Kemalapan sukan sekolah punca kegagalan atlet negara?
Bahagian 2
SEBAGAIMANA yang kita ketahui, kemalapan sukan di sekolah selalunya dikaitkan dengan kegagalan atlet negara untuk menyerlah di peringkat antarabangsa.
Dakwaan ini tidak dapat dinafikan walaupun ia bukan dakwaan yang 100% tepat.
Pada suatu ketika dulu jurulatih di kalangan guru merupakan antara yang terkenal dan berpengaruh di arena sukan negara.
Demikian juga dengan jumlah pegawai teknik sukan yang menggerakkan aktiviti sukan tanah air, kebanyakannya terdiri di kalangan guru-guru.
Berkurangnya jumlah guru-guru sebagai jurulatih sukan atau pegawai teknik sukan di arena sukan tanah air disebabkan oleh banyak faktor dan antaranya ialah kemalapan aktiviti sukan di sekolah itu sendiri, di samping kurangnya bekas atlet kebangsaan yang memasuki profesyen perguruan.
Kemalapan sukan di sekolah adalah disebabkan penumpuan yang lebih terhadap pencapaian akademik murid melalui peperiksaan-peperiksaan kebangsaan.
Dasar 1 Murid 1 Sukan bertujuan untuk mengembalikan kemeriahan sukan di sekolah.
Kemeriahan ini akan lambat dicapai sekiranya guru-guru yang terlatih dalam sukan kurang jumlahnya dan tidak dapat melayani keperluan seramai 5.4 juta murid di sekolah.
Oleh itu IPG Sukan ini amatlah penting dan konsep serta pengisiannya mestilah dapat menjiwai hasrat dan tujuan sebenar penubuhannya. IPG wajib melahirkan guru-guru sukan yang terlatih dalam sukan.
Banyak model boleh dipilih dalam menjayakan tujuan ini tetapi pada prinsipnya apa yang dilahirkan oleh IPG Sukan mestilah dapat memenuhi keperluan KPM dalam melengkapkan aspek kepakaran sukan untuk murid-murid sekolah.
Jika ia dilaksanakan dengan berkesan, antara hasil yang boleh dilihat, murid-murid yang cemerlang dalam sukan juga dapat dilahirkan.
Di samping itu KPM juga dapat melahirkan jurulatih dan pegawai teknik sukan yang berwibawa yang dapat memberi sumbangan kepada kemajuan sukan tanah air.
Oleh itu, pelancaran IPG Sukan di Seremban ini merupakan satu titik permulaan yang amat signifikan kepada aktiviti sukan di sekolah dan negara amnya.
Bagi saya, di majlis itu juga saya dapat bertemu dengan Ketua Polis Negeri Sembilan iaitu SAC Datuk Osman Salleh yang aktif dalam menggerakkan sukan di kalangan warga polis semasa beliau berkhidmat di Bukit Aman.
Saya juga berkesempatan bertemu dengan Datuk Jemal Kassim rakan lama dalam perkhidmatan yang mempunyai banyak cerita apabila berjumpa.
(Sumber : utusan online - 2/11/2011)
No comments:
Post a Comment