Lihat gambar di
bawah dengan teliti. Huraikan pendapat anda tentang kebaikan-kebaikan membawa
bekal ke sekolah. Panjang huraian anda hendaklah antara 200 hingga 250 patah
perkataan.
Pada era globalisasi ini, trend
murid-murid membawa bekal ke sekolah semakin kurang diamalkan. Hal ini kerana mereka menganggap bahawa
membawa bekal ke sekolah adalah perkara yang tidak penting dan susah untuk
menyediakannya. Tambahan pula, ada segelintir murid yang berpendapat bahawa membawa
bekal ke sekolah adalah perkara yang memalukan kerana mereka akan dianggap sebagai
murid prasekolah. Pada masa yang sama, ibu bapa tidak mempunyai waktu untuk
menyediakan bekal kepada anak-anak kerana sibuk akan pekerjaan masing-masing.
Menteri Pendidikan YB Dr. Maslee Malik melahirkan kebimbangan beliau kerana ibu
bapa tidak mengambil berat dalam hal memastikan anak-anak mereka mengambil
sarapan di sekolah kerana perkara ini akan mengganggu anak-anak memulakan sesi
pembelajaran di dalam kelas. Persoalannya,
apakah kebaikan membawa bekal ke sekolah? Saya akan menghuraikan pendapat
mengenai kebaikan-kebaikan membawa bekal ke sekolah dalam perenggan-perenggan
seterusnya.
Kebaikan primer membawa bekal ke
sekolah adalah dapat menjaga kesihatan murid-murid. Hal ini dapat dilihat
apabila murid-murid berupaya menjalani kehidupan yang sihat jika mereka
menikmati makanan yang disediakan oleh keluarga. Hal ini berlaku kerana bekal
yang dibawa ke sekolah telah disediakan oleh ibu sendiri. Setiap ibu ingin
melihat anak-anak mereka membesar dengan sihat tanpa sebarang masalah
kesihatan. Jadi ibu akan memastikan bekal yang dibawa oleh anak-anak ke sekolah
mengandungi semua nutrien yang diperlukan oleh badan supaya anak-anak dapat membesar
dengan seimbang. Oleh itu, ibu akan menyediakan makanan yang digariskan mengikut
piramid makanan. Ibu juga akan
memastikan penyediaan makanan ini dalam kondisi yang bersih dan bahan-bahan
yang segar sahaja dimasak. Jadi anak-anak mereka akan menikmati makanan yang
bersih, berkhasiat dan berkualiti sekali gus keracunan makanan dapat dielakkan.
Sebagai contoh, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Zukifli Ahmad
berkata,kebanyakan insiden keracunan makanan berlaku kerana pengusaha kantin tidak mematuhi pelbagai
syarat yang ditetapkan dan kurang memberi tumpuan kepada aspek kebersihan dan
kesihatan dalam penyediaan makanan. Beliau bekata lagi bahawa sebanyak 5,265
kes keracunan makanan daripada 12,122 kes keracunan makanan yang berlaku di
seluruh negara tahun lalu adalah berlaku
di sekolah. Oleh itu, membawa bekal ke sekolah mampu mengelakkan murid-murid
mengalami keracunan makanan kerana membawa bekal ke sekolah menjadi preventif kepada
perkara yang lebih teruk lagi ibarat kata peribahasa mencegah lebih baik
daripada merawat. Di samping itu, makanan yang disediakan oleh ibu juga
menepati keperluan diet seharian. Kajian mendapati nutrisi baik dan pengambilan
gizi yang seimbang bukan saja mampu membantu perkembangan fizikal, malah dapat
meningkatkan kalsium dan vitamin khususnya dalam menjadikan anak-anak lebih
kuat dan merangsang keupayaan minda yang lebih cerdas. Oleh itu,membawa bekal
ke sekolah mempunyai banyak faedah yang boleh diperoleh murid terutamanya dalam
menjaga kesihatan diri.
Lain daripada itu, membawa bekal ke sekolah juga mampu
menjimatkan kos murid dan keluarga. Setiap keluarga merancang perbelanjaan
harian supaya kehidupan mereka dapat diatur dengan tersusun tanpa sebarang
masalah. Perbelanjaan harian untuk persekolahan anak-anak merupakan salah satu
aspek yang diambil kira dalam perbelanjaan keluarga. Dengan kos hidup yang agak
tinggi padas masa ini, ibu bapa perlu merancang perbelanjaan harian dengan
lebih teliti lagi. Salah satu cara adalah dengan menyediakan bekal kepada
anak-anak untuk di bawa ke sekolah. Usaha ini dapat mengurangkan perbelanjaan
ibu bapa kerana mereka tidak perlu menyediakan wang yang banyak kepada
anak-anak untuk berbelanja di sekolah. Secara tidak langsung ibu bapa dapat
mengurangkan kos perbelanjaan apabila anak-anak membawa bekal ke sekolah.
