Monday, 30 April 2012

PERHIMPUNAN : DIMANAKAH KEWAJARANNYA...?


Penulis terpanggil untuk mengemukakan pendapat mengenai perhimpunan Bersih 3.0 yang telah diadakan pada 28 April 2012 yang lalu. Penulis akan mengemukakan pendapat dari sisi pemikiran ilmiah, bukan dipengaruhi oleh unsur politik. Penulis merasakan sudah tiba masanya Perdana Menteri membubarkan parlimen sekarang kerana keadaan akan menjadi lebih dahsyat lagi jika pilihan raya tidak diadakan pada masa terdekat ini. Penulis lebih suka pilihan raya diadakan secepat mungkin kerana lebih lama lagi pilihan raya ke-13, maka lebih banyak lagi perhimpunan akan diadakan di ibu negara. Penulis dapat mengagak bahawa perhimpunan Bersih 4.0 atau 5.0 akan diadakan pula selepas ini jika pilihan raya tidak diadakan lagi. Penulis melihat bahawa perhimpunan seperti Bersih 3.0 ini bukan semata-mata untuk menuntut pilihan raya yang lebih adil dan telus tetapi ada agenda di sebalik perhimpunan tersebut. Penulis percaya tuntutan yang diminta oleh pihak penganjur untuk melihat pilihan raya yang adil dan telus sebahagian besar telah dan akan dilaksanakan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam pilihan raya ke-13 nanti dan sebahagian lagi mungkin tidak dapat dilaksanakan akibat kekangan undang-undang. Walaupun begitu usaha untuk dibuat penambahbaikan telah dan sedang diusahakan oleh SPR agar pilihan raya menjadi lebih adil dan telus. Jadi, perhimpunan yang diadakan ini adalah semata-mata untuk menunjukkan kepada masyarakat umum bahawa penyokong pihak pembangkang sangat ramai dan hal ini tidak lebih daripada satu propaganda untuk melemahkan kerajaan. Perhimpunan yang diadakan juga adalah bertujuan untuk menunjukkan kepada negara asing bahawa Malaysia tidak aman sekali gus menyebabkan pelabur asing yang ingin menanam modal di sini akan beralih ke negara lain. Penulis tidak melihat mana-mana perhimpunan yang diadakan akan  berlangsung secara aman dan kecederaan  serta kerosakan dapat dielakkan. Setiap perhimpunan yang dikatakan aman pada mulanya akan berakhir dengan huru-hara kerana peserta perhimpunan akan membuat provokasi supaya pasukan keselamatan bertindak ganas. Inilah tujuan perhimpunan Bersih 3.0 yang lalu diadakan. Pihak penganjur sudah berjaya dalam misi tersebut, iaitu menguar-uarkan kepada masyarakat dunia bahawa pasukan keselamatan kita ganas dan kerajaan sekarang adalah zalim. Akhir sekali, penulis lebih suka jika Perdana Menteri membubarkan parlimen sekarang supaya pilihan raya dapat diadakan pada cuti persekolahan bulan Jun nanti. Usahlah takut untuk membubarkan parlimen sekarang kerana Malaysia mengamalkan sistem demokrasi berparlimen. Pihak yang mendapat majoriti mudah atau majoriti dua pertiga nanti akan menjadi pemerintah. Kita tidak mahu negara dalam keadaan huru-hara dan akhirnya rakyat yang akan menanggung sengsara.  Marilah kita tentukan kerajaan yang akan memerintah nanti pada kertas undi. 

No comments:

Post a Comment

ASPEK KOMSAS DRAMA BERKHIDMAT UNTUK NEGARA

ASPEK KOMSAS DRAMA BERKHIDMAT UNTUK NEGARA ASPEK KOMSAS PERNYATAAN HURAIAN PEMIKIRAN Semangat cinta...