Tuesday, 31 March 2020

TEKNIK MENJAWAB SOALAN NOVEL SPM


Soalan : Berdasarkan dua buah novel yang anda pelajari, huraikan dua peristiwa pertentangan antara watak dalam novel tersebut.

Novel yang saya kaji ialah novel Pantai Kasih karya Azmah Nordin dan novel Bimasakti Menari karya Sri Rahayu Mohd Yusof. Kedua-dua buah novel ini mempunyai peristiwa yang menunjukkan pertentangan antara watak.

Dalam novel Pantai Kasih pertentangan antara watak mengenai cara merawat pesakit terdapat dalam novel ini.  Pertentangan antara watak ini dapat dilihat melalui Dr Raiha yang mempersoalkan tugas yang telah dilakukan oleh Dr Uwang semasa pembedahan tulang sendi pinggul ke atas Unong Siron yang tidak sembuh walaupun setelah lima kali dibedah. Dr Uwang tidak puas hati terhadap Dr Raiha yang seolah-olah mempertikaikan kewibawaannya kerana pembedahan yang dilakukan ke atas Unong Siron itu telah dibuat sebaik mungkin. Peristiwa ini menunjukkan pertentangan antara watak  dalam hal merawat pesakit.

Seterusnya, pertentangan antara watak yang lain ialah pertentangan dalam menentukan kerjaya masa depan. Pertentangan antara watak ini dapat dilihat melalui ayah Dr Raiha yang tidak bersetuju Dr Raiha memutuskan untuk belajar dalam bidang perubatan kerana ayah Dr Raiha melihat kerjaya sebagai doktor akan mengurangkan masa Dr Raiha terhadap keluarga apabila berkahwin nanti. Dr Raiha enggan menurut kemahuan ayahnya, sebaliknya belajar bersungguh-sungguh dalam bidang perubatan dan akhirnya Dr Raiha menjadi seorang doktor pakar bedah di Pusat Rawatan Pantai Kasih. Peristiwa ini menunjukkan pertentangan antara watak dalam hal menentukan kerjaya pada masa depan.

Dalam novel Bimasakti Menari pula, pertentangan  antara watak ialah pertentangan dalam hal menegakkan kebenaran. Pertentangan antara ini dapat dilihat semasa pembentangan projek Kawasan Simpan Langit Gelap oleh Nurul Hafsa di hadapan Menteri Besar. Nurul Hafsa mencadangkan supaya lampu full cut off perlu digunakan untuk mengurangkan kecerahan langit di Kuala Selangor. Dato’ Johann Arlington-Majid tidak bersetuju dengan cadangan Nurul Hafsa untuk menggunakan lampu tersebut kerana tindakan itu akan menjejaskan perniagaannya sebagai pembekal lampu sedia ada di Kuala Selangor. Mereka telah berdebat untuk menegakkan kebenaran masing-masing dan akhirnya, idea Nurul Hafsa disokong oleh Menteri Besar. Peristiwa ini menunjukkan pertentangan antara watak dalam hal menegakkan kebenaran untuk melestarikan alam sekitar.

Seterusnya, pertentangan antara watak yang lain ialah pertentangan mengenai usaha mengembalikan kecerahan langit untuk melestarikan alam sekitar. Pertentangan antara watak ini dapat dilihat apabila Nurul Hafsa berjanji kepada rombongan kanak-kanak dari Jepun yang diketuai oleh Puan Waryam Wickham apabila rombongan tersebut kecewa kerana tidak dapat melihat bintang-bintang di langit setelah berkunjung ke Balai Cerap Sultan Salahuddin. Puan Maryam Wickham menyatakan bahawa usaha yang akan dilakukan oleh Nurul Hafsa itu adalah cabaran yang amat besar kepada seorang manusia seperti Nurul Hafsa untuk menggerakkan bintang-bintang dilangit. Nurul Hafsa berazam untuk mengembalikan semula kecerahan langit di Kuala Selangor. Peristiwa ini menunjukkan pertentangan antara watak dalam isu untuk mengembalikan semula kecerahan langit demi memastikan alam sekitar dapat dilestarikan.



No comments:

Post a Comment

ASPEK KOMSAS DRAMA BERKHIDMAT UNTUK NEGARA

ASPEK KOMSAS DRAMA BERKHIDMAT UNTUK NEGARA ASPEK KOMSAS PERNYATAAN HURAIAN PEMIKIRAN Semangat cinta...