Friday 9 November 2012

ANALISIS BAHASA MELAYU SPM 2012....(6)

CONTOH JAWAPAN BAHASA MELAYU KERTAS 2 SPM 2012


Soalan 1 : Rumusan

Petikan membincangkan punca-punca pemilihan Malaysia sebagai destinasi pelancongan kesihatan pada masa kini.

Malaysia dipilih kerana mempunyai pakar perubatan antara yang terbaik di dunia dan caj rawatan di sini lebih murah berbanding negara maju. Selain mendapat pengiktirafan Kualiti Kesihatan Persatuan Perubatan Malaysia (MSQH) serta standard MS ISO9002, Malaysia juga mempunyai banyak pusat perubatan persendirian yang lengkap dengan peralatan canggih dan doktor pakar yang berpengalaman serta berpengetahuan tinggi. Di samping itu, pusat perubatan swasta di Malaysia menawarkan pelbagai pilihan penginapan serta menyediakan layanan bertaraf dunia kepada pelancong kesihatan. 

Faedah-faedah industri pelancongan kesihatan kepada negara adalah jumlah pelancong asing ke Malaysia akan bertambah serta dapat meningkatkan imej negara dalam bidang perubatan di pentas antarabangsa.

Kesimpulannya, kerajaan perlu melaksanakan pelbagai promosi untuk menarik lebih ramai pelancong kesihatan kerana sektor tersebut dapat menjana pendapatan yang tinggi kepada negara. 

                                                                                                                             (120 patah perkataan)

Soalan 2 : Pemahaman

Soalan 2 (a) - Petikan Umum

i) Maksud rangkai kata tersebut ialah langkah yang meliputi semua aspek.

ii) Usaha-usaha kerajaan untuk memajukan sektor pelancongan kesihatan ialah Kementerian Kesihatan Malaysia telah memperuntukkan undang-undang baharu untuk mentadbir penjagaan kesihatan. Selain itu, usaha penambahbaikan sektor pelancongan kesihatan dilakukan dengan melibatkan pemberian kuasa tambahan kepada Majlis Kesihatan Malaysia sekali gus akan mempertingkatkan fungsinya. Akhir sekali, kerajaan mengkaji kemungkinan untuk meminda undang-undang agar dapat membantu pengamal perubatan mempromosikan perkhidmatan mereka di luar negara.

iii) Pada pendapat saya, peranan pihak media untuk memajukan industri pelancongan kesihatan di negara ini adalah dengan mempromosikan industri pelancongan kesihatan yang terdapat di negara kita melalui media cetak dan media elektronik supaya masyarakat antarabangsa khususnya dapat mengetahui perkhidmatan perubatan yang disediakan di Malaysia. Selain itu, pihak media juga boleh bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan Malaysia untuk menguar-uarkan pengiktirafan yang telah diterima oleh pengamal perubatan tempatan supaya pelancong kesihatan akan yakin dengan kebolehan yang dimiliki oleh pakar perubatan negara kita.


Soalan 2 (b) - Petikan Prosa Moden

i) Ciri-ciri yang menyebabkan hutan simpan milik bapa berpotensi untuk dijadikan kawasan pelancongan ialah aliran sungai kecil di hutan itu boleh diperbesar untuk dijadikan kolam memancing ikan. Selain itu, hutan tersebut juga boleh dijadikan sebagai kawasan pelancongan seperti Lembah Danum di Lahad Datu, Sulaman Resort di Tuaran dan di Sukau. 

ii) Pada pendapat saya, cabaran-cabaran yang dihadapi oleh keluarga Melati untuk membuka pusat pelancongan ialah usaha tersebut memerlukan perbelanjaan yang besar bagi membina prasarana yang lengkap bagi memudahkan pelancong yang berkunjung ke situ. Selain itu, cabaran lain ialah kawasan pelancongan yang akan diusahakan nanti terpaksa bersaing dengan kawasan pelancongan yang telah terkenal seperti yang terdapat di Lembah Danum. Cabaran terakhir ialah mereka akan mendapat tentangan daripada penduduk setempat kerana alam sekitar akan musnah jika kerja-kerja pembangunan dilakukan di situ.

