Sesebuah
keluarga yang erat hubungannya akan sentiasa tolong-menolong antara satu sama
lain seperti aur dengan tebing.
Huraikan
kebaikan kepada ahli-ahli keluarga apabila menjayakan sesuatu majlis keluarga
seperti majlis perkahwinan, sambutan perayaan, hari keluarga dan sebagainya.
Dasawarsa ini,
meniti dari bibir ke bibir umat manusia di jagat raya ini tentang isu sambutan
majlis keluarga. Hal ini kerana masyarakat mulai sedar betapa signifikannya
hubungan yang erat sesama ahli keluarga demi menjalani kehidupan yang sakinah.
Mutakhir ini, banyak majlis keluarga disambut seperti majlis perkahwinan,
sambutan perayaan, hari keluarga dan sebagainya, lebih-lebih lagi apabila tiba
musim cuti sekolah. Sambutan majlis keluarga ini mendatangkan banyak kebaikan kepada
ahli-ahli keluarga. Hal ini bertepatan dengan kata-kata perunding keluarga
negara iaitu En. Zaid Mohamad yang menyeru supaya ibu bapa sering meluangkan
masa bersama-sama ahli keluarga dengan mengadakan sambutan hari keluarga supaya
hubungan kekeluargaan bertambah erat. Persoalannya, sejauhmanakah sambutan
majlis keluarga mampu memberikan kebaikan kepada setiap ahli keluarga? Jawapan
kepada persoalan ini akan saya huraikan dalam perenggan-perenggan seterusnya.
Tidak dapat
dinafikan bahawa dapat memupuk nilai-nilai murni dalam diri ahli keluarga
adalah kebaikan utama yang diperoleh apabila majlis keluarga disambut. Dalam
konteks ini, nilai-nilai murni yang dapat diwujudkan adalah nilai kemanusiaan
dan nilai kemasyarakatan seperti nilai tanggungjawab, tolong-menolong, timbang
rasa, kerjasama, kasih sayang dan sebagainya. Nilai-nilai ini dapat dilihat
apabila majlis keluarga seperti majlis perkahwinan disambut secara
besar-besaran. Sebagai analoginya, amalan gotong-royong masih lagi wujud di
kampung-kampung apabila sesebuah keluarga akan mengadakan sambutan majlis
perkahwinan anak yang disayangi. Ketua keluarga akan membahagikan tugasan
kepada setiap ahli keluarga untuk mengurus bahagian-bahagian penting supaya
majlis tersebut berjalan dengan lancar. Tugasan seperti menyediakan lauk,
menyiapkan tempat kenduri, memasang khemah, menjemput tetamu, memasak dan
sebagainya akan diberikan kepada setiap ahli keluarga. Ahli keluarga yang
diberi tugasan itu akan memainkan peranan dengan baik untuk memastikan persiapan
majlis perkahwinan dapat dilaksanakan dengan lancar. Hal ini secara tidak
langsung menunjukkan nilai tanggungjawab, kerjasama dan patuh dapat dipupuk
apabila majlis perkahwinan ini diadakan. Implikasinya, setiap ahli keluarga
akan menggembleng tenaga bagai aur dengan tebing untuk memastikan majlis
tersebut dapat dilaksanakan dengan lancar dan sempurna. Hal ini tidak akan
berlaku jika setiap ahli keluarga bersikap individualistik dan sudah tentu
majlis tidak akan sempurna. Pepatah Cina ada mengatakan bahawa mendidik anak-anak
ketika kecil umpama mengukir di atas air manakala mendidik anak-anak ketika
dewasa umpama mengukir di atas batu. Sambutan ini adalah manifestasi kepada
pepatah ini kerana mendidik anak-anak harus bermula sejak kecil. Jika anak-anak
terdedah dengan amalan ini tidak mustahil mereka akan terbiasa apabila
meningkat remaja. Jadi jelas menunjukkan bahawa sambutan majlis keluarga dapat
memupuk nilai-nilai murni dalam diri ahli keluarga .
