TATACARA MENGHADAPI TEMUDUGA
Persaingan untuk mendapatkan tempat di pusat-pusat pengajian tinggi semakin hebat. Ini adalah kerana pelajar-pelajar berkelulusan SPM dan STPM semakin ramai setiap tahun.
Selain dari kelululusan akademik, untuk menjadi calon yang dipilih, pelajar juga akan dinilai dari beberapa sudut lain seperti kegiatan ko-kurikulum, penglibatan dalam pelbagai aktiviti maktab, persediaan menghadapi temuduga, disiplin dan kegiatan-kegiatan serta perkara-perkara lain yang dapat memberi kesan dan pengaruh terhadap pemilihan mereka.
Temuduga merupakan satu peluang yang sepatutnya dirancang dan diambil berat oleh setiap pelajar. Tujuan utama temuduga adalah untuk menentukan dan memilih calon yang paling sesuai. Temuduga ialah komunikasi dua hala. Ia bukan hanya satu tugas bagi pada penemuduga untuk menetukan kesesuaian calon, tetapi juga para calon harus berusaha agar mereka didapati sesuai dan seterusnya dipilih.
Temuduga boleh dikendalikan oleh seorang penemuduga ataupun oleh beberapa orang, yang dipanggil ‘panel’ temuduga. Biasanya terdapat 3 atau 5 orang dalam sesuatu panel temuduga., bergantung pada kehendak pihak yang menganjurkannya. Bagaimana ia dikendalikan, itu tidak penting. Apa yang harus diberi peringatan ialah cara anda berkelakuan, kerana itu yang akan menentukan peluang untuk anda berjaya di dalam temuduga tersebut. Anda perlu meyakinkan si penemuduga bahawa anda layak dipilih dan mempunyai segala ciri-ciri yang dikehendaki.
Berasaskan kepada laporan ahli-ahli panel temuduga yang telah menemuduga pelajar-pelajar MRSM, perkara-perkara berikut telah didapati:
- Pelajar-pelajar lemah dalam membuat ‘arguement’.
- Bersikap pasif semasa temuduga.
- Tidak boleh bertutur dalam Bahsa Inggeris dengan baik.
- Tidak boleh bertutur dalam Bahasa Melayu dengan baik.
- Tidak tahu menahu mengenai kursus yang hendak diambil.
- Belum/tidak tahu membuat pilihan kerjaya yang akan diambil.
- Tidak tahu menahu mengenai kursus-kursus yang ditawarkan oleh universiti-universiti tempatan dan luar negeri.
- Kurang pengetahuan am.
- Berpakaian tidak kemas.
Adalah menjadi tanggungjawab anda agar kelemahan-kelemahan seperti di atas dapat diatasi. Selain dari berusaha bersendirian untuk mendapat keterangan/memperbaiki perkara-perkara berkenaan, anda juga boleh berhubung dengan Kaunselor, guru-guru dan mungkin ibu bapa dan kawan-kawan bagi mendapat pertolongan yang sewajarnya.
TINGKAHLAKU SEMASA TEMUDUGA:
- Semasa hendak masuk ke bilik temuduga janganlah gentar. Buat seperti biasa saja. Biasakan memberi ucapan ‘selamat pagi/selamat petang’ mengikut pada keadaan waktu, atau ‘assalamualaikum’ sekiranya panel temuduga itu beragama Islam.
- Jangan hulurkan tangan anda untuk berjabat tangan selagi penemuduga itu tidak membuat gerakan dahulu, jika kiranya ia hendak berbuat demikian.
- Jangan terus duduk melainkan telah dijemput berbuat demikian. Apabila disuruh duduk, ucapkan terima kasih dan duduklah dengan sempurna serta tegakkan badan. Jangan menggelisah.
- Jangan cuba hendak mengalih keadaan kerusi yang disediakan.
- Serahkan dokumen-dokumen berkaitan apabila diminta. Jangan anda meletakkan barang-barang lain, tangan ataupun siku anda di atas meja penemuduga.
- Jangan duduk bersilang kaki. Jangan goyang-goyangkan kaki ataupun menggerakkannya ke sana sini.
