7 bilion bukan sekadar angka
   | 
DI MANA-MANA bahagian  dunia pada minggu ini, kelahiran bayi dianggap  sesuatu yang sangat istimewa kerana mereka merupakan   penduduk ke-7  bilion bumi.
Bilangan penduduk bumi mencecah angka tujuh bilion Isnin lalu, cuma  12 tahun selepas ia mencapai enam bilion. Peralihan angka satu bilion  itu hakikatnya memberi cabaran yang besar untuk tahun-tahun akan datang.  
Bagaimanapun, sesetengah orang bertanya sebesar mana angka tujuh bilion itu?
Individu seperti genius matematik, Adi Putra Abdul Ghani, mungkin  menyukai permainan angka itu. Sekali pandang, ia tidak jauh berbeza  daripada enam bilion.
Kalau ditulis dalam nombor, ada sembilan nombor sifar dalam 6,000,000,000, sama seperti sembilan nombor itu dalam 7,000,000,000.

DUNIA menyaksikan penduduk bumi sudah mencecah angka tujuh bilion pada minggu ini. 
Tetapi jika anda mengira semua nombor yang ada di antara enam bilion  dan tujuh bilion, ia akan mengambil masa selama 30 tahun untuk  diselesaikan. Ya, tiga dekad.
Bilakah kali terakhir anda menggunakan angka tujuh bilion dalam  kehidupan seharian? Pernahkah anda makan tujuh bilion sesuatu atau  memiliki tujuh bilion benda? 
Pada awal tahun ini, cuma ada 140 orang di dunia yang mempunyai  kekayaan bernilai kira-kira AS$7 bilion (RM21 bilion), menurut majalah  Forbes.
“Nombor itu berada di luar pemikiran harian kita,” kata profesor  madya matematik di Universiti Villanova, Pennsylvania, Amerika Syarikat  (AS), Klaus Volpert.
“Kita mengira hingga angka 10 menggunakan jari tangan dan itulah  skala kita. Malah untuk mengira hingga sejuta pun bukanlah satu  kebiasaan. Angka yang besar itu membuatkan kita keliru,” tambah beliau.
Ada banyak cara untuk kita membayangkan angka tujuh bilion. Tujuh  bilion saat yang lalu ialah tahun 1789. Di Amerika Syarikat, ia  merupakan tahun George Washington menjadi Presiden pertama negara itu. 
Jika anda membuat tujuh bilion langkah di sepanjang garisan  Khatulistiwa, iaitu kira-kira setengah meter bagi setiap langkah, anda  boleh berjalan mengelilingi bumi sebanyak 106 kali.
Katakanlah purata ketinggian manusia ialah 1.6 meter. Jika anda  menyusun mereka secara menegak, ia akan mencecah kira-kira 1 per 14  jarak matahari atau 27 kali jarak di antara bumi dengan bulan, kata  Volpert.
Makanan
KRISIS air di India, negara kedua penduduk paling ramai di dunia, boleh bertukar menjadi krisis kemanusiaan. 
Tujuh bilion semut, purata tiga miligram seekor pula boleh menjadi seberat 23,000 kilogram.
“Minda kita cuma menerawang apabila memikirkan betapa besarnya tujuh bilion,” kata Volpert. 
Beliau berkata, perasaan yang sama akan hadir apabila kita cuba  membayangkan ukuran yang sangat kecil atau sesuatu yang berada di luar  angkasa.
“Setiap kali kita mendongak ke langit dan melihat bintang, kita akan  terpegun dengan skalanya yang besar dan menakjubkan,” ujarnya.
Bumi belum sampai ke angka satu bilion penghuni sehingga tahun 1800,  menurut Biro Referen Populasi AS, dan mencecah dua bilion pada tahun  1930. 
Tetapi dengan kemajuan perubatan moden, ia hanya mengambil masa  selama 30 tahun untuk mencatat tiga bilion, 14 tahun untuk empat bilion,  13 tahun untuk menjadi lima bilion dan 12 tahun untuk mencapai enam dan  tujuh bilion.

PERTAMBAHAN sisa pepejal seiring dengan peningkatan bilangan penduduk. 
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menganggarkan populasi dunia akan bertambah kepada 9.3 bilion menjelang tahun 2050.
Pertambahan itu menimbulkan kebimbangan tentang banyak perkara daripada makanan hinggalah ruang untuk tempat tinggal.
Pakar-pakar di National Geographic berkata, tujuh bilion manusia muat  untuk bandar Los Angeles di AS yang seluas 800 kilometer  persegi –  jika kita berdiri dari bahu ke bahu. Mujurlah bumi mempunyai keluasan  149  juta kilometer persegi.
Pertambahan penduduk bermakna lebih banyak proses perbandaran  berlaku. Pada tahun 1950, kira-kira 730 juta orang penghuni dunia   adalah penduduk bandar. 
Ada hampir 3.5 bilion penghuni bandar pada tahun 2009 dan dijangka  6.3 bilion manusia tinggal di bandar-bandar pada 40 tahun akan datang.
PBB juga menganggarkan pertambahan sebanyak 70 peratus terhadap keperluan makanan untuk sembilan bilion orang pada tahun 2050. 
Kegunaan air juga dijangka meningkat dua kali ganda. Malangnya, lebih  satu bilion manusia sekarang tidak mendapat bekalan air minuman.
Dijangkan bilangan lelaki dan wanita adalah sama. Namun, jangka hayat khususnya di negara maju akan bertambah. 
Menurut Biro Perangkaan AS, sekarang terdapat hampir 390,000 orang  yang berumur 100 tahun atau lebih, hampir 13 juta berumur lebih 90 tahun  dan 1.5 bilion melebihi usia 50 tahun.
(Sumber : Kosmo online - 7/11/2011)
(Sumber : Kosmo online - 7/11/2011)
 
No comments:
Post a Comment