Penulis melihat kemaraan The Red Warriors ke peringkat suku akhir setelah membenam Terengganu 3 - 2 dalam pertarungan di Stadium Sultan Muhammad IV dua hari yang lalu sungguh mencemaskan. Penulis memuji aksi TRW pada separuh masa pertama kerana bermain dengan cemerlang dengan corak menyerang walaupun pergerakan agak terbatas kerana bermain dalam hujan. Asakan bertali arus oleh jentera serangan TRW sukar disekat oleh barisan pertahanan Terengganu. Hasilnya TRW berjaya menjaringkan 3 gol menerusi Mohd Nor Farhan Muhammad dan Rizal Fahmi Ab Rosid. Walau bagaimanapun, penulis melihat aksi pada separuh masa kedua pula amat mendukacitakan kerana corak menyerang seperti yang ditunjukkan pada separuh masa pertama kurang kelihatan. Barisan penyerang TRW nampak longlai dan lebih banyak bertahan seolah-seolah mereka sudah yakin akan menang. Taktikal sedemikian memakan diri sebenarnya kerana Terengganu mengambil kesempatan atas kelalaian itu sehingga berjaya menyumbat 2 gol untuk merapatkan kedudukan. Penulis melihat corak permainan bertahan selepas mendahului pasukan lawan dengan jaringan dua atau tiga gol tidak boleh diamalkan. Pada penulis, pertahanan yang berkesan adalah menyerang. Apa salahnya jika taktikal menyerang terus diamalkan walaupun telah mendahulu pasukan lawan dengan jaringan yang selesa. Dalam bola sepak peringkat antarabangsa, jaringan pada minit-minit terakhir perlawanan tidak mustahil. Walau bagaimanapun penulis ingin mengucapkan tahniah kepada TRW kerana berjaya mara ke peringkat suku akhir Piala AFC.
(Sumber foto : Utusan Online - 25/5/2012)
No comments:
Post a Comment