Nicol tempa nama dalam Dewan Kemasyhuran WSF

Nicol  David  tergolong antara  pemain terhebat sepanjang zaman apabila namanya akan  dimasukkan ke  dalam senarai Dewan Kemasyhuran  Persekutuan Skuasy Dunia. 
KUALA LUMPUR - Pemain wanita No. 1 dunia, Datuk Nicol David kini  tergolong antara pemain paling terulung sepanjang zaman apabila namanya  akan dimasukkan ke dalam senarai Dewan Kemasyhuran (Hall of Fame) Persekutuan Skuasy Dunia (WSF).
Nicol, 28, akan diberi penghormatan pada satu majlis makan malam  sempena Kejohanan Terbuka Dunia dan Mesyuarat Agung Tahunan WSF di  Rotterdam, esok.
"Untuk diiktiraf pencapaian saya setaraf seperti sekumpulan pemain  handalan dalam sejarah tatkala saya masih aktif bertanding, perasaannya  adalah tak dapat digambarkan.
"Ia sungguh menakjubkan dan saya berasa amat bangga. Meskipun telah  bermain dalam sirkit profesional untuk lebih 10 tahun, anugerah ini  tidak bermakna saya merancang untuk bersara," ujar Nicol kegembiraan  sebaik dimaklumkan berita baik itu.
Gadis kelahiran Pulau Pinang itu juga mengintai rekod gelaran keenam  Terbuka Dunia yang sedang rancak berlangsung di bandar raya Belanda  tersebut minggu ini.
Nicol yang memiliki 55 gelaran Jelajah Dunia, telah pun menyamai  rekod mentornya, Sarah Fitz-Gerald dengan merangkul gelaran dunia kelima  tahun lalu.
Pada Mac lalu, Nicol memintas bekas jaguh Australia, Michelle Martin  untuk menjadi pemain kedua paling lama memegang status pemain No.1  Persatuan Pemain Skuasy Wanita Antarabangsa (WISPA) sepanjang zaman.
Memasuki bulan ini, Nicol sudah menjangkau bulan ke-67 (sejak Ogos 2006) di persada ranking WISPA, namun masih jauh perlu mengejar Susan Devoy dari New Zealand yang gah dengan rekod 105 bulan.
Nicol bakal menjadi pemain ke-12 dalam senarai dewan kemasyuran yang  juga menampilkan Michelle, Sarah dan Susan bagi pemain wanita selain dua  legenda Pakistan, Jahanghir Khan dan Jansher Khan untuk lelaki.
(Sumber : Utusan online - 4/11/2011) 
No comments:
Post a Comment