakukan oleh Dr Uwang semasa pembedahan tulang sendi pinggul ke atas Unong Siron yang tidak sembuh walaupun setelah lima kali dibedah. Dr Uwang tidak puas hati terhadap Dr Raiha yang seolah-olah mempertikaikan kewibawaannya kerana pembedahan yang dilakukan ke atas Unong Siron itu telah dibuat sebaik mungkin. Peristiwa ini menunjukkan pertentangan pendapat antara watau utama dengan satu watak lain dalam hal merawat pesakit.

Seterusnya, pertentangan pendapat antara watak utama dengan satu watak lain ialah pertentangan pendapat dalam menentukan kerjaya masa depan. Pertentangan pendapat ini dapat dilihat melalui ayah Dr Raiha yang tidak bersetuju Dr Raiha memutuskan untuk belajar dalam bidang perubatan kerana ayah Dr Raiha melihat kerjaya sebagai doktor akan mengurangkan masa Dr Raiha terhadap keluarga apabila berkahwin nanti. Dr Raiha enggan menurut kemahuan ayahnya, sebaliknya belajar bersungguh-sungguh dalam bidang perubatan dan akhirnya Dr Raiha menjadi seorang doktor pakar bedah di Pusat Rawatan Pantai Kasih. Peristiwa ini menunjukkan pertentangan pendapat antara watak utama dengan satu watak lain dalam dalm menentukan kerjaya pada masa depan.

Dalam novel Bimasakti Menari pula, pertentangan pendapat antara watak utama dengan satu watak lain ialah pertentangan pendapat dalam hal menegakkan kebenaran. Pertentangan pendapat ini dapat dilihat semasa pembentangan projek Kawasan Simpan Langit Gelap oleh Nurul Hafsa di hadapan Menteri Besar. Nurul Hafsa mencadangkan supaya lampu full cut off perlu digunakan untuk mengurangkan kecerahan langit di Kuala Selangor. Dato’ Johann Arlington-Majid tidak bersetuju dengan cadangan Nurul Hafsa untuk menggunakan lampu tersebut kerana tindakan itu akan menjejaskan perniagaannya sebagai pembekal lampu sedia ada di Kuala Selangor. Mereka telah berdebat untuk menegakkan kebenaran masing-masing dan akhirnya, idea Nurul Hafsa disokong oleh Menteri Besar. Peristiwa ini menunjukkan pertentangan pendapat antara watak utama dengan satu watak lain dalam hal menegakkan kebenaran untuk melestarikan alam sekitar.

Seterusnya, pertentangan pendapat antara watak utama dengan satu watak lain ialah pertentangan pendapat mengenai usaha mengembalikan kecerahan langit untuk melestarikan alam sekitar. Pertentangan pendapat ini dapat dilihat apabila Nurul Hafsa berjanji kepada rombongan kanak-kanak dari Jepun yang diketuai oleh Puan Waryam Wickham apabila rombongan tersebut kecewa kerana tidak dapat melihat bintang-bintang di langit setelah berkunjung ke Balai Cerap Sultan Salahuddin. Puan Maryam Wickham menyatakan bahawa usaha yang akan dilakukan oleh Nurul Hafsa itu adalah cabaran yang amat besar kepada seorang manusia seperti Nurul Hafsa untuk menggerakkan bintang-bintang dilangit. Nurul Hafsa berazam untuk mengembalikan semula kecerahan langit di Kuala Selangor. Peristiwa ini menunjukkan pertentangan pendapat antara watak utama dengan satu watak lain dalam isu untuk mengembalikan semula kecerahan langit demi memastikan alam sekitar dapat dilestarikan.



No comments:

Post a Comment

ASPEK KOMSAS DRAMA BERKHIDMAT UNTUK NEGARA

ASPEK KOMSAS DRAMA BERKHIDMAT UNTUK NEGARA ASPEK KOMSAS PERNYATAAN HURAIAN PEMIKIRAN Semangat cinta...