Nasi tumpang menu istimewa

Nasi  tumpang yang sudah dibungkus dengan daun pisang. 
 KOTA BHARU 3 Nov. - Nasi adalah makanan rugi  sebahagian besar penduduk Asia, termasuk Malaysia, selain sebagai sumber  karbohidrat utama dalam menu seharian. 
Nasi biasanya dihidangkan bersama lauk sebagai pelengkap rasa dan  memenuhi keperluan gizi seseorang. Nasi boleh 'diolah' bersama bahan  lain seperti rempah ratus atau lauk-pauk bagi menambahkan keenakannya  seperti nasi goreng, nasi lemak, nasi beriani atau nasi tomato.
Malah, hasil kreativiti tukang masak atau chef juga, maka Nasi 100  pernah dihasilkan di Kelantan suatu ketika dahulu, iaitu menggabungkan  kira-kira 100 bahan bagi memasak nasi tersebut.
Bagi masyarakat Kelantan, nasi kerabu dan nasi dagang menjadi makanan  tradisi dan telah dikenali ramai. Satu lagi menu nasi yang cukup  sinonim dengan masyarakat negeri ini ialah 'nasi tumpang.
Nasi tumpang berbeza dengan bubur nasi. Ia merupakan nasi yang  dimasak lembek kemudian dibungkus menggunakan daun pisang. Semasa proses  membungkus itu, si pembuat menyelitkan pelbagai jenis lauk-pauk seperti  sambal ikan, udang, ikan dan telur dadar dalam bentuk berlapis-lapis.
Lantaran berikutan banyak jenis lauk yang 'menumpang' dalam nasi itu,  maka akhirnya ia dikenali sebagai nasi tumpang dan dikenali sehingga ke  hari ini. Bagaimanapun, asal usul nasi tumpang mula dihasilkan, tiada  individu yang dapat menyatakannya secara tepat.
(Sumber : utusan online - 4/11/2011) 
No comments:
Post a Comment