Istana Negara lama ditutup secara rasmi hari ini

 Istana Negara baharu  di Jalan Duta, Kuala Lumpur  dirakamkan dari Menara Kuala Lumpur semalam. 
KUALA LUMPUR – Istana Negara lama  yang telah menjangkau usia 83  tahun akan ditutup secara rasmi setelah selesai Istiadat Menurunkan  Bendera Peribadi Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong di istana itu  di sini hari ini.
Istana Negara baharu bernilai RM800 juta yang terletak di Jalan Duta  pula akan menjadi kediaman rasmi baharu bagi Yang di-Pertuan Agong yang  seterusnya setelah tamat tempoh jawatan yang kini dipegang oleh Tuanku  Mizan Zainal Abidin.
Tersergam indah di tepi Bukit Petaling, pelbagai peristiwa telah  berlaku di istana lama itu yang pada asalnya sebuah banglo yang  dibina  pada 1928 oleh pemilik asalnya iaitu seorang jutawan dari China, Chan  Wing.
Bagaimanapun, sejak tercetusnya Perang Dunia Kedua yang menyaksikan  negara ini ditawan Jepun, banglo yang telah ditinggalkan jutawan  berkenaan digunakan sebagai mes Pegawai Tentera Jepun selama empat tahun  bermula 1942 sehinggalah 1945.
Sejurus tamatnya perang itu, banglo tersebut telah bertukar tangan  kepada British Military Administration (Malaya) yang menjadikannya  sebagai mes pegawai kanan British pada 1946.
Kemudian  ia bertukar milik kepada Kerajaan Negeri Selangor apabila  dibeli dan diubahsuai sebagai sebuah istana untuk Sultan Selangor ketika  itu, Sultan Hisamuddin Alam Shah.
Istana itu kemudian bertukar milik sekali lagi apabila kerajaan  Persekutuan membelinya pada harga RM1.4 juta pada tahun 1957 untuk  dijadikan tempat bersemayam Yang di-Pertuan Agong yang pertama, Tuanku  Abdul Rahman Tuanku Muhammad beberapa minggu sebelum pengisytiharan  kemerdekaan.
(Sumber : kosmo online - 15/11/2011) 
No comments:
Post a Comment