iii) Nilai kemanusiaan yang terdapat dalam petikan cerpen di atas ialah nilai berpandangan jauh. Nilai ini dapat dibuktikan melalui Melati dan Budi yang bersungguh-sungguh hendak menceburkan diri dalam bidang pelancongan dengan membuka kawasan pelancongan di hutan simpan milik ayahnya kerana hutan tersebut berpotensi untuk dibangunkan. Nilai kemanusiaan lain yang tidak terdapat dalam petikan ialah nilai cinta akan alam sekitar. Nilai ini dapat dibuktikan melalui watak Pak Tua yang sedih apabila banyak hutan dimusnahkan oleh manusia kerana inginkan pembangunan.


Soalan 2 (c) - Petikan Prosa Klasik

i) Raja Muhammad membunuh Merah Gajah kerana baginda terlalu marah apabila mendengar berita bahawa  Puteri Betong telah hilang kerana Merah Gajah membantun sehelai rambut di tengah kepalanya.

ii) Reaksi Raja Ahmad setelah mendengar berita kematian Merah Gajah ialah menghempaskan dirinya, mengoyak-ngoyak baju serta mencarik-carikkan kainnya. raja Ahmad terlalu marah lalu menghimpunkan segala askar yang lengkap dengan senjata untuk berperang dengan Raja Muhammad.

iii) Sekiranya saya Raja Muhammad, tindakan-tindakan yang akan saya ambil untuk mengelakkan peperangan dengan Raja Ahmad adalah bersemuka dengan Raja Ahmad untuk memberitahu rasional saya menghukum Merah Gajah. Selain itu, saya akan memohon maaf kepada Raja Ahmad kerana tidak berbincang dengannya terlebih dahulu sebelum menghukum Merah Gajah. Akhir sekali saya akan memberikan pampasan kepada Raja Ahmad atas tindakan saya menghukum Merah Gajah. 


Soalan 2 (d) - Sajak

i) Maksud perut belantara menjadi ladang ialah hutan rimba telah bertukar sebagai kawasan pertanian

ii) Pada pendapat saya, kesan-kesan kepada negara kita jika generasi muda terus leka ialah negara akan kehilangan modal insan yang berpotensi untuk membangunkan negara pada masa hadapan. Selain itu, peruntukan besar yang disediakan untuk membentuk generasi muda sebagai pemimpin masa hadapan akan menjadi sia-sia. Akhir sekali, aspirasi negara untuk menjadi negara maju berpendapatan tinggi pada tahun 2020 akan terbantut jika generasi muda tersu leka.

iii) Pengajaran yang terdapat dalam sajak tersebut ialah generasi muda hendaklah bertanggungjawab membangunkan negara agar wawasan pemimpin negara dapat direalisasikan. Pengajaran lain ialah generasi muda tidak boleh leka dengan kemakmuran yang dikecapi kini kerana kesejahteraan itu adalah usaha pemimpin terdahulu yang bersusah payah membangunkan negara. 


Soalan 3 : Pengetahuan dan Kemahiran Bahasa

3 (a) membina ayat

i) Pak Utih mengangguk-ngangguk sambil mulutnya kumat-kamit membaca zikir selepas solat dengan keluarganya.

ii) Hati kakak remuk-redam apabila tunangnya telah memulangkan cincin pertunangan mereka pagi tadi.

iii) Pergerakan trak tentera secara selang-seli dengan kereta kebal semasa perarakan sempena sambutan Hari Kebangsaan itu sungguh mengagumkan.

iv) Tun Mamat melihat serba-serbi bunga dan buah sebaik sahaja tiba di puncak Gunung Tahan.

v) Jalan yang simpang-siur di Kuala Lumpur telah menyukarkan Pak Sudin mencari rumah anaknya.

vi) Mak Temah telah tungkus-lumus mengerjakan sawah untuk menyara keluarganya setelah suaminya menderita penyakit kencing manis.


