9 cedera nahas kereta api, lori tangki
Oleh HISYAMMUDDIN AYUB
pengarang@utusan.com.my
|  | 
| 
 SEORANG penunggang motosikal  merakamkan gambar kereta api yang terbakar setelah sebuah lori tangki  minyak di jalan Kota Kinabalu-Putatan dekat Lapangan Terbang  Antarabangsa Kota Kinabalu, semalam. 
 | 
KOTA KINABALU 31 Okt. – Hampir 200 penumpang kereta api yang dalam  perjalanan dari sini ke Papar terselamat apabila kenderaan itu merempuh  sebuah lori tangki minyak mengakibatkan berlaku kebakaran dan letupan  berhampiran Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA), di sini  petang ini.
Kejadian pukul 5.30 petang itu menyebabkan kesesakan trafik yang  teruk apabila jalan hadapan KKIA menghala Putatan terpaksa ditutup pada  pukul 6 petang kerana api yang marak.
Difahamkan lori tangki membawa muatan 27,000 liter petrol itu  terbakar serta-merta selepas dirempuh, seterusnya berlaku letupan kuat  dan asap hitam tebal menjulang setinggi 30 meter.
Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hamza Taib berkata, bagaimanapun,  tiada kemalangan jiwa dilaporkan daripada kejadian malang tersebut dan  hanya sembilan orang penumpang dilaporkan cedera.
Beliau berkata, pemandu lori tangki minyak dan pemandu keretapi juga  tidak mengalami sebarang kecederaan serius kerana sempat menyelamatkan  diri.
(Sumber : utusan online - 1/11/2011)