Friday, 20 April 2012

PENDIDIKAN PERCUMA : REALITI ATAU FANTASI...?


Penulis menerima mesej daripada bekas pelajar Faris Petra menerusi facebook supaya menulis tentang pendidikan percuma yang heboh sejak kebelakangan ini. Penulis ingin mengucapkan terima kasih kepada pengunjung Blog Cikgu Azaman atas maklum balas yang diberikan. Sebenarnya penulis sibuk sedikit kerana menghadiri Perkhemahan PKBM (D) Peringkat Negeri Kelantan pada 16 - 20 April 2012 bertempat di Kem Desa Pahlawan. Jadi penulis tidak mempunyai masa untuk menulis dalam blog pada waktu itu. Walau bagaimanapun, dengan ruang yang ada kini penulis ingin memberi pendapat berkenaan pendidikan percuma khususnya kepada pelajar-pelajar IPTA dan IPTS yang ingin dilakukan oleh pihak-pihak tertentu jika memenangi pilihan raya ke-13 nanti. Penulis sedar bahawa pendidikan percuma sangat baik terutama bagi golongan yang berpendapatan rendah. Penulis juga berasal daripada keluarga yang sangat susah dan yang pasti ramai lagi rakyat di negara kita yang hidup susah.



Saban tahun, kerajaan menyediakan peruntukan yang besar untuk mengurus pendidikan rakyat. Saban tahun juga, semakin bertambah bilangan pelajar yang berjaya melanjutkan pengajian di institusi pendidikan tinggi. Kini kerajaan telah membelanjakan berbilion-bilion ringgit untuk pendidikan anak-anak kita. Jika pendidikan percuma diberikan, yakni pelajar tidak perlu meminjam daripada PTPTN, peruntukan yang lebih besar lagi perlu disediakan oleh kerajaan. Maknanya, kerajaan terpaksa menyediakan perbelanjaan yang besar bagi menampung kos pengajian pelajar di IPTA dan IPTS yang berjumlah ratusan ribu orang. Kerajaan perlu menjana pendapatan yang lebih untuk menampung kos yang perlu ditanggung sepanjang pengajian. Maknanya, kerajaan perlu mencari punca pendapatan lain bagi mengatasi masalah tersebut. Apa yang penulis lihat, alternatif lain yang boleh dijadikan pilihan oleh kerajaan adalah menaikkan cukai kepada syarikat dan individu. Apabila cukai yang dikenakan kepada individu dinaikkan, beban tersebut telah beralih pula kepada pembayar cukai yang sebelum ini membayar cukai dalam jumlah yang kecil. Kita nampak di sini bahawa keuntungan dapat dikecapi oleh pelajar institusi pengajian tinggi kerana menerima pendidikan percuma tetapi pembayar cukai terpaksa menerima beban kerana perlu membayar cukai yang lebih besar. Hal ini seolah-olah menarik kain yang kecil untuk menutup meja yang besar. Jika hujung kain sebelah kiri ditarik maka hujung kain sebelah kanan tidak dapat menutup meja tersebut.



Penulis melihat PTPTN tidak perlu dimansuhkan tetapi penambahbaikan perlu dibuat seperti membayar balik pinjaman berdasarkan jumlah yang diluluskan tanpa mengenakan sebarang faedah atau menetapkan peratus yang perlu dibayar oleh pelajar jika memperoleh CGPA yang dikehendaki. Selain itu, peluang pekerjaan perlu disediakan kepada mereka yang telah menamatkan pengajian kerana bayaran hanya boleh dibuat jika mereka mendapat pekerjaan. Kita tidak mahu pihak-pihak tertentu cuba membuat propaganda untuk meraih undi semata-mata pilihan raya tetapi keadaan sama sahaja selepas memerintah.



Jika ada mana-mana pelajar yang berkhemah untuk menuntut supaya dimansuhkan PTPTN seperti yang dilakukan di Dataran Merdeka sekarang ini, penulis menasihatkan supaya mereka memulangkan semula pinjaman PTPTN jika menerimanya sebelum ini. Perdana Menteri menyatakan bahawa kerajaan akan kehilangan sebanyak RM43 bilion jika PTPTN dimansuhkan. Hal ini kerana sebanyak 1.926 juta orang pelajar yang telah menerima pinjaman PTPTN tidak perlu membayar pinjaman mereka jika dimansuhkan. Alangkah baiknya jika peruntukan sebesar ini disalurkan kepada sekolah-sekolah yang masih belum sempurna lagi dari segi pembangunan fizikal seperti bilik darjah yang tidak cukup, padang permainan yang bertakung air, peralatan sukan yang lapuk dan sebagainya.



Penulis menasihatkan pelajar-pelajar yang seramai 30 orang itu usah menunjukkan budaya tersebut kepada pelancong-pelancong asing yang datang untuk melihat keindahan Kuala Lumpur khususnya dan Malaysia amnya. Menurut anak murid penulis yang sedang belajar di Dublin, Irealand dalam bidang perubatan, mereka sedang sibuk mengulang kaji pelajaran untuk menghadapi peperiksaan tidak lama lagi. Penulis sedih apabila pelajar-pelajar kita sedang sibuk berkhemah untuk menuntut kerajaan memansuhkan PTPTN. Penulis tertanya-tanya bila mereka menghadiri kuliah, tutorial dan membuat tugasan bagi melengkapkan pengajian mereka? Tuntasnya bagi penulis, jika tiada pinjaman  dahulu, penulis tidak dapat menyambung pengajian kerana keluarga penulis bergantung pada sawah padi sahaja.

3 comments:

  1. saya sokong pendapat cikgu.PTPTN tak perlu dimansuhkan.kerana jika dimansuhkan banyak pihak yg akn rugi.yang perlu diperbaiki ialah bunga yg dikenakan :)

    ReplyDelete
  2. Perkara baik jadikan ikutan, perkara yang tidak memuaskan perlu dibuat penambahbaikan....

    ReplyDelete
  3. terima kasih cikgu kerana memenuhi permintaan saya

    ReplyDelete

ASPEK KOMSAS DRAMA BERKHIDMAT UNTUK NEGARA

ASPEK KOMSAS DRAMA BERKHIDMAT UNTUK NEGARA ASPEK KOMSAS PERNYATAAN HURAIAN PEMIKIRAN Semangat cinta...