Wednesday 9 May 2012

ESEI : PERANAN NEGARA DI DUNIA MENANGANI WABAK PENYAKIT...

Sejak akhir-akhir ini, penyakit berbahaya seperti H1N1, SARS, selesema burung dan meningitis atau radang otak telah menular ke seluruh dunia. Kerjasama sejagat amat diperlukan bagi mencegah penularan penyakit-penyakit  tersebut.

Tulis sebuah rencana mengenai peranan negara-negara dunia bagi mencegah penularan wabak penyakit-penyakit tersebut.


Tajuk: Tanggungjawab Negara-Negara Dunia Mencegah Penyakit Berbahaya
Penulis : Azaman b. Zakaria

Sejak akhir-akhir ini penyakit-penyakit seperti H1N1, SARS, selesema burung dan meningitis atau radang otak telah melanda beberapa negara di dunia seperti Mexico, Amerika Utara, Venezuela, China dan sebagainya. Hal ini amat membimbangkan penduduk dunia kerana wabak penyakit tersebut telah merebak dengan begitu cepat sekali. Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) telah merekodkan bahawa lebih 120 ribu penduduk dunia telah dijangkiti wabak H1N1 dan bilangan kematian akibat penyakit tersebut melebihi 1500 orang. Di Malaysia sahaja, bilangan kematian yang dicatatkan oleh Kementerian Kesihatan akibat H1N1 setakat ini adalah sebanyak 85 orang. Statistik ini menunjukkan bahawa wabak penyakit berbahaya tersebut telah mengancam penduduk dunia. Keadaan akan menjadi lebih parah lagi jika penularan penyakit ini tidak dikekang . Oleh itu, kerjasama sejagat amat diperlukan bagi menyekat lebih banyak lagi kematian akibat wabak tersebut. Jadi, negara-negara di dunia perlu bekerjasama dan memainkan peranan masing-masing agar penularan wabak seperti H1N1, SARS, selesema burung dan meningitis dapat dihalang.

Peranan yang boleh dimainkan oleh negara-negara di dunia adalah dengan melakukan saringan kesihatan kepada warga asing di pintu-pintu masuk sesebuah negara. Setiap warga asing yang ingin masuk ke sesebuah negara perlu mengisytiharkan status kesihatan mereka terlebih dahulu sebaik sahaja tiba di pintu-pintu masuk sama ada di lapangan terbang, pelabuhan atau sempadan sesebuah negara. Pasukan petugas kesihatan perlu membuat pemeriksaan kesihatan dengan teliti terhadap warga asing yang tiba dengan menggunakan alat khas bagi mengesan suhu badan mereka. Jika ada warga asing yang menunjukkan simpton-simpton seperti demam, selesema dan batuk, mereka perlu diasingkan untuk dikuarantin di tempat yang dikhaskan bagi tempoh tertentu. Pemeriksaan ini perlu dilakukan supaya mereka yang membawa wabak penyakit seperti H1N1 dan selesema burung dapat dikenal pasti lebih awal dan langkah pencegahan dapat diambil segera seperti menghantar mereka ke klinik atau hospital jika keadaan mereka boleh membahayakan diri dan orang lain. Jika hal ini dibuat dengan serta-merta, individu yang menunjukkan simpton-simpton tadi tidak akan bercampur dengan orang lain yang sihat sekali gus wabak penyakit tersebut dapat dihalang daripada merebak ke sesebuah negara. Kerajaan sesebuah negara perlu bertindak tegas dalam hal ini kerana penularan wabak penyakit ini mudah berlaku jika ada interaksi antara pembawa wabak dengan orang lain yang sihat. Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengingatkan negara-negara dunia supaya membuat pemeriksaan yang ketat di pintu-pintu masuk sesebuah negara bagi mencegah penularan wabak ini walaupun tindakan tersebut sedikit sebanyak akan menjejaskan industri pelancongan sesebuah negara. Peringatan tersebut memang benar kerana ada sesetengah negara memandang ringan terhadap wabak tersebut kerana bimbang sektor pelancongan negara akan terjejas. Dalam hal ini kerajaan perlu mengutamakan kesihatan penduduk terlebih dahulu kerana penawar bagi penyakit ini belum ditemukan lagi. Jadi langkah pencegahan mampu mengelakkan penularan wabak H1N1, SARS, selesema burung dan meningitis kerana mencegah lebih baik daripada merawat.

Selain itu, negara-negara dunia sama ada negara kaya atau miskin perlu mengadakan kerjasama antara satu sama lain bagi mencari jalan untuk mengelakkan penularan wabak penyakit seperti H1N1, SARS, selesema burung dan meningitis. Kerajaan sesebuah negara perlu menghantar saintis mereka untuk membuat penyelidikan bagi mencari vaksin yang boleh mencegah penyakit-penyakit tersebut. Setakat ini, pakar-pakar perubatan hanya memberikan penawar kepada pesakit hanya untuk menguatkan antibodi badan mereka bagi melawan penyakit-penyakit tersebut, tetapi penawar sebenar bagi mengubat penyakit-penyakit ini belum lagi ditemukan. Jadi, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) perlu menganjurkan pertemuan antara saintis seluruh dunia untuk menjana idea bagi mencari penawar untuk merawat penyakit-penyakit berbahaya tersebut. Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Ban Ki Moon semasa berucap sempena Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu dua tahun lepas mengajak ketua-ketua negara dunia supaya memainkan peranan yang lebih pragmatik bagi menyediakan kesihatan yang terbaik kepada penduduk dunia. Beliau mengajak negara-negara kaya di dunia membantu negara-negara miskin bagi menyediakan kesihatan yang lebih baik kepada rakyat mereka. Saranan ini amat tepat memandangkan negara-negara miskin di dunia tidak mampu untuk menyediakan kemudahan kesihatan yang sempurna kepada rakyat mereka. Jadi negara-negara kaya seperti Amerika Syarikat, Britain, Jepun, Perancis dan Rusia perlu membantu mereka dengan menyediakan penawar bagi mencegah penularan wabak penyakit tersebut. Jadi, sudah terang lagi bersuluh bahawa kerjasama antara negara di dunia mampu mengekang penularan wabak penyakit seperti H1N1, SARS, selesema burung dan radang otak yang kini telah menjadi ancaman kepada penduduk dunia. Setiap usaha yang diambil pasti akan ada hasilnya jika dilakukan dengan bersungguh-sungguh kerana di mana ada kemahuan di situ ada jalan.

5 comments:

ASPEK KOMSAS DRAMA BERKHIDMAT UNTUK NEGARA

ASPEK KOMSAS DRAMA BERKHIDMAT UNTUK NEGARA ASPEK KOMSAS PERNYATAAN HURAIAN PEMIKIRAN Semangat cinta...