Meninjau skop
perbincangan yang lebih luas, majlis keluarga yang disambut juga mampu
mengeratkan hubungan kekeluargaaan dalam sesebuah keluarga. Memetik kata-kata
Cecil B. Demille, seorang tokoh falsafah Barat, seseorang itu dianggap
berperikemanusiaan hanya apabila dia menyayangi diri dan keluarganya lebih daripada
harta yang dimiliki. Kata-kata ini jelas menunjukkan betapa vital kasih sayang
dalam sesebuah keluarga kerana keutuhan institusi kekeluargaan adalah datang
daripada hubungan yang erat setiap ahli keluarga. Hubungan yang erat ini tidak
akan datang dengan sendiri jika setiap ahli keluarga tidak dapat memupuk
hubungan yang baik sesama mereka. Dengan kata lain, keluarga sakinah yang ingin
dilahirkan dalam masyarakat kita adalah bermula dengan hubungan yang erat dalam
sesebuah keluarga. Sebagai contoh, jika sesebuah keluarga merancang untuk
mengadakan sambutan majlis keluarga seperti sambutan Hari Ibu pada bulan Mei
setiap tahun untuk meraikan ibu tersayang, hal ini mampu membuatkan ibu mereka
sangat gembira dan rasa dirinya dihargai oleh anak-anak. Sambutan ini tidak
akan berjaya jika setiap ahli keluarga tidak bekerjasama untuk memastikan
sambutan itu berjalan dengan lancar. Anak-anak akan berhubung antara satu sama
lain untuk menyediakan segala kelengkapan bagi memastikan sambutan Hari Ibu
dapat dijayakan seperti memilih tempat sambutan, menu yang ingin disediakan,
hadiah untuk ibu, atur cara majlis dan sebagainya. Hubungan antara ahli
keluarga ini secara tidak langsung mampu merapatkan mereka dengan lebih erat
kerana anak-anak yang jauh akan pulang ke kampung dan berjumpa semasa sambutan
Hari Ibu tersebut. Kesannya, hubungan akrab akan terjalin antara ahli keluarga
apabila mereka sama-sama mengadakan sambutan untuk meraikan ibu mereka. Sudah
terang lagi bersuluh, sambutan majlis keluarga terbukti mampu mengeratkan
hubungan kekeluargaan dalam sesebuah keluarga.
Meneruskan perbincangan
yang lebih luas lagi, dapat berkongsi cerita dan pengalaman adalah faedah lain
apabila menjayakan sesuatu majlis
keluarga. Ahli keluarga dapat berkongsi cerita mengenai perkembangan yang
berlaku dalam keluarga mereka, berbicara tentang kerjaya yang diceburi, perkongsian
ilmu perniagaan yang dijalankan dan sebagainya apabila mereka berjumpa semasa
sambutan majlis keluarga. Umum mengetahui bahawa perkongsian cerita ini bukan
sahaja mampu menambah pengetahuan ahli keluarga tentang perkara yang telah
berlaku tetapi juga perkongsian ini mampu mengurangkan tekanan emosi yang
dialami oleh setiap ahli keluarga. Hal ini dikatakan demikian kerana pengalaman
yang diceritakan sesama ahli keluarga dapat diceritakan secara terus terang dan
hal ini akan melahirkan perasaan saling mempercayai antara satu sama lain.
Tamsilnya, sambutan Hari Raya Aidilfitri yang diadakan pada setiap tahun akan
membuatkan ibu bapa ingin berkongsi kenangan mereka ketika menyambut sambutan
yang sama pada suatu ketika dahulu. Ibu bapa boleh berkongsi cerita seperti
menyambut hari raya di pusat pemindahan banjir, berhari raya dengan sehelai
sepinggang kerana rumah terbakar pada pagi raya, berhari raya di hospital dan
sebagainya. Ibu bapa juga boleh menyelitkan cerita-cerita sedih apabila
teringatkan insan-insan yang telah meninggal dunia ketika bercerita kepada ahli
keluarga. Impaknya, anak-anak dapat menghayati kisah hidup ibu bapa ketika
seusia dengan mereka dan menjadikan cerita tersebut sebagai teladan dalam
kehidupan mereka. Pepatah Arab ada mengatakan bahawa manusia yang bijaksana
ialah mereka yang sentiasa menjadikan sejarah silam sebagai pengajaran pada
masa akan datang. Lantaran itu, majlis keluarga yang dijayakan mampu menjadi topik
bualan sesama ahli keluarga untuk dijadikan sebagai peristiwa berharga yang
wajar diingati. Tuntasnya, menjayakan sesuatu majlis keluarga menjadi medan
kepada setiap ahli keluarga untuk
berkongsi cerita dan pengalaman berkaitan dengan majlis-majlis yang pernah
diadakah sebelum ini supaya dapat dijayakan dengan lebih meriah.
