Tajuk - Peranan ibu bapa menerapkan amalan menabung
dalam kalangan anak-anak
Melentur buluh biarlah daripada rebungnya merupakan
peribahasa yang sangat sinonim dalam kehidupan pada zaman moden kini.
Peribahasa ini amat bertepatan jika merujuk pada peranan ibu bapa dalam
menerapkan amalan menabung kepada anak-anak sejak kecil. Sememangnya, amalan menabung
sangat penting dalam menghadapi dunia yang penuh dengan cabaran kini. Tanpa menabung, ibu bapa akan menghadapi masalah jika
anak-anak mereka ingin melanjutkan pelajaran nanti. Ibu bapa juga akan
menghadapi situasi yang merumitkan jika kecemasan berlaku secara tiba-tiba. Jawapan
kepada permasalahan ini adalah melalui amalan menabung yang seharusnya
dilakukan oleh ibu bapa kepada anak-anak mereka sejak kecil.
Ibu bapa memainkan peranan yang
sangat dominan dalam menerapkan amalan menabung kepada anak-anak. Memang tidak
dapat dinafikan bahawa anak-anak akan berbelanja mengikut kehendak mereka jika
tiada pemantauan daripada ibu bapa. Dalam hal ini, ibu bapa perlu mengawal
perbelanjaan harian anak-anak mereka. Ibu bapa perlu memastikan anak-anak
berbelanja mengikut keperluan dan bukannya kemahuan. Sebagai contoh, ibu bapa
perlu memastikan anak-anak menggunakan wang perbelanjaan persekolahan mereka
untuk membeli makanan dan minuman di sekolah,
membayar tambang pengangkutan dan menyimpan di dalam tabung setelah
pulang dari sekolah. Wang yang diberikan tidak boleh melebihi perbelanjaan
harian anak-anak mereka. Apabila anak-anak mereka pulang, ibu bapa perlu
menanyakan perbelanjaan anak-anak mereka di sekolah dan memastikan anak-anak
memasukkan wang ke dalam tabung jika ada lebihan. Jika ibu bapa melakukan
amalan ini secara istiqamah sejak anak-anak mereka kecil amalan menabung dapat
diterapkan dalam diri anak-anak. Pakar motivasi negara, Datuk Dr. Mohd Fadzilah
Kamsah pernah menyatakan bahawa anak-anak perlu diasuh dengan amalan murni dan
nilai keagamaan sejak mereka masih bayi lagi kerana amalan tersebut akan
menjadi tabiat apabila mereka besar nanti. Kata-kata tersebut sangat tepat
kerana anak-anak dilahirkan seperti kain putih dan ibu bapalah yang akan
menentukan coraknya. Jika ibu bapa ingin melihat anak-anak mereka mampu
menguruskan kewangan dengan baik maka bentuklah mereka bermula sejak kecil
lagi. Jadi, sudah terang lagi bersuluh, amalan menabung mampu diterapkan dalam
diri anak-anak jika ibu bapa memantau perbelanjaan harian mereka.
Amalan menabung juga dapat
diterapkan dalam diri anak-anak jika ibu bapa menjadi suri teladan dan model
kepada anak-anak. Memang tidak dapat dinafikan bahawa ibu bapa merupakan orang
yang berpengaruh dalam kehidupan anak-anak. Setiap perlakuan dan pergerakan ibu
bapa akan dilihat oleh anak-anak mereka. Dalam hal menabung, ibu bapa perlu
menjadi contoh kepada anak-anak supaya amalan menabung dapat ditiru oleh
anak-anak mereka. Peribahasa bapa borek anak rintik dan ke mana tumpahnya kuah
kalau tidak ke nasi amat bertepatan dalam hal ini. Setiap perlakuan ibu bapa
akan menjadi contoh kepada anak-anak mereka apabila mereka dewasa nanti. Ibu
bapa perlu menunjukkan perlakuan yang positif di hadapan anak-anak mereka.
Sebagai contoh, setelah pulang daripada pejabat ibu bapa hendaklah memasukkan
wang syiling ke dalam tabung di rumah. Jika ibu bapa melakukan amalan ini di
hadapan anak-anak mereka sejak kecil maka tabiat itu akan ditiru oleh anak-anak
mereka. Perbuatan ibu bapa itu akan menimbulkan minat dalam diri anak-anak.
Perkara ini tidak mustahil jika anak-anak mereka akan mencari bekas untuk
dijadikan tabung dan memasukkan wang syiling ke dalam bekas tersebut apabila
pulang daripada sekolah. Amalan ini akan menjadi budaya kepada anak-anak
apabila mereka dewasa nanti. Tan Sri Hamad Kama Piah, Ketua Pegawai Eksekutif
Permodalan Nasional Berhad (PNB) semasa melancarkan Amanah Saham Nasional
1Malaysia pernah mengingatkan ibu bapa supaya menjadi contoh teladan kepada
anak-anak dengan membuka akaun Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) agar
masa hadapan anak-anak terjamin dalam pendidikan. Oleh itu, amalan menabung
dalam kalangan anak-anak dapat dipupuk jika ibu bapa menjadi contoh kepada
anak-anak mereka.
thaku vry muc ~~~~~~~~~~
ReplyDeleteterima kasih :)
ReplyDeletebahagian b niy.
ReplyDeleteterima kasih berkongsi ilmu.
ReplyDelete