Djokovic juara dalam pertarungan hampir 6 jam
MELBOURNE - Novak Djokovic mempertahankan kejuaraan Terbuka Australia selepas menumpaskan pilihan kedua dari Sepanyol, Rafael Nadal 5-7, 6-4, 6-2, 6-7 (5-7) pada perlawanan akhir Grand Slam paling lama dalam sejarah, lima jam 53 minit.
Nadal bermula cemerlang pada set pertama selepas mengejutkan penyandang juara itu 7-5, tatkala kedua-dua pemain tersebut saling mematahkan servis dan Nadal melakukannya pada permainan ke-11 untuk mencatat kemenangan dalam tempoh 80 minit.
Bagaimanapun Djokovic berjaya memenangi set kedua 6-4 bagi menyamakan kembali kedudukan, walaupun dia melakukan kesilapan berganda tetapi berjaya mematahkan servis Nadal bagi menamatkan saingan tersebut.
Djokovic berada pada kedudukan selesa apabila meraih kemenangan di set ketiga untuk mendahului 2-1 dengan berjaya memenangi permainan keempat.
Hasrat Djokovic untuk meraih kejuaraan disekat Nadal pada set keempat selepas perlawanan tersebut diheret sehingga tie-break.
Pada set penentuan, Djokovic berjaya melakukan pukulan yang melintangi gelanggang dan terbaring kepenatan selepas bertarung dalam perlawanan yang agak lama.
Kemenangan itu membolehkan pemain pilihan utama dan juara 2008 itu meraih kejuaraan Grand Slam buat kali kelima sebelum hari lahirnya yang ke-25.
(Sumber : Utusan Online - 30/1/2012)
No comments:
Post a Comment