Tuesday 24 April 2012

IALAH ATAU ADALAH....?

Kesilapan kata pemeri ialah dan adalah sering kali dilakukan oleh pelajar. Marilah sama-sama kita perhatikan kesilapan penggunaan perkataan adalah dan ialah dalam contoh ayat yang berikut;

i. Sepak takraw adalah sukan yang perlu diperkasakan semula.

ii. En. Ahmad adalah orang pertama yang membiakkan baka limau kasturi di kampungnya.

iii. Kursus yang dianjurkan oleh jabatan itu ialah untuk menerapkan semangat patriotik dalam diri.

iv. Tarikh jambatan itu dijangka siap ialah pada bulan Ogos ini. 

Penggunaan kata pemeri ialah dan adalah dalam contoh-contoh ayat di atas adalah salah. 

Penggunaan adalah hanya boleh diikuti oleh kata sendi nama seperti untuk, pada, dalam, daripada, dengan dan sebagainya. 

Penggunaan ialah pula hanya digunakan di hadapan perkataan atau rangkai kata yang berupa kata nama atau frasa nama, yakni perkataan atau rangkai kata yang menyatakan nama sesuatu benda, keadaan, pekerjaan, konsep dan sebagainya. 

Sepatutnya contoh-contoh ayat di atas adalah seperti berikut;

i. Sepak takraw ialah sukan yang perlu diperkasakan semula.

ii. En. Ahmad ialah orang pertama yang membiakkan baka limau kasturi di kampungnya.

iii. Kursus yang dianjurkan oleh jabatan itu adalah untuk menerapkan semangat patriotik dalam diri.

iv. Tarikh jambatan itu dijangka siap adalah pada bulan Ogos ini. 

Perkataan adalah juga digunakan di hadapan kata adjektif, iaitu kata atau rangkai kata yang menunjukkan sifat sesuatu. Contohnya..

i. Kenyataan yang diberikan oleh suspek itu adalah benar.

ii. Keputusan yang telah ditetapkan itu adalah tidak adil.

iii. Keputusan panel hakim adalah muktamad.

Perkataan adalah tidak boleh diikuti oleh kata kerja, seperti merupakan, melambangkan, berasaskan dan sebagainya. Ungkapan adalah merupakan amat digemari oleh pengguna bahasa Melayu. Ungkapan ini biasanya diikuti oleh kata nama atau frasa nama. Oleh itu, perkataan adalah dalam ungkapan seperti ini sememangnya tidak sesuai digunakan, hanya perkataan merupakan atau ialah boleh digunakan. Contohnya..

i. Institut Zaaba adalah merupakan sebuah institut pensendirian yang masih beroperasi di Kota Bharu. (salah)

ii. Institut Zaaba merupakan/ ialah sebuah institut persendirian yang masih beroperasi di Kota Bharu. (betul)


Kata pemeri adalah tidak boleh diikuti oleh kata kerja, hanya boleh digunakan bersama-sama kata kerja jika dihubungkan oleh kata sendi seperti untuk, dengan, dan sebagainya. Contohnya...

i. Matlamat utama Unit ini adalah membantu pihak pengurusan melaksanakan tanggungjawabnya secara berkesan. (salah)

ii. Matlamat utama Unit ini adalah untuk membantu pihak pengurusan melaksanakan tanggungjawabnya secara berkesan. (betul)

(Sumber : Dewan Bahasa dan Pustaka)

No comments:

Post a Comment

ASPEK KOMSAS DRAMA BERKHIDMAT UNTUK NEGARA

ASPEK KOMSAS DRAMA BERKHIDMAT UNTUK NEGARA ASPEK KOMSAS PERNYATAAN HURAIAN PEMIKIRAN Semangat cinta...