
Seekor  ular berbisa mamba Afrika   berwarna hijau yang menyerupai spesies ular yang terlepas semasa banjir  di Thailand.  - AGENSI 
BANGKOK 3 Nov. - Pegawai veterinar hari ini  memburu 15 ekor ular berbisa mamba Afrika yang dilaporkan terlepas dari  sangkar di sebuah bangunan di wilayah Nonthaburi ketika bencana banjir.
Pegawai kerajaan semalam dimaklumkan mengenai ular berkenaan melalui  mesej yang disampaikan di laman web Twitter, satu kejadian yang tidak  dapat disahkan.
''Ia mungkin benar kerana kita tahu terdapat banyak penyeludupan  haiwan di Thailand dan mereka tidak berani memaklumkan pihak berkuasa  jika ular berkenaan terlepas,'' kata Presiden Persatuan Veterinar Zoo  dan Haiwan Liar Thailand, Nanthika Chansue.
Persatuan itu yang bekerjasama dengan Jabatan Pemuliharaan Haiwan  Liar, Pokok dan Taman Negara menghantar beberapa pasukan pencari ke  daerah Pak Kret, Nonthaburi, 16 kilometer dari barat laut Bangkok sejak  semalam.
''Kami tidak pasti sama ada kejadian itu benar tetapi kami perlu melindungi orang ramai.
''Kami juga mengeluarkan amaran memaklumkan ular ini berwarna hijau,  sama seperti ular yang biasa dilihat di Thailand tetapi ia lebih besar  dan berbahaya. Jika menemui haiwan ini, jauhkan diri,'' kata Chansue.
Beliau berkata, mangsa patukan ular mamba akan mati dalam tempoh 20  minit dan Thailand tidak mempunyai bekalan penawar racun haiwan itu.
Chansue memberitahu, pihaknya dalam beberapa minggu ini menyelamatkan  100 ekor rusa, 30 babi hutan dan 15 harimau selain sejumlah monyet  peliharaan yang terkandas dan ditinggalkan pemiliknya ketika banjir. -  dpa
No comments:
Post a Comment