'United harus kembali bangkit'
|
|
MANCHESTER - Pemain sayap Manchester United, Park Ji-sung menggesa rakan-rakan sepasukannya supaya segera melupakan kekecewaan tewas kepada Liverpool pada pusingan keempat Piala FA di Anfield, Ahad lalu.
Rekod United selaku juara Piala FA sebanyak 11 kali tercalar menerusi jaringan penyerang The Reds, Dirk Kuyt yang membantu Liverpool menang bergaya 2-1.
United kini hanya ketinggalan tiga mata di belakang pendahulu Liga Perdana England, Manchester City, justeru Ji-sung mahu rakan-rakan sepasukannya melupakan kekecewaan tersebut menjelang pertemuan menentang Stoke City di Old Trafford awal pagi esok.
"Kami harus segera melupakannya (tewas terhadap Liverpool) dan memikirkan apa yang bakal terjadi di masa depan.
"Kami masih memiliki peluang dalam saingan liga dan begitu juga Piala Europa," kata Ji-sung.
Selepas berdepan Stoke, The Red Devils bakal diuji pasukan di tempat keempat liga, Chelsea dalam saingan liga pada Jumaat depan sebelum kembali berdepan Liverpool enam hari kemudian.
Dugaan anak-anak buah Alex Ferguson juga tidak terhenti di situ sahaja apabila mereka bakal melayan cabaran Ajax Amsterdam bagi aksi Liga Europa.
"Kami tidak boleh kehilangan konsentrasi semata-mata kerana tewas kepada Liverpool.
"Ketika berdepan Liverpool, kami menguasai sebahagian besar perlawanan. Cuma, beginilah bola sepak. Apa juga boleh berlaku.
"Kekalahan itu jelas mengecewakan, kesemua pemain hanya terdiam seolah-olah tidak mempercayainya kerana kami yakin boleh menang," jelasnya. - AFP
(Sumber : Kosmo Online - 31/1/2012)
No comments:
Post a Comment