Thursday, 16 February 2012

BAHASA MELAYU PERLU DIMARTABATKAN...

pix_gal0

Penulis ingin mengucapkan tahniah kepada tokoh bahasa dan sastera tanah air iaitu Dr. Awang Sariyan kerana dilantik sebagai Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) yang baharu. Penulis melihat pelantikan beliau menjadi titik permulaan kepada usaha memartabatkan semula bahasa Melayu yang seolah-olah terpinggir di bumi sendiri. Pelantikan Dr. Awang Sariyan kena pada tempatnya kerana sebelum ini kita melihat DBP seperti sukar untuk bernafas dan dilihat tidak bernafsu dalam memperjuangkan bahasa Melayu. Usaha mendaulatkan semula bahasa Melayu perlu dilakukan dengan lebih serius tanpa campur tangan politik. Penulis melihat peranan DBP sebelum ini tidak serius dan takut untuk membetulkan keadaan. Buktinya, dalam isu novel Interlok karya SN Datuk Abdullah Hussain, penulis melihat novel tersebut telah dicantas-cantas tetapi kepimpinan DBP tidak bersuara kerana tunduk pada tuntutan politik. Jadi, dengan pelantikan Dr. Awang Sariyan sebagai Ketua Pengarah DBP yang baharu, penulis dapat merasakan usaha memartabatkan bahasa Melayu dapat diangkat pada tempat yang sepatutnya. Isu bahasa rojak, penggunaan istilah yang tiada dalam Kamus Dewan, kesalahan bahasa pada papan iklan, percakapan ahli politik yang tidak menggunakan bahasa Melayu, dan sebagainya diharap dapat diselesaikan. Usaha tersebut perlu diselarikan dengan peranan pemimpin negara kerana kita tidak mahu bahasa Melayu terpinggir di bumi sendiri sedangkan ia rancak diajar di universiti-universiti di China dan Rusia. Penulis berharap Dr. Awang Sariyan dapat menjalankan tugas beliau tanpa tunduk pada sesiapa. DIRGAHAYU BAHASAKU & BAHASA JIWA BANGSA.

No comments:

Post a Comment

ASPEK KOMSAS DRAMA BERKHIDMAT UNTUK NEGARA

ASPEK KOMSAS DRAMA BERKHIDMAT UNTUK NEGARA ASPEK KOMSAS PERNYATAAN HURAIAN PEMIKIRAN Semangat cinta...