3 (b) menukar ayat susunan songsang kepada ayat suusnan biasa

i) Persaraan kakitangan kerajaan sudah ditetapkan pada usia 60 tahun.

ii) Banglo mewah berharga RM3 juta itu terletak di Bukit Perdana.

iii) Pertunjukan udara yang diadakan bersempena dengan sambutan ulang tahun hari kemerdekaan negara sungguh menakjubkan.


3 (c)membetulkan kesalahan ejaan dan imbuhan

i) intrepretasi                      -           interpretasi
   diambil                            -           mengambil

ii) dibandar-bandar             -             di bandar-bandar
    memiliknya                     -             memilikinya

iii) multi etnik                      -            multietnik
    pengongsian                   -            perkongsian


3 (d) membetulkan kesalahan kataatau istilah dan tatabahasa

i) konklusif                         -            kondusif
   dan                                 -            atau

ii) jasa                                -            pengorbanan
    kebanyakan murid-murid          -             kebanyakan murid

iii) inspirasi                         -            aspirasi
    di masa                          -            pada masa


3 (e) peribahasa

i) kepentingan membaca sebagai sumber untuk mendapatkan ilmu

ii) sesuatu kerja walau sukar sekalipun jika dilakukan dengan tekun akhirnya akan berjaya juga

iii) kata sepakat akan diperoleh jika bermesyuarat


Soalan 4 : Novel

4 (a) Novel yang saya kaji ialah novel Renyah karya Gunawan Mahmood. Banyak latar masa dipaparkan oleh pengarang dalam novel tersebut. Latar masa 28 tahun digambarkan dalam novel ini, iaitu tempoh masa Datuk Dolhi menyimpan rahsia perkahwinan keduanya daripada pengetahuan Datin Tominah dan anak-anaknya. Selain itu, latar masa tujuh hari juga digambarkan oleh pengarang dalam novel tersebut, iaitu tempoh masa Datuk Dolhi berada di Jepun untuk bersama-sama dengan Wahi bagi menenangkan fikirannya.


4 (b) Novel yang saya kaji ialah novel Sutera Dalam Lukisan karya Abd Talib Hassan. Banyak nilai kemanusiaan yang dipaparkan oleh pengarang dalam novel tersebut. Nilai ketabahan terdapat dalam novel tersebut, iaitu Bujei sentiasa tabah menjalani kehidupan sebagai anak yatim walaupun sering dihina oleh masyarakat kampung seperti Alias dan Opah Arah. Selain itu, nilai keberanian juga terdapat dalam novel ini. Nilai ini dapat dilihat melalui watak Bujei yang berani naik ke pentas untuk menyanyikan lagu Bahtera Merdeka apabila dijemput ke hadapan pentas semasa majlis perkahwinan Sameah. Akhir sekali, nilai kasih sayang juga dipaparkan oleh pengarang dalam novel tersebut. Nilai ini dapat dibuktikan oleh Bujei yang rindu dan gelisah apabila Adila pulang ke Kuala Lumpur.

(Contoh jawapan ini adalah idea penulis sepenuhnya)

1 comment:

  1. assalamualaikum cikgu Azman

    memaklumkan saya ada mengambil beberapa sumber latihan daripada blog cikgu untuk saya gunakan di kelas saya. di dapati bahan tersebut amat berguna dan lengkap. tak payah nak beli buku kerja lagi
    moga cikgu maju jaya dalam kerjaya. tq!

    amir - smk chung hua miri sarawak

    ReplyDelete

ASPEK KOMSAS DRAMA BERKHIDMAT UNTUK NEGARA

ASPEK KOMSAS DRAMA BERKHIDMAT UNTUK NEGARA ASPEK KOMSAS PERNYATAAN HURAIAN PEMIKIRAN Semangat cinta...