Monday, 7 November 2011

NICOL JULANG KEJUARAAN DUNIA KALI KE-6

Nicol masih terkilan



Nicol David


KUALA LUMPUR – Biarpun sudah mengecapi semua kemasyhuran, termasuk melakar rekod merangkul kejuaraan dunia buat kali keenam, namun ratu skuasy negara, Datuk Nicol David masih merasai ada kekurangan dalam kariernya.
Ketika dia sedang berada di puncak dunia, menjulang kejuaraan paling berprestij dalam skuasy, Nicol mengakui, sedikit terkilan kerana sukan tersebut tidak berada dalam Sukan Olimpik.
Malah, dalam nada bersahaja tetapi cukup tegas, pemain berusia 28 tahun itu berkata: “Kejuaraan Piala Dunia amat bermakna buat saya tetapi saya sanggup menukar enam gelaran dunia untuk satu emas Olimpik.”
Luahan itu dikeluarkan sejurus selepas membenam bintang No. 2 dunia dari England, Jenny Duncalf 11-2, 11-5, 11-0 dalam satu perlawanan berat sebelah yang berlangsung hanya dalam masa 28 minit di Rotterdam, Belanda kelmarin.
Nicol, yang memadam rekod mentornya, Sarah Fitz- Gerald dari Australia, yang sebelum ini unggul dengan lima gelaran dunia turut menujukan kemenangan kepada rakyat Malaysia yang selama ini dianggap sebagai tulang belakangnya.
“Di Malaysia, kejuaraan dunia sangat besar. Kami bukan negara yang memiliki banyak keputusan hebat dalam sukan, jadi saya amat gembira dapat membayar semua yang telah dilakukan oleh Malaysia untuk saya.
“Malaysia telah membawa saya hingga ke peringkat sekarang. Malah, saya juga menujukan kemenangan buat kedua ibu bapa saya yang sentiasa menghormati pilihan saya.
“Bila saya memilih skuasy, mereka tidak menghalang, sebaliknya membantu dan menyokong saya sepanjang perjalanan karier saya,” ujar pemain No. 1 dunia itu lagi.
Nicol merangkul kejuaraan dunia pertamanya pada 2005, sebelum mempertahankan gelaran pada 2006. Selepas gagal menjuarai edisi 2007, Nicol tidal lagi memandang ke belakang dengan menjuarai kejohanan 2008, 2009 dan 2010, sebelum menang lagi tahun ini.

(Sumber : Utusan online - 8/11/2011)

No comments:

Post a Comment

ASPEK KOMSAS DRAMA BERKHIDMAT UNTUK NEGARA

ASPEK KOMSAS DRAMA BERKHIDMAT UNTUK NEGARA ASPEK KOMSAS PERNYATAAN HURAIAN PEMIKIRAN Semangat cinta...