Meneruskan lensa
perbincangan yang lain, majlis keluarga yang disambut juga mampu mengukuhkan
institusi kekeluargaan. Pada masa ini, banyak institusi kekeluargaan menjadi
goyah apabila berlakunya kepincangan seperti bapa terlibat dalam penagihan
dadah, perbalahan ibu bapa, perceraian ibu bapa, bapa berada di penjara,
masalah kewangan dan sebagainya. Masalah-masalah ini menyebabkan anak-anak
mengalami tekanan perasaan dan ada yang mengambil keputusan untuk lari dari
rumah bagi mencari ketenangan. Menurut statistik Jabatan Kebajikan Masyarakat
(JKM), peratus remaja yang lari dari rumah akibat tekanan perasaan apabila ibu
bapa mereka bercerai pada tahun 2019 adalah meningkat sebanyak tujuh peratus
berbanding tahun 2018. Hal ini membuktikan bahawa institusi keluarga yang
bermasalah akan menyumbang kepada keruntuhan institusi kekeluargaan. Sebagai
contoh, apabila majlis sambutan hari keluarga diadakan, anak-anak yang lari
dari rumah ini akan pulang untuk berjumpa dengan ahli keluarga mereka yang
lain. Anak-anak ini sedar akan kesalahan yang dilakukan dan memohon kemaafan
daripada kedua-dua ibu bapa mereka. Pada masa yang sama, ibu bapa juga akan
menginsafi perbuatan mereka sehingga anak-anak mereka mengalami tekanan yang
akhirnya lari meninggalkan keluarga. Majlis hari keluarga yang disambut itu
akan membuatkan hubungan kekeluargaan sesama ahli keluarga akan bertaut semula
menjadi lebih kukuh. Ibu bapa akan berusaha untuk memainkan peranan
masing-masing dengan baik kerana tidak mahu anak-anak yang menjadi aset kepada
keluarga ini terabai. Kesannya, mereka tidak akan melakukan lagi perkara yang
boleh mencetuskan demoralisasi dalam institusi kekeluargaan. Nilai kasih sayang
dalam keluarga akan menjadi mekar semula menyebabkan anak-anak akan rasa mereka
disayangi. Oleh itu, jelas menunjukkan bahawa sambutan hari keluarga berupaya
mengelakkan masalah rumah tangga kerana ibu bapa akan memainkan peranan
masing-masing bagi mengelakkan pisang berbuah dua kali.
Bagi melabuhkan
tirai perbincangan pada perenggan akhir ini, majlis keluarga yang disambut
mampu meningkatkan kemahiran menguruskan diri dan organisasi. Hal ini dikatakan
demikian kerana setiap majlis yang akan disambut memerlukan perancangan yang
rapi, pelaksanaan yang sistematik dan penilaian yang boleh dibuat
penambahbaikan pada masa akan datang. Ahli keluarga akan berbincang sesama
mereka mengenai perancangan tersusun supaya majlis yang akan disambut
nanti berjalan dengan lancar. Sebagai contoh, apabila ingin menyambut majlis
Hari Keluarga Haji Hashim, ahli keluarga akan diberikan tugasan mengikut
kemampuan seperti mengedarkan kad majlis kepada seluruh keluarga Haji Hashim
yang tinggal di seluruh negara. Ahli keluarga lain akan diberikan tugasan untuk
merancang menu yang akan disediakan, atur cara sukaneka, menempah tempat
penginapan di calet dan sebagainya. Tugasan ini secara tidak langsung mampu
meningkatkan kemahiran diri ahli
keluarga ketika berurusan dengan pihak-pihak luar dan hal ini boleh digunakan
sebagai panduan untuk menguruskan majlis –majlis lain yang lebih besar kerana
mereka sudah biasa bak kata peribahasa alah bisa tegal biasa. Semasa majlis
berlangsung juga, ahli keluarga boleh berganding bahu dan menggembleng tenaga
untuk memastikan majlis berlangsung dengan lancar dan sempurna. Mereka saling
menolong bak kata peribahasa bersatu teguh bercerai roboh agar majlis yang
disambut itu dapat memuaskan hati semua pihak yang terlibat. Impaknya, ahli keluarga
yang dipertanggungjawabkan itu akan menganggap tugasan yang diberikan itu
sebagai wadah untuk mengasah kemahiran diri dalam pengurusan organisasi. Jadi,
sudah terbukti bahawa kemahiran menguruskan diri dan organisasi dalam diri ahli
keluarga dapat ditingkatkan apabila menjayakan sesuatu majlis keluarga.
Kesimpulannya,
terdapat pelbagai kemaslahatan kepada ahli keluarga apabila menjayakan sesuatu
majlis keluarga. Sebagai seorang ahli keluarga yang prihatin akan keharmonian dan
ketenteraman di dalam rumah, saya mencadangkan agar kita mengimplementasikan
apa jua inisiatif yang munasabah dalam usaha mewujudkan keluarga yang bahagia
dan saling menyayangi antara satu sama lain. Harapan saya agar perkara tersebut
dilakukan secara bersungguh-sungguh supaya kejayaan dapat dikecapi ibarat kalau
tidak dipecahkan ruyung manakan dapat sagunya dan bukan sekadar hangat-hangat
tahi ayam demi kebaikan semua ahli keluarga. Apa yang pasti sambutan sesuatu
majlis keluarga mampu mengeratkan hubungan sesebuah keluarga sekali gus dapat melahirkan
masyarakat madani di negara kita.
Karangan ini adalah hasil tulisan anak didik saya Muhammad Azim Mustaqim B. Hashim
Wah panjang nya
ReplyDeleteTapi sangat berguna...thanks Cikgu Azaman😊
ReplyDeleteCasino Promo Code - JTGHub
ReplyDeleteLooking for a casino 전라북도 출장샵 promo code? 세종특별자치 출장마사지 Try the casino promo 진주 출장마사지 code and get a bonus with 포천 출장샵 $20 free + 100% match bonus on registration. No deposit 세종특별자치 출장안마 needed