Murid-murid pula tidak perlu lagi berbelanja di kantin atau koperasi sekolah
kerana mereka sudah ada bekal yang disediakan oleh ibu mereka. Dengan ini,
murid-murid boleh menyimpan duit saku tersebut di dalam tabung sebagai
persediaan masa depan. Secara tidak langsung amalan menabung dalam kalangan
anak-anak dapat direalisasikan. Walaupun wang saku yang ditabung adalah sedikit
tetapi jika dilakukan setiap hari tabungan anak-anak akan menjadi banyak ibarat
kata peribahasa sedikit-sedikit lama-lama menjadi bukit. Aspek menabung ini
perlu dilihat dengan serius kerana pada zaman milineum ini, kos hidup dijangka
semakin meningkat dan memerlukan kebestarian akal dalam menghadapinya.Wang
tabungan amat penting dan perlu direncanakan secara sistematik agar mereka
boleh menggunakan wang tersebut untuk melanjutkan pengajian dan sebagainya. Oleh
itu, dengan membawa bekal anak-anak juga dapat melatih diri supaya lebih matang
dan proaktif dalam mengharungi tingkap globalisasi yang kian mencabar kini dan sentiasa ingat akan
peribahasa ingat sebelum kena jimat sebelum habis. Sikap ini haruslah dibentuk
dari usia setahun jagung lagi kerana melentur buluh biarlah dari rebungnya. Maka
jelaslah bahawa membawa bekal ke sekolah dapat menjimatkan kos perbelanjaan
keluarga.
Di samping itu, kebaikan membawa
bekal ke sekolah yang lain adalah dapat menjimatkan masa anak-anak di sekolah.
Masa sangat penting kepada anak-anak kerana masa itu emas. Masa rehat anak-anak
di sekolah adalah terhad kerana sebahagian besar mereka berada di dalam kelas
untuk proses pembelajaran. Sebagai contoh, masa rehat yang diperuntukkan kepada
anak-anak di sekolah adalah sangat singkat iaitu antara 20 hingga 30 minit
sahaja. Murid-murid perlu mematuhi masa rehat tersebut jika tidak mahu
ketinggalan di dalam kelas. Bagi murid yang faham dan dapat menguruskan masa
dengan baik, mereka dapat mengatasi masalah tersebut namun apa pula yang
terjadi kepada pelajar yang kurang memahaminya dan tidak menghayati akan masa
yang sudah diberi? Bulan semakin terang, bayang kian jelas bahawa membawa bekal ke sekolah dapat menjimatkan
masa murid-murid. Hal ini dikatakan demikian kerana apabila murid-murid membawa bekal ke
sekolah, mereka tidak perlu lagi berbaris panjang untuk membeli makanan di
kantin atau koperasi sekolah. Murid biasanya mengambil masa 5 hingga 10 minit dengan
beratur untuk mendapatkan makanan sedangkan masa rehat adalah singkat. Mereka
akan makan dengan cepat kerana masa rehat yang berbaki adalah singkat. Jadi
jika mereka membawa bekal ke sekolah, mereka boleh terus makan di kantin tanpa
beratur untuk mendapatkan makanan. Murid
hanya menghabiskan masa rehat sekitar 10 minit sahaja jika mereka membawa bekal
ke sekolah. Masa yang ada selebihnya boleh digunakan oleh murid untuk pergi ke
pusat sumber, menyiapkan tugasan yang diberikan oleh guru, bertanya guru
mengenai topik yang tidak difahami, solat sunat dhuha dan sebagainya. Amalan ini wajar dipraktikkan oleh murid
kerana pengurusan masa adalah sangat penting. Murid perlu menggunakan masa yang
ada untuk meningkatkan kecemerlangan diri kerana masa ibarat mata pedang, jika
kita tidak memotongnya, nescaya masa akan memotong kita. Oleh itu,membawa bekal
dapat menjimatkan masa murid-murid di sekolah.
Kesimpulannyanya, sudah terang
lagi bersuluh bahawa terdapat pelbagai faedah yang dapat diimplementasikan
untuk memupuk amalan membawa bekal ke sekolah dalam sanubari murid-murid. Oleh
itu, pihak lain seperti pihak kerajaan dan ibu bapa haruslah memainkan peranan
yang jitu supaya peribahasa seperti ketam yang mengajar anaknya berjalan betul
tidak diamalkan dan melakukannya dengan istiqamah bukanlah sekadar
hangat-hangat tahi ayam mahupun melepaskan batuk di tangga. Murid haruslah
merebut peluang tersebut dan berganding bahu kerana bertepuk sebelah tangan
takkan berbunyi bagi menghayati tujuan membawa bekal ke sekolah dalam kehidupan
kita. Harapan saya agar ibu bapa khususnya menyahut saranan ini agar anak-anak
mereka terhindar daripada sebarang penyakit dan mampu menjalani kehidupan yang
sempurna.
No comments:
Post a Comment