KARANGAN BAHAGIAN A SPM
Lihat rajah di bawah dengan
teliti. Huraikan pendapat anda tentang ciri-ciri sebuah pusat sumber sekolah
yang baik. Panjangnya huraian hendaklah antara 200 hingga 250 patah perkataan.
Analisis soalan
Tema – pusat sumber sekolah
Tugasan – ciri-ciri sebuah
pusat sumber sekolah yang baik
Idea
-
terletak di lokasi yang strategik
-
mempunyai pelbagai kemudahan
-
menghebahkan kemudahan dan perkhidmatan yang
disediakan
Contoh Karangan
Pusat
sumber sekolah merupakan tempat yang menyediakan pelbagai maklumat, kemudahan
dan perkhidmatan yang diperlukan oleh setiap warga sekolah. Kemudahan-kemudahan
seperti bahan bacaan, bahan bantu belajar, bilik pembelajaran abad ke-21,
makmal komputer, bilik akses kendiri dan sebagainya terdapat di pusat sumber
sekolah. Kemudahan dan perkhidmatan yang disediakan ini sudah tentu mampu
menarik minat warga sekolah kerana adanya ciri-ciri yang menarik minat mereka berkunjung
ke pusat sumber sekolah. Belakangan ini, sebahagian besar murid tidak gemar
menjadikan pusat sumber sekolah sebagai destinasi yang mesti dikunjungi. Mereka
tidak berminat pergi ke pusat sumber lantaran tiada cir-ciri yang mampu menarik
mereka ke situ. Oleh itu, saya akan menghuraikan pendapat tentang ciri-ciri
sebuah pusat sumber sekolah yang baik supaya setiap warga sekolah berminat
untuk berkunjung ke pusat sumber sekolah.
Pusat
sumber sekolah yang terletak di lokasi yang strategik merupakan ciri pusat
sumber yang baik. Pusat sumber yang terletak di lokasi yang mudah untuk diakses
oleh murid dan guru seperti di tingkat bawah blok akademik ataupun di lokasi
bangunan yang dikelilingi oleh blok akademik wajar menjadi pusat sumber yang
baik. Hal ini dikatakan demikian kerana lokasi seperti ini dapat diakses dengan
mudah oleh warga sekolah kerana mereka tidak perlu bersusah payah menaiki
tangga ke tingkat yang paling tinggi. Selain itu, suasana yang kondusif seperti
bilik yang luas, berhawa dingin, mempunyai susun atur kerusi, meja dan rak buku
yang memudahkan pergerakan juga mampu menjadi pusat sumber yang baik. Hal ini
dikatakan demikian kerana suasana yang kondusif dan tenang mampu menarik minat
murid dan guru berkunjung ke pusat sumber sama ada untuk aktiviti pembelajaran
dan pemudahcaraan ataupun aktiviti bacaan luas. Oleh itu, sudah terang lagi
bersuluh bahawa lokasi yang strategik dan suasana yang kondusif mampu
menjadikan sesebuah pusat sumber sekolah sebagai pusat sumber yang baik.
Selain itu,
pusat sumber sekolah yang mempunyai pelbagai kemudahan yang disediakan untuk
kegunaan warga sekolah juga turut menjadi ciri pusat sumber yang baik.
Kemudahan-kemudahan seperti bahan bacaan daripada pelbagai genre dan cabang
ilmu, komputer yang dilengkapi dengan capaian Internet, bilik yang mempunyai
koleksi bahan bantu belajar dan sebagainya sangat diperlukan oleh murid dan
guru. Kemudahan-kemudahan ini akan membantu murid dan guru meningkatkan kemahiran
menguasai maklumat pendidikan sekali gus mampu memperkukuh aktiviti pengajaran
dan pemudahcaraan di dalam bilik darjah. Selain itu, pelbagai aktiviti yang
dianjurkan oleh pusat sumber sekolah juga menarik minat warga sekolah
berkunjung ke pusat sumber sekolah. Pusat sumber yang baik seharusnya merangka
pelbagai program dan aktiviti pendidikan untuk memberi peluang kepada murid
menunjukkan bakat dan kebolehan yang dimiliki oleh mereka. Peribahasa kalau
tidak dipecahkan ruyung manakan dapat sagunya dapat menggambarkan situasi ini
kerana usaha yang dilakukan secara bersungguh-sungguh dapat menarik warga
sekolah berkunjung ke pusat sumber sekolah. Oleh itu, kemudahan dan aktiviti
yang disediakan di pusat sumber sekolah mampu menjadi ciri sesebuah pusat
sumber sekolah yang baik.
Seterusnya,
pusat sumber yang sering menghebahkan setiap kemudahan dan perkhidmatan yang
disediakan juga merupakan ciri sebuah pusat sumber yang baik. Hebahan-hebahan kepada
seluruh warga sekolah melalui pelbagai medium seperti pamflet, poster,
sepanduk, laman web dan majalah sekolah sangat berkesan untuk menarik minat
mereka mengunjungi pusat sumber sekolah. Hebahan yang dilakukan secara sistematis
dan berkala, bukannya hangat-hangat tahi ayam dapat menarik minat warga sekolah
untuk menjadikan pusat sumber sekolah sebagai lokasi mereka menimba ilmu
pengetahuan. Sebagai contoh, pusat sumber sekolah yang menyediakan perkhidmatan
e-buku yang dihubungkan dengan Perpustakaan Negara mampu memberi peluang kepada murid dan guru mengakses lebih
300000 judul buku secara atas talian dengan mudah dan cepat. Mereka tidak perlu
meminjam buku-buku kerana maklumat yang diperlukan boleh dicetak dan
difotokopi. Hal ini dapat membantu murid dan guru kerana mereka tidak perlu
bersusah payah meminjam buku di perpustakaan untuk mendapatkan maklumat.
Natijahnya, hebahan yang dilakukan oleh pusat sumber sekolah mampu memupuk
warga sekolah supaya menjadikan amalan membaca sebagai budaya hidup seharian.
Jadi, pusat sumber yang sentiasa menghebahkan setiap kemudahan dan perkhidmatan
yang terdapat di situ merupakan ciri sesebuah pusat sumber yang baik.
Kesimpulannya,
saya melihat pusat sumber sekolah sebagai medan yang menjadi nadi untuk
menyebar luas segala maklumat yang berkaitan dengan pelbagai ilmu pengetahuan.
Harapan saya agar murid dan guru sentiasa menjadikan pusat sumber sekolah
sebagai mekanisme untuk meningkatkan pengetahuan mereka. Hal ini kerana usaha
tersebut mampu merealisasikan wawasan negara untuk melahirkan masyarakat yang
suka membaca dan berpengetahuan luas. Apabila perkara ini berlaku, aspirasi mantan
Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Bin Tun Abdul Razak untuk menjadikan
generasi muda kini sebagai penggerak kepada kejayaan Transformasi Nasional 2050
(TN50) mampu digapai apabila mereka berilmu pengetahuan.
No comments:
Post a Comment