- Jangan cuba hendak menjenguk atau membaca surat-surat dan lain-lain kertas yang terdapat di atas meja penemuduga.
- Biarkan penemuduga memulakan perbualan.
- Apabila bercakap pandanglah ke muka penemuduga itu.
- Jangan menjawab soalan-soalan dengan tergopoh-gapah. Jawablah setiap soalan yang ditanya dengan terang dan jelas serta mudah didengar. Jawapan yang diberi itu hendaklah tepat dan jangan bercakap panjang lebar perkara yang tidak berkaitan. Jangan sekali-kali menggunakan bahasa kasar. Bercakaplah dengan penuh rasa yakin dan tenang.
- Gunakan ganti nama seperti tuan/puan pada orang yang menemuduga dari semasa ke semasa, tetapi jangan selalu sangat menggunakannya pula. Apabila menyebut nama seseorang gunakan gelaran yang terdapat pada nama orang tersebut seperti Tuan/Tan Seri/Dato’/ Dato’ Seri/Tuan/Puan/Encik dan sebagainya.
- Anda haruslah sentiasa bersopan santun biarpun ada ketikanya soalan yang dikemukakan mungkin mencabar anda. Perkara semacam ini selalunya disengajakan untuk melihat sejauhmana anda akan bertindak terhadap keadaan atau situasi yang menekan.
- Tumpukan perhatian pada setiap soalan dan beri jawapan atau tindakbalas yang tepat dan sempurna.
- Cuba kembangkan perbincangan pada tajuk/hal yang telah menarik perhatian penemuduga, tetapi bersedialah membatasi mana-mana yang dirasakan tidak menarik perhatian mereka.
- Anda mestilah bersedia dan berwaspada pada setiap ketika. Hujahkan satu-satu ‘point’ itu dengan penuh semangat.
- Cuba kembangkan jawapan "ya" atau "tidak" anda dengan sebab musabab yang munasabah.
- Jika anda tidak tahu jawapan kepada sesuatu soalan, jangan cuba hendak berbohong ataupun mendiamkan diri sahaja kerana ini nanti akan melemahkan peluan anda. Sebaik-baiknya anda berterus terang yang anda tidak tahu jawapan bagi soalan berkenaan.
- Jangan menguyah sesuatu semasa temuduga sedang berjalan.
- Jangan sekali-kali cuba menyampuk semasa penemuduga sedang bercakap atau berbincang sesuatu di antara mereka.
- Minta penjelasan sekiranya anda tidak begitu faham pada soalan-soalan tertentu.
- Bersedia memberitahu penemuduga tentang keluarga, persekolahan, kegemaran dsb., selaiin dari pilihan kerjaya dan pengajian anda. Jangan bercakap berlebihan dan yang tidak sepatutnya. Jangan pula berbincang apa-apa masalah peribadi anda semasa temuduga.
- Jangan menyeterui para penemuduga dengan sifat angkuh atau sifat tidak acuh yang anda tunjukkan.
- Gunakan satu-satu bahasa tanpa campur-aduk dengan bahasa lain. Sebagai contoh jangan gunakan, "I fikir problem ini tidak dapat diselesaikan". Ataupun "You taulah, problem ini begitu complicated". Sekiranya disoal dalam Bahasa Melayu, jawablah dalam Bahassa Melayu dan sekiranya disoal dalam Bahasa Inggeris, anda perlulah pula menjawab dalam Bahasa Inggeris.
- Cuba jawab semua soalan dengan tenang. Jangan cuba menengking penemuduga. Mungkin soalan itu mudah dan tidak berkaitan. Umpamanya jika ditanya berapa orang calon sedang menunggu di luar, itu tidak ada kaitan dengan pilihan kerjaya anda. Tujuan soalan sedemikian dikemukakan ialah untuk melihat sama ada anda ‘observant’ atau tidak.
- Biarkan penemuduga itu menamatkan temuduga.
- Di akhir temuduga, ucapkan terima kasih kepada panel temuduga kerana memberi peluang kepada anda menghadiri temuduga itu.
(Sumber : eduline.tripod.com)
No comments:
Post a Comment