Sultan sertai penduduk sembelih lembu sempena Aidiladha

Sultan Muhammad V menyembelih lembu korban pada majlis korban di Kompleks Islam Jubli Perak, Panji, Kota Bharu, semalam.
KOTA BHARU 7 Nov. – Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V dan Yang  Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK),  Tengku Mahkota Kelantan, Tengku Muhammad Fa-iz Petra mencemar duli  menghadiri majlis ibadah korban sempena Hari Raya Aidiladha anjuran MAIK  di Kompleks Islam Jubli Perak, Panji di sini hari ini.
Sebanyak 43 ekor lembu disumbangkan oleh Maxis, jabatan dan agensi  kerajaan dan negeri serta baginda Sultan mengorbankan seekor lembu dan  seekor kerbau di majlis tersebut malah baginda telah melakukan  penyembelihan terhadap lembu yang pertama dikorbankan.
Turut hadir Setiausaha MAIK Che Hamat Che Muda, Ketua Wilayah Pantai  Timur Maxis, Che Mazlan Mokhtar, petugas-petugas penyembelihan dari  Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JHEAIK) dan Majlis Perbandaran  Kota Bharu -Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) serta penduduk kampung yang  mempunyai kemahiran menyembelih dan melapah daging.
Menurut Che Hamat, ibadah tersebut merupakan rutin tahunan anjuran  MAIK yang diadakan pada hari kedua raya korban dan mendapat sokongan  pelbagai pihak termasuk imam-iman seluruh Kota Bharu yang mengalunkan  takbir sepanjang majlis berlangsung. 
‘‘Hasil daging korban hari ini akan diagih-agihkan kepada lebih  kurang 1,000 penduduk miskin di sekitar kawasan kompleks, kariah di  Masjid Panji dan Masjid Muhammadi, Kota Bharu.
(Sumber : Utusan online - 8/11/2011) 
No comments:
Post a Comment