KATA ADJEKTIF DALAM BENTUK DARJAH PERBANDINGAN
Kata adjektif dapat digunakan untuk menyatakan tiga darjah perbandingan, iaitu darjah biasa, darjah bandingan dan darjah penghabisan.
1. Darjah Biasa
Contoh: sederhana, terang, kurus, tenang, baik
Contoh ayat:
a) Hidup keluarga itu sederhana sahaja.
b) Perangai pemuda kampung itu baik.
c) Laut tenang ketika waktu pagi.
2. Darjah Bandingan
Digunakan dengan dua cara;
i) Bandingan yang sama, iaitu menggunakan kata adjektif dengan awalan 'se'
Contoh: sebesar, setinggi, sepandai, secantik, sesedap, semanis
Contoh ayat:
a) Rumah Ali sebesar rumah Ahmad
b) Anak saya tidak setinggi anaknya.
c) Masakannya tidak sesedap masakan ibu saya.
ii) Bandingan yang berbeza, iaitu kata adjektif yang menggunakan kata penguat lebih atau kurang yang berfungsi sebagai bandingan
Contoh: lebih harum, lebih gemuk, lebih panjang, kurang cantik, kurang maju
Contoh ayat:
a) Bunga ini lebih harum daripada bunga itu.
b) Rambut saya kurang panjang daripada rambut kakak.
c) Anaknya lebih gemuk daripada anak jirannya.
3) Darjah Penghabisan
Penggunaan kata adjektif dalam ungkapan darjah penghabisan dapat dilakukan dengan cara yang berikut:
i) se + kata adjektif + gandaan + kata nama
Contoh:
a) Sekeras-keras batu, tidak sekeras hatinya yang degil itu.
b) Setinggi-tinggi gunung, tinggi lagi impian saya.
c) Sepandai-pandai tupai melompat akhirnya jatuh ke tanah jua.
ii) ter + kata adjektif
Contoh: terpandai, tertinggi, terbaik, tercantik, termasyhur, terindah
Contoh ayat:
a) Dialah pelajar yang terpandai di sekolah kami.
b) Gadis itu antara yang tercantik di kampungnya.
c) Inilah pemandangan yang terindah yang sempat saya rakam.
iii) paling + kata adjektif
Contoh : paling pandai, paling tinggi, paling baik, paling lazat, paling cerdik, paling besar
Contoh ayat:
a) Dialah yang paling pandai dalam mata pelajaran matematik.
b) Menara itu paling tinggi di negara tersebut.
c)Antara adik-beradiknya, dialah yang paling cerdik.
iv) kata adjektif + sekali
Contoh : pandai sekali, tinggi sekali, baik sekali, lazat sekali, cerdik sekali, besar sekali
Contoh ayat:
a) Pemain bola keranjang itu tinggi sekali.
b) Guru bahasa Melayu itu baik sekali.
c) Lazat sekali makanan yang saya makan tadi.
v) ter + amat / ter + sangat + kata adjektif
Contoh : teramat pandai, teramat cantik, tersangat tinggi, tersangat baik
Contoh ayat:
a) Puteri raja itu teramat cantik.
b) P Ramlee seorang seniman yang teramat masyhur.
c) Bangunan itu tersangat tinggi.
vi) amat, sungguh, sangat + kata adjektif + sekali
Contoh : amat pandai sekali, sungguh cantik sekali, sangat merdu sekali
Contoh ayat:
a) Pakaian seragam pasukan itu amat kemas sekali
b) Tiupan angin pada waktu petang sungguh nyaman sekali.
c) Pemandangan di tepi pantai itu sangat indah sekali.
(Sumber: Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP)
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
ASPEK KOMSAS DRAMA BERKHIDMAT UNTUK NEGARA
ASPEK KOMSAS DRAMA BERKHIDMAT UNTUK NEGARA ASPEK KOMSAS PERNYATAAN HURAIAN PEMIKIRAN Semangat cinta...
-
Soalan : Nyatakan dua peristiwa yang menyentuh perasaan pembaca. Jelaskan sebab-sebab peristiwa tersebut menyentuh perasaan anda. Berd...
-
Soalan : Berdasarkan dua buah novel yang anda kaji, huraikan nilai kasih sayang yang terdapat dalam novel tersebut. Novel yang saya ka...
-
Subjek merupakan konstituen dalam sesuatu ayat yang terdiri daripada satu perkataan atau beberapa perkataan yang berfungsi sebagai frasa na...
No comments:
Post a Comment