Kraf tangan kayu larik jadi tumpuan pengunjung

Aktiviti  membuat perhiasan menggunakan kayu antara produk pelancongan di   Kampung Parit Bugis di Muar. 
MUAR 12 Okt. - Barangan kraf tangan daripada kayu larik merupakan  salah satu daripada produk industri kecil dan sederhana (IKS) yang tidak  terdapat di mana-mana kampung lain selain dari Inap Desa Kampung Parit  Bugis di sini.
Pengerusinya, Saifudin Mohd. Kadak berkata, produk yang dihasilkan  menerusi bahan terbuang itu antara yang sering mendapat perhatian  pengunjung kerana keunikan serta keindahan seni pembuatannya.
Menurutnya, antara produk yang boleh dihasilkan daripada kayu larik  termasuk gambus, gendang, marakas, gasing dan bekas hiasan serta lampu.
"Kayu larik ini merupakan kayu yang diambil daripada pokok mati dan  kebiasaannya boleh diperoleh dari kawasan kebun lama dan tepi sungai. 
"Jika dilihat, ia seperti tidak berguna tetapi selepas diukir,  dibentuk dan dicat maka terciptalah hasil seni yang menarik," katanya  kepada Utusan Malaysia di sini, baru-baru ini.
Selain itu, pembuatan gerabak untuk mengangkut buah kelapa sawit  merupakan sebahagian lagi produk IKS keluaran kampung itu dan ia  merupakan hasil kreativiti penduduk.
Beliau berkata, penghasilan gerabak daripada bahan terpakai merupakan  antara idea menarik kerana ia bukan sahaja kreatif, malah amat berguna  kepada pengusaha tanaman kelapa sawit di kampung berkenaan.
Katanya, dengan menggunakan enjin motosikal vespa dan enjin kereta  terpakai, gerabak itu mampu digunakan untuk mengangkut buah sawit dalam  kuantiti sederhana.
"Gerabak yang dihasil daripada bahan terpakai itu boleh digunakan  untuk suatu tempoh yang lama dan memerlukan peruntukan kecil untuk  diselenggara. Mungkin, gerabak yang terhasil kelihatan sedikit pelik  tetapi amat berguna kepada pengusaha kelapa sawit berskala sederhana dan  kecil.
"Selain untuk mengangkut buah kelapa sawit, ia juga boleh digunakan  untuk membawa barangan dan orang sekiranya diperlukan pada musim  kenduri-kendara," katanya.
(Sumber : utusan online - 13/10/20110 
No comments:
Post a Comment